Polis Gendut Dan Liciknya Penyangak Lari
Pada awal 2016, laman FMT menyiarkan rumusan satu tinjauan pendapat. Rata-rata mereka yang ditemu bual bersetuju dengan langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika itu mewajibkan setiap anggotanya menurunkan berat badan sebagai syarat kenaikan pangkat.
Kebanyakannya bersetuju penguatkuasa undang-undang perlu mengekalkan tahap kesihatan dan kecergasan yang baik untuk menjalankan tugas dengan berkesan di sebalik ada satu atau dua pandangan bahawa prasyarat untuk kenaikan pangkat seperti itu sebagai tidak masuk akal.
“Biasanya kalau gemuk banyak penyakit. Kalau tiada penyakit pun, nak kejar penyamun pula susah. Kita nak polis kita nampak segak, baru penyamun tengok pun takut,” kata seorang responden yang ditemui FMT di sekitar Masjid Jamek Kuala Lumpur.
Banyak lagi alasan lain dikemukakan bagi menyokong langkah itu termasuk obesiti dalam kalangan anggota polis menyukarkan untuk mereka buat kerja di lapangan kecuali terikat dengan tugas hanya di pejabat sepanjang waktu bekerja.
Ada pula beranggapan anggota polis gendut akan sukar mencari seragam sepadan dengan menyarankan: “Terlebih berat pun tak boleh juga, nanti pakaian seragam tu tak kena dengan pangkat.”
Dalam pada itu, ada yang bersimpati dengan anggota polis gemuk atas alasan genetik terutama mereka yang makin berumur apabila beban tugas tidak meluangkan mereka banyak masa untuk terbabit dengan aktiviti sukan dan senaman berintensiti tinggi.
“Memang keadaan fizikal yang sentiasa terjaga penting untuk stamina tetapi tak perlulah sampai tak boleh naik pangkat, macam tak masuk akal pula. Tidak semestinya anggota polis yang berbadan besar tidak boleh buat kerja,” kata satu pendapat lagi.
Namun, langkah PDRM pada 2016 itu yang mahu mewajibkan anggota polis lulus ujian Indeks Jisim Badan (BMI) dan ujian kesihatan sebagai syarat kenaikan pangkat dan pengesahan jawatan dirasakan satu keperluan mendesak.
Ini selepas Pengarah Pengurusan Bukit Aman ketika itu Zulkifli Abdullah dipetik sebagai berkata lebih 11,000 pegawai dan anggota polis atau 8.5% daripada keseluruhan berjumlah 130,000 pada waktu itu dikategorikan gemuk – jumlah sebenar dipercayainya lebih tinggi kerana ada anggota pasukan itu yang tidak menjalani pemeriksaan kesihatan.
Ketua Polis Negara (KPN) pada waktu itu Khalid Abu Bakar turut bertegas bahawa langkah berkenaan dibuat bagi memastikan anggota PDRM sihat tubuh badan dan mengelak penyakit berbahaya seperti kencing manis dan darah tinggi.
Lantas beliau menyokong penuh tindakan mewajibkan anggota polis gemuk menjalani program latihan menurunkan berat badan atau tidak akan dinaikkan pangkat.
“Tindakan ini bukan hanya membabitkan Malaysia. Pasukan polis negara ASEAN lain turut menetapkan syarat kecergasan untuk naik pangkat. Mungkin orang boleh cakap ini tak terpakai pada saya sebab saya dah KPN. Tetapi sebenarnya ini terpakai kepada semua termasuk kepimpinan tertinggi PDRM.
“Saya sendiri tak terkecuali,” katanya selepas program penyerahan dan pengambilan tugas pengarah eksekutif dan pengarah Sekretariat ASEANAPOL di Kuala Lumpur pada 13 Jan 2016 sambil menambah masalah obesiti hanya akan menjejaskan imej pasukan polis negara.
