Prn Dan Pru Wajar Berlangsung Serentak
SHAH ALAM – Cadangan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan secara serentak adalah sesuatu yang wajar.Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, saranan itu dilihat akan memudahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam melakukan proses pilihan raya selain turut menjimatkan masa serta kos perbelanjaan.
“Jadi adalah lebih baik diadakan serentak kerana ia lebih menjimatkan wang negara. Dalam konteks kewangan, satu-satu pilihan raya memerlukan kos yang besar. Jika dibuat berasingan, maka SPR terpaksa menanggung beban kewangan yang bertambah selain terpaksa melakukan kerja yang berbeza.
“Dalam konteks Sarawak, mungkin inilah yang diperhatikan sebagai kelebihan. Dalam masa sama, kita melihat bahawa mungkin beliau (James) menjangkakan pilihan raya umum akan berlaku dalam masa terdekat, selain mandat bagi kerajaan Sarawak yang bakal berakhir pada tahun 2021,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Mujibu berkata, beliau berpendapat tiada perbezaan pada PRN di Sarawak dan PRU di Semenanjung Malaysia dalam aspek proses dan perjalanan pilihan raya.
Katanya, yang berbeza hanyalah masa yang diperuntukkan bagi mengadakan pilihan raya iaitu di Semenanjung Malaysia, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen, manakala tempoh untuk Sabah dan Sarawak lebih panjang iaitu 90 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Sepertimana yang kita tahu, dulu Sabah dan Sarawak mengadakan PRN secara berasingan sehinggalah Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan di Sabah daripada Parti Bersatu Sabah. Tetapi Sarawak masih lagi mengekalkan PRN yang berasingan.
“Jika dibuat berasingan barang kali faktor negeri itu dilihat lebih kuat kerana parti-parti yang bertanding adalah parti kenegerian yang melibatkan kaum seperti di Sabah dan Sarawak. Maka konteks demografi negeri dan corak kempen itu lebih sesuai berbanding di Semenanjung,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik daripada Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed pula berkata, cadangan James itu bukan sesuatu yang baharu kerana pernah diutarakan oleh beberapa pihak sebelum ini.
Beliau berkata, cadangan itu perlu diberikan perhatian oleh kepimpinan negeri Sarawak agar pilihan raya serentak itu boleh dijadikan sebagai satu realiti, bukan lagi sebagaimana sebelum ini yang dilakukan dalam tempoh yang agak berbeza sehingga kadangkala menyusahkan dari segi pelaksanaan.
“Sebelum ini mungkin kerajaan Sarawak mengadakan pilihan raya secara berbeza kerana mereka ingin memberikan tumpuan sepenuhnya kepada isu yang berlaku di dalam negeri. Pada masa sama, calon yang bertanding juga boleh memastikan bahawa isu yang dibawa bersifat lokal.
“Bagaimanapun, kita dapati mengadakan pilihan raya secara serentak sebenarnya baik bukan sahaja kepada pihak kerajaan negeri bahkan juga kepada kerajaan Pusat.
“Sekiranya pilihan raya diadakan secara serentak, banyak perkara dapat diuruskan dengan lebih mudah. SPR juga dapat memberikan tumpuan yang lebih terutama dalam aspek logistik bagi memastikan perjalanan pilihan raya itu dapat dilakukan dengan lebih lancar dan teratur,” katanya.
SH
The post PRN dan PRU wajar berlangsung serentak appeared first on My KMU NeT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/07/18/prn-dan-pru-wajar-berlangsung-serentak/