Rak Simpanan Bahan Kimia Patah Sodium Hidroksida Tumpah Di Kilang
Klang : Tindakan sebuah kilang pengeluar sarung tangan getah menggunakan rak penyimpanan bahan kimia tidak sesuai mengundang padah apabila rak itu patah, dan menyebabkan bahan kimia tumpah dalam satu insiden di Taman Perindustrian Meru di sini petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata satu jentera bomba dari Balai Bomba Kapar berserta Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Shah Alam bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada kira-kira pukul 6.30 petang.
“Sebaik tiba, kami dapati satu rak penyimpanan industri tiga tingkat telah patah menyebabkan bahan kimia yang diletakkan di setiap rak itu menghimpit tong simpanan memuatkan 1,500 liter sodium hidroksida di tingkat paling bawah, dan bebanannya membuatkan tong berkenaan pecah, lalu kandungannya tumpah.
“Hasil pemeriksaan mendapati, rak itu dilihat tidak sesuai digunakan bagi tujuan penyimpanan bahan kimia, malah jumlah bahan yang disimpan juga berlebihan di setiap rak menyebabkan ia patah kerana tidak dapat menampung beban,” katanya kepada sumber ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini malam ini.
Tambah beliau, pemeriksaan awal juga mendapati kilang berkenaan menyimpan bahan kimia tidak mengikut tatacara yang betul apabila ia tidak diasingkan mengikut jenis seperti yang disarankan.
Katanya tindakan itu boleh menyukarkan pihak bomba untuk melaksanakan langkah-langkah keselamatan jika berlaku sebarang kecemasan pada masa depan.
Malah kata Hafisham, kilang itu juga telah dinasihatkan supaya menukar rak berkenaan dengan kadar segera dalam lawatan pihaknya minggu lepas bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini, namun kejadian hari ini menunjukkan mereka gagal mematuhi nasihat.
“Buat masa ini, kami telah mengambil langkah-langkah awal dengan menabur pasir dan membuat benteng daripada pasir supaya tumpahan bahan kimia jenis menghakis itu tidak merebak ke luar kilang atau ke saluran perparitan.
“Pasukan Hazmat dengan bantuan pihak kilang juga sedang berusaha mengalihkan bahan-bahan kimia itu ke tempat yang lebih selamat dan melakukan operasi pembersihan tumpahan. Ia akan mengambil sedikit masa namun setakat ini, keadaan adalah terkawal,” katanya.
Kata beliau, tiada kemalangan jiwa atau sebarang insiden berkaitan kesihatan dilaporkan ketika kejadian.
Sumber : Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/10/08/rak-simpanan-bahan-kimia-patah-sodium-hidroksida-tumpah-di-kilang/