Kartel Dedak Saya Dedah Agar Presiden Pimpinan Tak Terpalit
MALAYSIAKINI
Susulan kritikan terhadap pendedahan yang dibuatnya berkenaan 'kartel dedak', menantu presiden PAS Zaharudin Muhammad tampil menjelaskan sebabnya berbuat demikian.
Beliau berkata, niatnya mendedahkan perkara itu hanyalah untuk mengelakkan isu itu daripada terpalit kepada pemimpinan parti iaitu presiden Abdul Hadi Awang, Majlis Syura Ulama dan PAS Pusat.
Untuk mencapai tujuan itu, katanya, dia perlu mendedahkan perkara itu "sebelum terlambat" walau terpaksa berdepan kritikan anggota parti yang tidak setuju dengan tindakannya.
"Misi saya mudah. Saya nak jauhkan perbuatan mendedak ini daripada dilibatkan presiden PAS, majlis syura ulama dan PAS pusat itu sendiri.
"Jadi dua pilihan yang perlu saya pilih. Sama ada biarkan persepsi ramai (tentang) dakwaan YBNA (Yang Berhormat Nik Abduh) dan tentera siber pro mereka bahawa projek ini direstui presiden dan majlis syura...atau pilihan kedua (iaitu) dedah sekarang sebelum terlambat," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Menerusi siri hantaran Facebook, Zaharudin membangkitkan semula isu rakaman audio tular Nik Abduh berkenaan menerima dana daripada Umno.
Keadaaan semakin hangat apabila Zaharudin menamakan lima individu yang didakwa terlibat - "Dr Hussam II (kepala no 1)", "Mr NT", "Mr KT", "Mr KH" dan individu yang kelima sebagai “semua dah tahu.”
Setakat ini tiada mana-mana pemimpin terbabit tampil membuat kenyataan, dan cubaan Malaysiakini menghubungi mereka juga belum berhasil.
Mengulas lanjut, Zaharudin berkata kesan lebih besar akan menimpa PAS jika Umno didakwa melakukan kesalahan misalnya mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amlafta) 2001.
"Maka bukan sahaja Umno dan Datuk Seri Najib akan dihukum, bahkan PAS dan kepimpinan PAS boleh tersangkut sekali.
“Jika kerajan PH tak mampu sabitkan dengan bukti sekalipun, tetapi cukup mereka gunakan kenyataan Nik Abduh dan sekutu-sekutunya yang bersungguh-sungguh mendakwa keterlibatan kepimpinan tertinggi dengan mendedak sebagai alasan untuk menangkap kepimpinan PAS.
"Ketika itu kita nak nafi penglibatan keterlibatan pimpinan dan majlis syura ulama?... Sedangkan hari ini kartel dedak dan tentera siber (mereka) bersungguh-sungguh pertahankan mendedak itu harus dan dibuat oleh pimpinan tertinggi...," katanya lagi.
Dengan membangkitkan perkara itu sekarang, beliau yakin PAS akan lebih selamat pada masa akan datang
Tambahnya, dengan pilihan kedua, dia yakin PAS akan lebih selamat untuk jangka masa panjang sekiranya berlaku sabitan ke atas kes-kes tersebut.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/05/kartel-dedak-saya-dedah-agar-presiden.html