Polis Kadar Jenayah Di Kl Turun 48 Peratus
Faisal Asyraf     Kadar jenayah di Kuala Lumpur telah menurun susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan seja 18 Mac lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata bilangan jenayah yang direkodkan berkurang hampir separuh.
"Kadar  jenayah di Kuala Lumpur telah menurun sebanyak 48 peratus. Jenayah  seperti ragut dan curi motosikal berkurang dengan begitu banyak,"  katanya ketika ditemui dalam operasi Covid-19 di pasar borong Selayang  di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat lanjut.
Turut hadir untuk operasi itu ialah Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Yong Lei Choon dan Ketua Polis Centul S Shanmugamoorthy.
Mazlan  berkata polis mencadangkan pihak berkuasa tempatan untuk mengehadkan  waktu operasi Pasar Borong Selayang dan mengurangkan bilangan pekerja di  sana bagi membendung risiko menularnya wabak Covid-19.
"Ada 440 kedai di pasar ini. Jika satu kedai ada lima pekerja, ini bermakna akan ada lebih 2,000 pekerja.
"Ia  terlalu sesak. Kami ingin mencadangkan (kepada pihak berkuasa tempatan)  untuk mengehadkan bilangan pekerja untuk setiap kedai.
"Dalam  keadaan sekarang, hanya ada beberapa pelanggan. Tidak perlu untuk  mengekalkan bilangan pekerja yang sama (seperti sebelumnya)," katanya  lagi.
Dalam operasi itu, Mazlan mengetuai pasukan polis untuk  memantau keadaan di pasar itu. Dron turut digunakan untuk membuat  pengumuman menggunakan speaker.
Susulan pengumuman Kementerian  Kesihatan bahawa Lembah Pantai, Titiwangsa dan Kepong mencatatkan  bilangan kes Covid-19 yang tinggi, Mazlan berkata bilangan polis untuk  memantau pergerakan awam akan ditambah.
Setakat 21 Mac, Lembah  Pantai mencatatkan kes tertinggi di Kuala Lumpur dengan 90 kes, diikuti  dengan Titiwangsa (41) dan Kepong (24).
"Saya telah beri arahan kepada pegawai saya untuk masuk ke kawasan kediaman dan membuat pengumuman dengan pelaung suara.
"Jika boleh, kita mahu kadar kepatuhan meningkat kepada 95 peratus. Pada masa ini, ia hampir 90 peratus," katanya lagi.
Secara  keseluruhan, Mazlan berkata polis telah mengadakan 51 sekatan jalan  raya di Kuala Lumpur dan Putrajaya, dengan 3,127 polis yang bertugas.  Mereka dibantu oleh 420 askar.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/03/polis-kadar-jenayah-di-kl-turun-48.html