Projek Teater Yoep Tribute To Syed Alwi
Projek Teater YOEP ‘Tribute To Syed Alwi’ bakal mengangkat tiga naskah terpilih karya. Ia adalah drama Alang Retak Seribu (1973), Tok Perak (1974) dan Going North (1980) dan akan dipentaskan dengan konsep forum teater.
Konsep teater forum adalah interaktif antara pelakon, watak dan penonton semasa persembahan berlangsung. Ia bertujuan menangani isu yang diutarakan berdasarkan tiga naskah iaitu Menuju utara, Alang Rentak Seribu dan Tok Perak. Semasa persembahan, teknik forum teater akan dibuat bagi mendapat cadangan, pandangan dan cerita sebenar terhadap persoalan yang ada dalam tiga naskah ini, selain dikaitkan dengan persoalan yang berlaku di dunia sebenar.
Juga akan diutarakan isu seniman negara dan karyanya, termasuk perjalanan hidup Dato’ Syed Alwi sehingga saat kematiannya. Gabungan isu daripada tiga naskah ini dengan teknik forum teater pasti akan membawakan satu revolusi baru dalam struktur persembahan, serta suntikan baru kepada isu yang diutarakan dalam karya Dato’ Syed Alwi.
Ringkasan Cerita
Alang Rentak Seribu
Satu rombongan Filem Negara akan mengadakan penggambaran filem dokumentari mengenai kehidupan masyarakat kampung di kampung si Alang. Untuk melaksanakan kerja, Alang dilantik menjadi penolong pengarah. Alang diminta mencarikan heroin filem ini dari kalangan gadis kampung itu, lalu Alang memilih Mazni tanpa meminta kebenaran daripada ayah Mazni, Pak Halim. Penggambaran filem dimulakan dengan Mazni dipasangkan dengan Zulkifly Iskandar, pelakon dari kota. Ketika penggambaran berlangsung, Pak Halim balik dan mengamuk apabila melihat anaknya berlakon. Alang memujuk Pak Halim sehinggalah Pak Halim faham dan bersetuju Mazni berlakon. Ketika penggambaran hendak disambung, Mokhtar pula membawa cerita bahawa Zulkifly cuba merosakkan Mazni. Sekali lagi Pak Halim mengamuk dan kali ini langsung tidak membenarkan Mazni berlakon. Manakala para krew filem pula diserang oleh Pak Mokhtar dan rakan-rakannya kerana mengambil gambar di kawasan kampung itu. Kerja filem terpaksa dihentikan dan pengarah mengambil keputusan supaya rombongan itu balik sahaja ke Kuala Lumpur. Bagaimanapun, kedatangan Cikgu Mahazan telah mengubah keputusan itu. Apabila mendengar segala masalah yang timbul, Cikgu Mahazan memberikan satu idea yang bernas, yang menghidupkan semula semangat mereka menyambung penggambaran. Sewaktu idea baru ini dilaksanakan, satu masalah lebih besar tercetus, yang akhirnya menimbulkan kekecohan besar kepada semua yang terbabit. Apakah masalah yang timbul? Dapatkah mereka mengatasinya dan selesaikan penggambaran filem di kampung itu ?
Menuju Utara
Menuju Utara membawa para penonton kembali ke zaman kebangkitan komunis pada tahun 1949 di Tanah Melayu. Berlatarbelakangkan sebuah stesen keretapi, Menuju Utara mengisahkan seorang graduan yang di dalam perjalanan pulang ke kampungnya. Ketika menunggu kedatangan kereta api, dia bersua dengan seorang lelaki tua. Lelaki tua tersebut menceritakan permasalahannya dengan anak perempuannya kepada graduan tersebut. Lantas, perbualan di antara graduan dengan lelaki tua itu berkisarkan realiti akan perbedaan pemikiran di antara dua generasi. Namun dengan kebijakasaan pemikiran generasi tua itu, graduan tersebut terikut-ikut akan dengan rentak pemikirannya. Ternyata pertembungan generasi merupakan salah satu titik pergolakkan kisah Menuju Utara. Selain daripada itu, babak yang melibatkan pertemuan anak perempuan lelaki tua bersama graduan itu turut melihatkan kesinambungan segenerasi serta bagaimana mereka mengatasi pergolakkan seharian.
Tok Perak
Mengisahkan tentang seorang penjual ubat, Tok Perak yang muncul semula selepas 34 tahun hilang di dunia terbuka, katanya kerana ingin mencebur diri dalam negara yang tentu lebih matang dan makmur setelah lima puluh tahun merdeka dan ingin membuka langkah baru menjaja hikmat dan nikmat zahir batin kepada manusia abad 21. Seperti biasanya, Tok Perak berjaja dari tempat ke tempat di seluruh negara, dan dari tempat ke tempat dia menemui berbagai perkara dan bermacam kisah yang menghalang kegiatannya, menentang tingkah lakunya, membantah kata-katanya hingga dia ditangkap dan dihukum “kerana mengacau dan mengganggu ketenteraman awam”. Tok Perak pergi ke sebuah taman di pinggir kota memikirkan kejadian terhadapnya. Dia berjumpa dengan seorang pelakon bekerja sebagai tukang kebun kerana tiada tempat dia boleh berlakon tetap. Sambil mereka berbual suasana bergolak membawa ribut. Tok Perak dan pelakon pergi berlindung di pondik tukang kebun sambil awan-awan berpusing-pusing, pokok-pokok tercabut dan segala binaan dan bangunan bergoncang. Redanya ribut Tok Perak dan pelakon keluar beredar ke sana ke mari melihat kesan ribut melanda. Yang paling hebat – beberapa bangunan dan binaan runtuh dan banyak kaum kerabat tercampak keluar dari tempat kediaman dan tapak amalan biasa. Tok Perak berkata kepada pelakon, “Diharap ribut memberi peluang keadaan dan kaedah lama diganti dengan pembawa baru supaya kita dapat berkhidmat sempurna”.
The post Projek Teater YOEP ‘Tribute To Syed Alwi’ appeared first on Her Inspirasi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://herinspirasi.com/gaya-hidup/projek-teater-yoep-tribute-to-syed-alwi/