Laman berita The Malaysian Insider yang membuat susulan kepada arahan berkenaan pula memetik seorang pegawai berpangkat inspektor berusia awal 30-an sebagai berpendapat Bukit Aman tidak berlaku adil dalam ‘menghukum’ pegawai dan anggota gemuk.
“Sudah tentu kelihatan sihat dan cergas adalah penting sebagai seorang anggota polis tetapi kami bekerja kadang-kadang hampir 24 jam sehari. Kami tidak mempunyai masa untuk berehat, apatah lagi mengamalkan makanan seimbang. Kami bekerja terlalu kuat sehingga menyebabkan obesiti,” katanya.
“Orang lama tak sesuai nak kuruskan badan. Agak sukar,” kata seorang sarjan penyelia kereta peronda di Shah Alam yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan gout. Beliau mengakui tidak lagi memikirkan kenaikan pangkat kerana akan pencen di samping naik pangkat akan memerlukannya berpindah ke tempat lain dan ini menyusahkan.
Dalam reaksinya, Khalid mengungkapkan: “Itu pandangan mereka, kerana terlebih kerja jadi gemuk. Saya tak pasti. Saya bukan pakar untuk katakan orang banyak kerja jadi gemuk.
“Apa kami cuba buat ialah pastikan kesihatan warga PDRM. Kami dapati ramai pegawai polis dan anggota yang kurang sihat. Malah, jumlah kematian pegawai berkhidmat disebabkan kencing manis dan darah tinggi adalah tinggi,” katanya.
Cuma, syarat ketat kenaikan pangkat ketika itu tidak ketinggalan menimbulkan sindiran. Di sebalik 90% pegawai dan anggota polis dalam keadaan ‘Trim N Fit’ – satu program perintis menurunkan berat badan yang dilaksanakan PDRM pada 2016 – seorang penjenayah gemuk seperti Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low boleh terlepas lari. Ia dengan sendirinya menolak mitos ‘polis yang kurus dan cergas mudah nak tangkap penyamun’.
Selewat November lalu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat tentang keberadaan Jho Low – ahli perniagaan dalam buruan sejak 2014 yang didakwa mendalangi dan melarikan wang USD4.5 bilion dari dana syarikat pelaburan strategik negara 1MDB – yang didakwa bersembunyi di Myanmar.
Selain sebelum ini dia dikatakan bersembunyi di China, Macau dan Hong Kong, mantan KPN Abdul Hamid Bador pada Sept 2019 berkata PDRM mengetahui lokasi Jho Low dan berhasrat membawanya pulang menjelang hujung tahun berkenaan.
Sambil percaya dia mendapat perlindungan di sebuah negara yang enggan dinamakannya, Hamid berkata Jho Low — licik dan mempunyai agenda jahat serta menggunakan wang untuk membeli pengaruh — bebas bergerak dan berniaga di negara itu.
“Kami tahu di mana dia, kami sedang berunding dengan negara itu, namun saya yakin akan dapat membawa balik Jho Low tidak lama lagi,” katanya. Namun, dia terus gagal dijejaki hingga kini.
Khamis lalu, Razarudin mengulangi syarat mempunyai BMI kurang daripada 28 untuk anggota polis menikmati kenaikan pangkat – gelombang kedua peraturan berkenaan sejak 2016 dalam usaha meningkatkan keupayaan mereka untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara.
Razaruddin, timbalannya Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Shuhaily Mohd Zain tampil sebagai contoh kepada seluruh pasukan terhadap keupayaan mereka mengelakkan kegemukan di sebalik beban kerja yang tidak meluangkan banyak masa untuk melakukan senaman berat.
Jika dipatuhi sepenuhnya oleh seluruh pegawai dan anggota untuk memastikan mereka sentiasa dalam keadaan bersiap siaga, mana tahu penyangak gemuk dalam buruan yang sangat dikehendaki akan dapat diberkas jua akhirnya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/01/polis-gendut-dan-liciknya-penyangak-lari.html