Raja Berperlembagaan Perkembangan Yang Merisaukan
TUN ABDUL HAMID MOHAMAD, WARTA RAKYAT
Dalam tahun 1946, apabila Raja-Raja Melayu menandatangani Perjanjian Malayan Union, Raja-Raja Melayu hampir menyerahkan kesemua kuasa mereka kepada penjajah British.
Nasib baiklah orang Melayu sedar akan kesilapan itu dan bangun menentangnya.
Gerakan itu membawa kepada penubuhan UMNO yang menyambungnya dengan menuntut kemerdekaan.
Manakala negara-negara lain yang merdeka selepas Perang Dunia Kedua membuang raja-raja mereka, seperti India dan Indonesia, UMNO dengan tegas mahukan Raja-Raja Melayu terus bertakhta selepas Merdeka.
Maka, termaktublah peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengekalkan kedudukan Raja-Raja Melayu dengan hak dan keistimewaan mereka. Di peringkat Persekutuan diadakan seorang raja berperlembagaan yang diberi nama Yang di-Pertuan Agong.
Sistem raja berperlembagaan itu berjalan dengan licin selama lebih kurang 40 tahun dengan Raja dan Kerajaan hormat menghormati antara satu sama lain, masing-masing melaksanakan tugas masing-masing seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Kerajaan berunding dengan Raja di mana ia dikehendaki berunding. Raja mengikut nasihat Kerajaan di mana Baginda dikehendaki berbuat demikian.
Kita mula nampak adanya masalah apabila Perlembagaan dipinda dengan menubuhkan Mahkamah Khas untuk membicarakan Raja-Raja bagi kes-kes jenayah dan mal. Jika tiada kes berlaku atau jika tidak dikhuatiri berlaku masakan mahkamah tersebut ditubuhkan.
Orang yang paling tahu hal itu adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana beliaulah Perdana Menteri pada masa Perlembagaan dipinda untuk menubuh mahkamah itu.
Ini diikuti dengan pindaan kepada Perkara 66 dan 40.
Perkara 66 dipinda dengan menambah Klausa (4A).
“(4A) Jika sesuatu Rang Undang-Undang tidak diperkenankan oleh Yang di- Pertuan Agong dalam masa yang ditentukan dalam Fasal (4), Rang Undang-Undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah dia telah memperkenankannya.”
Tentulah ada Raja yang enggan menandatangani rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen yang menyebabkan pindaan itu perlu dibuat, pada hal mengikut convention ia sepatutnya ditandatangani in due course.
Pindaan itu dibuat bersama-sama dengan pindaan kepada Perkara 40 dengan menambah klausa (1 A):
(1A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.”
Tidak ada perkataan yang lebih jelas dari itu: dalam perkara yang Raja dikehendaki oleh Perlembagaan berbuat sesuatu mengikut nasihat Kerajaan, apabila dinasihatkan berbuat sesuatu, buat.
Orang yang paling tahu mengapa pindaan-pindaaan itu perlu dibuat adalah Dr. Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada masa itu, Dr. Mahathir adalah Perdana Menteri dan Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri yang mencadangkan pindaan itu di Parlimen.
Pada 23 Oktober 2020, sebagai Perdana Menteri, TS Muhyiddin menyembahlan keputusan Jemaah Menteri untuk dibuat deklarasi darurat untuk menangani pandemik Covid-19.
Dalam hal mengisytiharkan darurat, Privy Council telah memutuskan dalam kes Teh Cheng Poh v. Public Prosecutor (1979) 1 MLJ 50 bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat.
Tetapi, pada esoknya, pada 24 Oktober 2020, Istana Negara mengeluarkan kenyataan media yang, antara lain, menyebut bahawa YDPA “telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.”
Rundingan tersebut diadakan pada 25 Oktober 2020 dan, selepas, itu Istana Negara mengeluarkan kenyataan media yang, antara lain, berbunyi:
“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.”
Perlu diingati bahawa tindakan berunding dengan Raja-Raja Melayu itu tidak diperuntukkan oleh Perlembagaan. Perlembagaan menghendaki Yang di-Pertuan Agong mengikut nasihat Jemaah Menteri dalam hal itu.
Pada 15 Jun 2021, Istana Negara mengeluarkan kenyataan berikut:
“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.”
Perlu diingati juga bahawa kenyataan ini dibuat di luar bidang tugas Yang di-Pertuan Agong. Tidak pula disebut pahawa pandangan Kerajaan dan Yang Dipertua Dewan Rakyat turut diminta.
Pada hari yang sama, Raja-Raja Melayu, melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, juga mengeluarkan kenyataan bahawa Raja-Raja Melayu bersependapat tiada keperluan
untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.
Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad:
“Dalam semangat itu, Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong, yang menitahkan supaya Parlimen bersidang segera.”
Sekali lagi Raja-Raja Melayu melibatkan diri dalam perkara yang terletak di luar bidang kuasa mereka.
Sampai kepada isu pembatalan ordinan-ordinan darurat. Mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, ada tiga cara ordinan-ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada masa proklamasi darurat sedang berkuat kuasa, akan terhenti berkuat kuasa. Satu daripadanya ialah apabila ia dibatalkan (revoked) di bawah Fasal (3).
READ MORE HERE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysia-today.net/2021/09/08/raja-berperlembagaan-perkembangan-yang-merisaukan/