Projek Pan Borneo Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini
   Bernama

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan projek Lebuhraya Pan Borneo, industri  ikan tuna dan isu Lesen Pengeluaran Filem adalah perkara yang bakal  dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu-isu  berkenaan menjadi tumpuan Ahli Parlimen menerusi 3 soalan pada sesi  waktu pertanyaan-pertanyaan menteri.
Yusuf Abd Wahab (PN-Tanjong Manis) bertanyakan menteri kerja  raya mengenai status terkini pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo  serta justifikasi kerajaan terdahulu membatalkan pelantikan Rakan  Pelaksana Projek (PDP) dan kesan penamatan syarikat PDP tersebut  terhadap pelaksanaan projek.
Seterusnya, Wong Shu Qi (PH-Kluang) pula meminta menteri komunikasi  dan multimedia menyatakan sama ada semua penerbit filem wajib memohon  Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran, tidak kira  mereka adalah agensi media arus perdana atau media individu yang  menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.
Sementara itu, Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PN-Sabak Bernam) mengajukan  soalan kepada menteri pertanian dan industri Makanan berhubung potensi  industri ikan tuna serta usaha kementerian mengembangkan industri itu.
Dalam sesi soal jawab lisan pula, isu berkaitan belia dan  pengangguran pasca Covid-19 turut dijangka menjadi tumpuan perbincangan  ahli Parlimen dengan beberapa soalan akan diajukan.
Antaranya pertanyaan June Leow Hsiad Hui (PH-Hulu Selangor) yang  minta menteri belia dan sukan menyatakan situasi pekerjaan belia ketika  penularan wabak Covid-19 serta inisiatif kerajaan bagi membantu belia  yang terjejas dan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) bertanya kepada  menteri sumber manusia sama ada kerajaan bercadang melaksanakan  pendapatan asas sejagat menerusi projek rintis seperti Finland bagi  mengurangkan kadar pengangguran.
   Sidang dewan yang memasuki hari ke-8 hari ini dijadual menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah Agong.
Tumpuan juga dijangka terarah kepada beberapa pembentangan  rang undang-undang bagi bacaan kali ke-2, termasuk RUU Perbekalan  Tambahan (2019) 2020, RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan  Perbelanjaan) 2020 dan RUU Racun (Pindaan) 2019.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga  27 Ogos berpandukan kebiasaan baru dengan mematuhi prosedur operasi  standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/projek-pan-borneo-tumpuan-dewan-rakyat.html