Puasa Ramadhan Ulangkaji
Sebagai seorang muslim yang taat kepada Allah Taala semestinya menerima dan melaksanakan perintah Allah Taala yang mewajibkan kepada hambaNya berpuasa apabila tibanya bulan Ramadhan. Firman Allah Taala yang bermaksud: " Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu; dengan itu mudah-mudahan kamu bertaqwa ". Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan rukun Islam selain Syahadah, solat 5 waktu sehari semalam dan berzakat serta menunaikan haji
Mari kita ulangkaji beberapa pelajaran berkenaan puasa Ramadhan
Puasa membawa maksud menahan diri daripada makan, minum, nafsu syahwat dan daripada melakukan sesuatu yang membatalkan puasa; bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari disertai dengan niat
Syarat-syarat wajib berpuasa:
1. Orang Islam2. Sudah dewasa (baligh)3. Berfikiran waras4. Mampu berpuasa
Syarat-syarat sah puasa:
1. Orang Islam2. Orang yang berakal3. Perempuan yang suci dari haid dan nifas4. Berniat puasa pada waktu malam5. Pada hari-hari yang sah berpuasa
Perkara wajib dilakukan oleh orang yang berpuasa ( rukun puasa )
1. Niat pada waktu malam2. Menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar (Subuh) hingga terbenam matahari (Maghrib)
Perkara-perkara yang membatalkan puasa:
1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka
2. Makan dan minum
3. Melakukan persetubuhan dengan sengaja
4. Muntah dengan sengaja
5. Gila walaupun sebentar
6. Pitam sepanjang hari
7. Berlaku haid, nifas dan wiladah bagi orang perempuan
8. Mengeluarkan air mani dengan sengaja
9. Berbuka puasa dalam keadaan syak samada sudah terbenam matahari atau belum
10. Murtad
* Haid = Darah yang keluar melalui faraj perempuan yang berumur sekurang-kurangnya 9 tahun. Diwajibkan mandi sebaik sahaja kering haidnya
* Wiladah = perempuan yang melahirkan anak disertai dengan basah atau tidak. Termasuk juga perempuan yang keguguran
* Nifas = Darah yang keluar selepas perempuan melahirkan anak. Maka diwajibkan mandi setelah kering darah nifasnya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://jazirah-alward.blogspot.com/2015/06/puasa-ramadhan-ulangkaji.html