Putus Dengan Bersatu Pas Boleh Tawan Selangor Bersama Umno Kata Jamal
freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-September 24, 2022 4:15 PM
Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Jamal Yunos, pada sidang media di Sekinchan, Sungai Besar hari ini.
SUNGAI BESAR: PAS berpeluang cerah menang sekurang-kurangnya tiga kerusi Parlimen di Selangor, selain menawan negeri itu bersama Umno dengan syarat parti itu memutuskan kerjasama dengan Bersatu, kata Jamal Yunos.
Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor itu berkata PAS akan mendapat untung lebih jika bergerak seiring dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN), berbanding dengan Bersatu, yang hanya menggunakan jentera PAS untuk mendapat tempat.
“Jika bergabung dengan Umno sudah pasti PAS akan dapat lebih banyak tempat sama ada Parlimen atau DUN dalam Selangor dan saya yakin MN yang akan dibentuk untuk hadapi PRU akan datang walaupun bertanding atas logo masing-masing dengan adanya persefahaman tersebut, MN akan memerintah negeri Selangor antara PAS dan BN.
“… dan saya yakin PAS (sebelum ini) tiada satu kerusi pun menang di Parlimen, sekurang-kurangnya tiga Parlimen untuk PAS di Selangor (pada PRU15),” katanya selepas hadir pelancaran kempen kutipan sumbangan Tabung Solidariti Bela Jamal.
Beliau ditanya mengenai masa depan MN di Selangor dan keyakinan gabungan itu menjatuhkan kerajaan PKR selepas tiga penggal menjadi pembangkang.
Semalam, Ketua Umno Selangor Noh Omar dilaporkan berkata parti itu sentiasa bersedia menerima kerjasama dengan PAS menerusi MN sekiranya mendapat restu pucuk pimpinan parti itu.
Jamal yang juga ketua Umno Sungai Besar berkata sudah ada bibit kepincangan dalam Perikatan Nasional (PN) baik di peringkat pusat dan Selangor berdasarkan beberapa perkembangan terkini termasuk penegasan PAS bahawa BN bukan musuhnya.
Jelasnya, kenyataan setiausaha agung PAS itu disifatkan sebagai teguran tajam kepada Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dan mungkin isyarat parti itu enggan lagi bersama Bersatu.
“Saya juga dimaklumkan telah berlaku kepincangan antara kerusi-kerusi di dalam PN di mana berlaku ketidakpuasan hati di antara pemimpin PAS di Selangor terutama di peringkat bahagian.
“Negeri lain saya tidak pasti tetapi Selangor, PAS mungkin menjurus kepada langkah kedua, ketiga dan seterusnya meninggalkan Bersatu,” katanya.Pengerusi Gabungan Solidariti Anak Selangor (GSAS) Faizal Zakaria memasukkan sumbangan ke dalam Tabung Solidariti Bela Jamal yang dilancarkan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Solidariti Anak Selangor (GSAS) Faizal Zakaria, berkata tabung itu bukan hanya untuk membantu Jamal berdepan beberapa kes saman termasuk dari Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung dakwaan penyalahgunaan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) tetapi turut disalurkan ke badan kebajikan lain.
“Ia juga akan diaudit,” katanya yang menjelaskan jumlah kutipan terkumpul pada hari ini berjumlah RM200,000.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/09/putus-dengan-bersatu-pas-boleh-tawan.html