Pmx Damaikan Ketegangan Thailand Kemboja Tapi Ada Urusan Lain Yang Berlaku
PMX Damaikan Ketegangan Thailand-Kemboja, Tapi Ada ‘Urusan’ Lain Yang Berlaku
Dalam minggu ini, ketika dunia sedang memberi pujian atas kejayaan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mendamaikan ketegangan antara Thailand dan Kemboja, ada juga ‘deal’ yang berlaku namun tidak mendapat liputan meluas ataupun perhatian daripada orang awam.
Namun, perkara-perkara tersebut juga merupakan elemen penting yang memberi impak kepada ASEAN dan juga perdamaian antara dua negara Asia Tenggara ini. Pada 28 Julai, Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada perundingan penting yang menyaksikan dua negara jiran yang hampir terjerumus dalam konflik sempadan bersetuju kepada gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat.
Apa ‘urusan lain’ yang sebenarnya berlaku?
Seperti semua sedia maklum, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga selaku Pengerusi ASEAN 2025 telah menjadi ‘arkitek’ kepada pelaksanaan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja. Tapi, tak ramai yang tahu apa lagi yang berlaku dalam tempoh berkenaan. Jadi, artikel ini akan menyenaraikan dan menghuraikan beberapa peranan dan perkara yang berlaku ketika proses mendamaikan konflik sempadan antara dua negara Asia Tenggara ini.
1.Menjadi Hos Rundingan di Putrajaya
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mainkan peranan penting sebagai fasilitator neutral dengan menjemput kedua-dua pemimpin, iaitu Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan juga Perdana Menteri Sementara Thailand, Phumtham Wechayachai untuk bertemu secara fizikal di Putrajaya pada 28 Julai 2025.
Langkah ini dikatakan penting dan bijak kerana dapat membuktikan kesediaan Malaysia untuk ambil tanggungjawab kepemimpinan serantau sebagai Pengerusi ASEAN 2025. Ia juga membuka ruang kepada dialog langsung tanpa perantara asing, sekaligus kukuhkan diplomasi serantau.
2. Umumkan Gencatan Senjata “Segera dan Tanpa Syarat”
Datuk Seri Anwar, dalam satu sidang media bersama telah memaklumkan bahawa kata persetujuan telah dicapai untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa sebarang syarat, bermula tepat tengah malam 28 Julai.
Dengan kredibiliti yang dimiliki beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menyakinkan kedua-dua pihak agar hentikan pertempuran di sempadan yang telah berlangsung selama 5 hari dan juga membuka semula komunikasi ketenteraan dan diplomatik yang terputus akibat serangan bertali arus.
Kredit: Pejabat Perdana Menteri Malaysia
3. Merangka Pelan Tindakan Susulan
Dua peranan di atas mungkin telah ramai yang sedia maklum, tapi tak ramai yang tahu ada juga usaha Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyarankan agar Mesyuarat antara komander tentera Thailand dan Kemboja diadakan sehari selepas gencatan senjata bagi menilai semula penempatan tentera dan juga menubuhkan saluran komunikasi kecemasan.
Selain itu, Anwar juga sarankan agar Penubuhan Jawatankuasa Sempadan Bersama (Joint Border Committee) yang akan bermesyuarat pada 4 Ogos 2025 bagi merangka zon bebas tentera dan juga tentukan kawasan sensitif untuk penempatan pengaman dan pemerhati.
4.Membina Suasana Diplomatik Serantau
Anwar Ibrahim juga berjaya memelihara maruah diplomasi ASEAN dengan menjadikan rundingan ini sebagai inisiatif ASEAN dan bukannya dikuasai kuasa besar seperti China atau A.S. Secara tidak langsung, perkara ini dapat membuktikan negara-negara Asia Tenggara mampu selesaikan konflik sendiri.
Satu lagi langkah bijak yang dibuat oleh beliau dengan mengundang dua pemerhati penting, iaitu duta Amerika Syarikat dan China untuk beri tekanan moral dan diplomatik kepada kedua-dua pihak supaya menghormati konsensus dan menunjukkan ketulusan perundingan.
5.Menggalas Tanggungjawab Sebagai Pengerusi ASEAN
Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mempamerkan kredibiliti beliau sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan memanfaatkan platform ini sebagai komitmen Malaysia terhadap keamanan serantau dan bertepatan dengan prinsip ASEAN.
Kredit: Pejabat Perdana Menteri Malaysia
Usaha PMX Jayakan Rundingan Damai Disifatkan Keputusan Bijak
Tidak disangkal lagi, peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perdamaian dua negara Asia Tenggara ini sangat memberi impak yang besar. Disebabkan itu juga, usaha ini dianggap sebagai keputusan bijak, seperti yang disifatkan oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
Beliau juga turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar kerana berjaya menyelaras dan menjadi tuan rumah kepada usaha rundingan damai di Putrajaya itu.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto juga tidak terlepas mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berjaya menyusun gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja dan menyifatkan ia adalah satu pencapaian yang wajar kita syukuri,
Usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mendapat perhatian Kerajaan Amerika Syarikat, di mana Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berterima kasih kepada beliau atas kepimpinan menjadi hos perundingan gencatan senjata ini. Bukan itu sahaja, Presiden Trump juga memuji usaha itu sebagai langkah penting untuk pulihkan keamanan.
Melihat pandangan masyarakat Malaysia pula, ramai yang menzahirkan rasa positif dengan usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia ini. Kebanyakannya berpendapat ia merupakan sifat terpuji dan contoh yang terbaik kerana mendamaikan dua pihak yang sedang berselisih. Tak habis dengan itu sahaja, ada yang berpendapat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa konsisten dan komited dalam menguruskan tugasannya. Seperti perkara ini, beliau dilihat memainkan peranan yang sangat baik sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan berjaya mengelakkan sengketa di antara negara-negara ASEAN.

Bukan hanya rakyat Malaysia, pemilik akaun Facebook dipercayai dari Kemboja dan Thailand juga turut berterima kasih kerana telah menjadi tonggak utama dalam perdamaian antara dua buah negara ini. Ada yang berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membawa ‘chapter’ baharu bagi kedua-dua negara. Selain itu, mereka juga sangat menghargai sokongan yang diberikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berharap pemimpin ini dapat terus membawa ASEAN ke peringkat yang lebih tinggi.

Secara ringkasnya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukan sahaja menamatkan ketegangan antara dua negara ini, malah turut meletakkan landskap baharu keselamatan di sempadan Asia Tenggara. Tindakan beliau yang turut merangka tindakan susulan seperti percepatkan Dialog Tentera Dua Hala dan juga menubuhkan Jawatankuasa Sempadan Bersama sebagai tindakan bijak bagi mengatasi konflik ini berterusan dan mengelak berlakunya konflik yang sama berlaku pada masa akan datang.
The post PMX Damaikan Ketegangan Thailand-Kemboja, Tapi Ada ‘Urusan’ Lain Yang Berlaku appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/07/30/pmx-damaikan-ketegangan-thailand-kemboja-tapi-ada-urusan-lain-yang-berlaku/