Polis Akan Panggil Hasanah Tiga Pegawai Kanan Sprm
                                Oleh Bernama                                                                                                                                                                                                                                             

             POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil tiga pegawai kanan  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sebelum ini direman  selama enam hari oleh SPRM bagi melengkapkan siasatan berhubung  kehilangan wang berjumlah AS$6 juta (RM25 juta).
      Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil  Hassan berkata pihaknya juga turut akan memanggil pemilik wang  berkenaan, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia  (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.
   “Kesemua mereka akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan dan mereka  dipanggil berdasarkan siasatan oleh pegawai penyiasat,” katanya kepada  Bernama di sini hari ini.
          Semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan  berkata PDRM telah membuka satu kertas siasatan berhubung satu laporan  polis yang diterima berkaitan isu berkenaan.
   Hamzah berkata kertas siasatan dibuka di bawah klasifikasi Kertas Enkuiri Polis (KEP).
   Pada Isnin, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya direman selama  enam hari bagi membantu siasatan terbabit dakwaan salah guna kuasa serta  penyelewengan.
Sementara itu Abd Jalil berkata proses permohonan ekstradisi Muhammad  Sajjad Kamarul Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat masih sedang  berjalan.
   Beliau berkata proses ekstradisi usahawan kosmetik itu melibatkan  Jabatan Peguam Negara selain pihak berkuasa Thailand masih dipergiat.
   “Ya ia masih berjalan dan permohonan itu merupakan sebahagian daripada prosesnya,” katanya.
   Beliau mengulas dakwaan pihak berkuasa Thailand kononnya tidak  menerima sebarang permohonan ekstradisi Muhammad Sajjad, 36, yang kini  ditahan pihak Imigresen Thailand kerana memiliki passport tidak sah.
   Muhammad Sajjad dikehendaki di negara ini atas beberapa kesalahan  jenayah antaranya menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan dan  halang penjawat awam menjalankan kewajipan selain kes penipuan  pertukaran nama dan jantina.
   Beliau turut dikehendaki selepas waran tangkapnya dikeluarkan kerana  gagal hadir di sebutan semula pertuduhan kerana berpakaian menyerupai  wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor. – BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/polis-akan-panggil-hasanah-tiga-pegawai.html