Prktgpiai Mengapa Ph Mesti Dikalahkan
Saya menulis sebagai respon kepada artikel dari Senator Liew Chin Tong tempoh hari yang bertajuk Why we must defend the Pakatan Harapan government.
Saya secara peribadi, menyambut baik kejujuran Liew apabila beliau mengakui bahawa Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai bukanlah satu medan tempur yang mudah bagi Pakatan Harapan. Saya akui ia benar, dan rakyat juga akan turut memastikannya.
Sebagai seorang warganegara, dan orang Johor, saya ingin mengingatkan Liew bahawa orang Melayu Johor adalah lain perangainya. Mereka amat waras dan dinamik sifatnya.
Berikut adalah beberapa perkara yang Liew dan DAP perlu akui.
Yang paling utama, hal-hal berkenaan identiti dan hak keistimewaan Melayu masih lagi penting bagi orang Melayu Johor. Meskipun Melayu Johor dilihat sebagai moden dan sederhana, ‘Malaysia Baru’ amat menekan dan mengancam budaya dan kehidupan kami di negeri ini.
Kita boleh lihat bagaimana hari demi hari, para pemimpin DAP tidak putus-putus mempersoal dan mempersenda kami sebagai Melayu. Usahlah saya menyenaraikannya, kerana sudah tentu kertas dan pena tidak akan pernah mencukupi.
Maka Muafakat Nasional Umno-PAS merupakan satu wadah penyatuan bangsa yang kuat bagi menolak gerakan anti-Melayu dan anti-Islam yang bermaharajalela di zaman ‘Malaysia Baru’.
Sudah tiba masanya untuk orang Melayu beramai-ramai menolak Pakatan Harapan, dengan cara yang paling demokratik dan matang. Iaitu melalui kertas dan peti undi.
Orang Melayu juga telah jelas melihat, ahli-ahli politik DAP secara konsisten telah memainkan persepsi bahawa Muafakat Nasional Umno-PAS adalah radikal, rasis dan ekstrim.
Mereka beranggapan bahawa orang Melayu akan menjadi liar dan tidak bertamadun, lalu berpotensi untuk bertindak ganas dan melampaui batas ke atas orang-orang bukan Melayu jika Muafakat Nasional dijayakan dengan sepenuhnya. Sebenarnya, dengan pembawakan seakan ini, DAP sendiri telah menunjukkan ketidakpercayaan mereka terhadap pemikiran politik orang Melayu dan Islam.
Lebih malang lagi, Bersatu yang selama ini berpakat bersama DAP seakan rela menghalalkan perkara ini terjadi, dengan anggapan bahawa DAP boleh ‘dijinakkan’ demi kelangsungan kuasa mereka.
Mungkin DAP dan Pakatan Harapan lupa, bahawa orang Melayu Johor merupakan sebuah bangsa yang rasional dan beradab. Mereka melihat dan memerhati, yang mana angkuh terbawa, tampan tertinggal.
Kerana sekarang, rakyat sudah sedar bahawa satu undi untuk Pakatan Harapan ibarat pisang mas di luar, onak di dalamnya.
Muafakat Nasional Umno-PAS tidaklah seperti yang difahami oleh DAP. Pencalonan Wee Jeck Seng telah membuktikan bahawa agenda penyatuan ummah ini tidak sekali-kali menganggu persefahaman, prinsip konsensus serta kongsi kuasa antara parti-parti komponen Barisan Nasional.
Kita bukanlah Taliban dan rasis seperti yang dicanangkan Pakatan Harapan. Ramai yang memperlekehkan tindakan pembangkang untuk tidak menyediakan bajet alternatif bagi Belanjawan 2020.
Tetapi ini tidak bermakna politik Umno tidak berorientasikan ekonomi dan polisi. Lebih dari 60 tahun, kita telah berjaya mengemudi ekonomi Malaysia sebagai negara berpendapatan menengah atas dengan kegiatan ekonomi yang pelbagai dan produktif.
Sesungguhnya, Barisan Nasional tidak perlu bersaing dengan kerajaan yang hanya berusia setahun lebih seperti Pakatan Harapan. Ikhtiar kita untuk memajukan ekonomi bangsa serta negara telah terbukti nyata dan sedang dinikmati oleh semua sehingga ke hari ini.
Apatah lagi kerajaan yang menghasilkan manifesto semata-mata untuk kuasa, ibarat menanam tebu di tepi bibir semata.
Dalam konteks negeri Johor sendiri, ketiadaan visi ekonomi dan pembawakan baharu di bawah pentadbiran Dr Sahruddin Jamal amatlah mengecewakan.
Kebajikan dan kemajuan orang kampung serta orang muda di Johor telah diketepikan, lebih-lebih lagi peneroka Felda dan petani, pekebun kecil serta nelayan. Ini amat berbeza daripada pentadbiran Barisan Nasional Johor yang lalu.
Setiap golongan masyarakat, sama ada di kampung mahupun di bandar telah kita bantu. Bukan sahaja dalam bentuk bantuan sosial, tetapi juga pelbagai inisiatif pemerkasaan yang berkesan dan produktif untuk semua.
Barisan Nasional Johor mempunyai hasrat yang besar untuk negeri ini, melalui visi ‘Dekad Baharu Johor’. Sepuluh tahun mendatang, kita mahu membangunkan negeri Johor melalui ekonomi yang berdaya saing serta infrastruktur yang termoden lagi maju.
Lebih banyak inisiaitif kebajikan dan pemerkasaan juga mahu kita lakukan, agar semua orang Johor tanpa mengira perbezaan kaum dan agama dapat menerima tempiasnya.
Namun apakan daya, kita tidak diizinkan untuk meneruskan usaha tersebut pada PRU-14 yang lalu. Oleh yang demikian, seruan saya kepada semua warga Tanjung Piai, dan rakyat Johor umumnya, biarlah Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai ini menjadi titik mula kita untuk mengembalikan semula dekad yang hilang itu.
Kerana kerajaan Pakatan Harapan Johor pada hari ini langsung tidak berniat untuk membangunkan potensi terpendam yang ada pada setiap sosok tubuh bangsa Johor.
Maka bersamalah kita, memastikan #TanjungPiaiMilikKita semula, insyaAllah.
DATUK HASNI MOHAMMAD adalah pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor merangkap ketua pembangkang Johor.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/11/01/prktgpiai-mengapa-ph-mesti-dikalahkan/