Proses Bidaan Kapal Equanimity Bermula Isnin
THE MALAYSIAN TIMES                                                   

Equanimity
KUALA LUMPUR: Proses bidaan bagi kapal mewah ‘Equanimity’ milik Low Taek Jho ataupun  lebih dikenali sebagai Jho Low akan bermula Isnin ini sehingga 28 Nov,  kata Ong Chee Kwan, peguam bagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 Ong berkata Mahkamah Admiralti juga telah meluluskan terma dan syarat  bagi proses bidaan yang akan berlangsung selama sebulan, mereka yang  berminat untuk membeli kapal mewah Equanimity itu perlu bayar deposit  sebanyak USD1 juta (RM4.17 juta).
 “Ini bukan bidaan dalam talian, tidak semua individu boleh disertakan  dalam senarai pembida, hanya mereka yang berkelayakan sahaja dan mereka  perlu bayar deposit sebanyak USD1juta, ini bagi memastikan hanya  pembeli yang serius sahaja datang membuat bidaan,” katanya.
 Ong yang turut mewakili dua anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy  Holdings Limited dan 1MDB Global Investment Limited berkata demikian  kepada pemberita selepas pengurusan kes itu dalam kamar Pesuruhjaya  Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Khadijah Idris di sini, hari ini.
 Ong berkata bagi pembida yang berkelayakan mereka berpeluang melihat  keadaan kapal mewah yang berharga USD250 juta (RM1.42 bilion) itu dan  satu tarikh akan ditetapkan bagi tujuan itu.
 “Mereka akan mendapat borang tawaran, menandakan mereka menerima  syarat-syarat penjualan, ia akan dimasukkan ke dalam sampul dan akan  dihantar kepada pegawai Mahkamah Admiraliti yang akan membukanya selepas  bidaan,” katanya.
 Beliau berkata laporan penilaian itu adalah sulit dan hanya Sheriff  sahaja yang tahu dan akan menetapkan satu tarikh bagi membuat cabutan  bidaan.
 Ong berkata maklumat lengkap berkenaan bidaan kapal mewah itu juga  akan disiarkan dalam akhbar tempatan dan antarabangsa sama ada hari ini  atau esok, individu yang berminat boleh menghubungi ejen pusat.
 Beliau berkata, bagi pembida yang berjaya dipilih oleh sheriff  mahkamah, dikehendaki membayar 10 peratus daripada harga keseluruhan  kapal dan baki 90 peratus dalam tempoh 10 hari kemudian.
 Pada 19 Okt lepas, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kapal mewah  Equanimity sebagai milik kerajaan Malaysia dan 1MDB selepas pemilik  berdaftar gagal hadir menuntut kapal itu dan kerajaan kini boleh menjual  kapal itu.
 Mahkamah juga memutuskan dua syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings  Limited dan 1MDB Global Investment Limited sebagai pemilik sah dan  benefisiari kapal berkenaan, sehubungan itu, secara tidak langsung  kerajaan Malaysia adalah benefisiari kedua-dua syarikat itu.– Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/10/proses-bidaan-kapal-equanimity-bermula.html