Puasa 6 Pada Bulan Syawal
PUASA 6 SYAWAL
===============
1. Apakah fadhilat puasa enam hari bulan Syawal?
Sunat puasa enam ini berdasarkan sabda Baginda yang maksudnya :
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعُهُ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْر
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syauwal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun[1]."
Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal setelah berpuasa Ramadhan sebulan penuh diibaratkan oleh Rasulullah SAW sebagai berpuasa sepanjang tahun kerana sebulan puasa Ramadhan itu menyamai puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan 60 hari atau dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun. Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah hadis, sabda Baginda yang maksudnya[2] :
صِيَامُ رَمَضَانَ بِعَشرة أَشْهُر، صِيَامُ سِتَّة أَيَّام بِشَهْرَيْن، فَذَلِكَ صِيَام سَنَة
"Berpuasa sebulan Ramadhan (disamakan) dengan berpuasa sepuluh bulan, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan berpuasa dua bulan, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun berpuasa [3]."
Berdasarkan hadis di atas juga, sebahagian ulama menjelaskan bahawa puasa enam hari dalam bulan Syawal diberikan ganjaran yang sama dengan ganjaran puasa di bulan Ramadhan, kerana setiap kebajikan itu dibalas atau diberikan dengan sepuluh kali ganda. Sebagaimana juga mereka mengatakan: "Membaca Surah Al-Ikhlas itu sama dengan membaca sepertiga Al-Quran.
Sabda Rasulullah saw,
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعُهُ سِتًّا مِنْ شَوَّال خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْم وُلِدَتْهُ أُمُّهُ
Yang bermaksud, "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, keluar (dihapus) dosanya seolah-olah dia baru dilahirkan oleh ibunya.
2. Seseorang mukmin yang mengqada’kan puasa fardhu dalam bulan Syawal juga brtujuan mndapatkan fadhilat puasa enam hari dalam bulan Syauwal, bagaimana pandangan Islam tentang perkara ini?
Bagi sesiapa yang mengqada’kan puasa fardhu dalam bulan Syawal disertai niat puasa 6 syauwal akan mendapat pahala puasa qoda' ramadhan serta enam hari dalam bulan Syauwal sekaligus. Sekiranya dia berniat dan berpuasa qada’ berasingan dengan puasa enam hari bulan Syauwal maka itu adalah Afdhal.
3. Seseorang muslim yang sedang berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal pada waktu yang sama dia meraikan Aidil Fitri (ziarah atas undangan atau menyambut tetamu) dalam keadaan dirinya berpuasa, bagaimana penyelesaian yang Islam anjurkan untuk dua keadaan ini?
Sebagai maklumat awal:
Haram berpuasa pada 1 Syawal. Sehubungan dengan itu, kebanyakan orang mengambil peluang pada hari tersebut untuk memenuhi undangan dan berziarah.
Puasa sunat enam hari bulan Syauwal boleh dilakukan secara berturut-turut atau berasingan dalam bulan Syauwal.
Ia merupakan puasa sunat dan bukannya wajib.
Bagi seorang isteri perlu mendapatkan keizinan daripada suaminya.
Sekiranya dia didatangi tetamu hendaklah dia meraikan tetamunya. Sunat dia berbuka puasa sunat tersebut. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah,
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِالله وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ
Yang bermaksud, Sesiapa beriman dengan Allah dan Hari Qiamat maka muliakanlah tetamunya.
Ini kerana tetamu yang datang membawa rezeki kepada tuan rumah. Daripada Abu Hurairah ra, sabda Rasulullah SAW,
أَيُّهَا النَّاس لاَ تَكْرَهُوْا الضَّيْف فَـإِنَّهُ إِذَا نَزَلَ نَزَلَ بِرِزْقِهِ، وَإِذَا رَحَلَ رَحَلَ بِذُنُوْبِ أَهْلِ المَنْـزِلِ
Yang bermaksud, Wahai manusia! Janganlah kamu membenci kehadiran tetamu. Sesungguhnya mereka datang membawa rezeki dan apabila keluar (pulang) membawa dosa ahli rumah tersebut keluar.
[1] Riwayat Muslim
[2] Al-Nafahat al-Nuraniyah fi Fadhail al-Ayyam wa al-Layali wa al-Syuhur al-Qomariyah, al-Syeikh Yusuf Khattar Muhammad, Matba’ah Nadhr, 2001, bab al-Ayyam al-Sittah min Syauwal, hlmn 215
[3] Diriwayat oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya, Ibn Hibban dalam Sahihnya dan al-Munziri dalam Targhib wa al-Tarhib
sumber asal artikel ini https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2642829899063995&set=a.340270699319938&type=3&theater
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://pemudattbc.blogspot.com/2019/06/puasa-6-pada-bulan-syawal.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+KeArahMencariRedhanya+(Ke+Arah+mencari+redhaNYA)