Prestasi Terengganu Fc Pbsnt Pandang Serius Presiden Pbsnt
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan melakukan ‘post mortem’ ekoran kekalahan teruk dialami Terengganu FC (TFC) yang gagal mempamerkan aksi terbaik dalam aksi Liga Super ke-13, malam tadi.
Presidennya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan berusaha mencari punca kelemahan yang menyumbang kepada kekalahan berturut-turut pasukan itu.
“Prestasi pemain macam pasaran saham juga, ada ‘turun naik’. Tetapi, kita harap proses turun naik itu tidak terlalu besar.
"Kita faham ada hari bagus, ada hari kurang strategi dan sebagainya kerana situasi sama juga berlaku kepada pasukan hebat di peringkat Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Apa pun, kita akan cari jalan untuk meminimumkan proses ‘turun naik’ itu,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu masih mempertahankan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim dan meminta pihak pengurusan mengambil serius perkara itu dan merancang strategi baharu bagi mengatasinya.
“Kita tak ragu-ragu terhadap jurulatih. Apa yang perlu dilihat balik ialah kelemahan strategi dan perkara-perkara yang menyumbang kepada kekalahan itu,” katanya.
Terdahulu, belum sampai seminggu kecewa akibat tersingkir daripada saingan Piala FA, TFC sekali lagi tewas 3-5 kepada pendatang baharu Liga Super, PJ City FC dalam aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Biarpun mendahului 3 -0 pada babak pertama, kegagalan mengekalkan rentak menyebabkan pasukan itu dilibas 5 gol pada separuh masa kedua sehingga mencetuskan kemarahan penyokong.
Lebih 200 peminat setia skuad itu berkumpul di luar pintu masuk utama stadium sejurus tamat perlawanan sebagai tanda protes berikutan prestasi memalukan dipamerkan pemain.
Peminat tegar skuad penyu itu turut melontarkan kata-kata 'pedas' termasuk meminta pihak pengurusan PBSNT melakukan rombakan terhadap pemain termasuk awang import kerana gagal mempamerkan aksi terbaik.
Bagaimanapun, perhimpunan aman yang berlangsung lebih setengah jam itu bersurai atas arahan pihak keselamatan. - Sinar Harian
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/05/prestasi-terengganu-fc-pbsnt-pandang.html