Pm Akui Terkesan Dengan Prestasi Malaysia Dalam Pisa 2022
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) melakukan gimik perasmian sambil diperhatikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kiri) dan Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman (kanan) pada Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan “The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia” di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya. - Foto NSTP/Aswadi Alias
KUALA LUMPUR: Sikap taasub terhadap kegemilangan lampau dikatakan antara punca Malaysia tidak dapat bergerak maju ke hadapan dalam pelbagai bidang, termasuk sektor pendidikan
Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata semua pihak perlu mengadaptasi perubahan yang berlaku seiring peredaran masa, selain mengelak sindrom penafian supaya negara mampu bergerak ke hadapan
Mengetengahkan prestasi Malaysia dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022, Anwar berkata, ia adalah contoh kegagalan untuk mengakui kekurangan dalam sistem terdahulu yang sekali gus memberi impak kepada kedudukan negara bagi penarafan antarabangsa
Beliau juga mengakui terkesan dengan prestasi Malaysia dalam PISA 2022, selain menegaskan alasan standard dikemukakan berhubung perkara itu adalah berpunca akibat penularan pandemik COVID-19 yang turut menjejaskan semua negara lain
"Kita berada di sini ketika ini, bukan untuk menafikan pencapaian terdahulu seperti pertumbuhan ekonomi, perpaduan dan peningkatan pada tahap tertentu dalam sistem pendidikan
"Namun, jika dilihat fakta asas, beberapa daripadanya (berada di tahap) membimbangkan. Justeru, kita perlu rujuk laporan PISA terkini yang akan memberi gambaran (sebenar) kepada tahap kejayaan negara
"Malaysia berada di tangga ke-51 daripada 81 negara dalam kajian PISA, khususnya dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Malah, kita terburuk dalam kalangan tujuh negara ASEAN," katanya
Beliau berkata demikian berucap merasmikan Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan 'The Next 100 Years: Vision 2100 for Malaysia' di Universiti Malaya (UM) hari ini
Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman
Baru-baru ini, Malaysia dilapor mencatat kemerosotan dalam purata pencapaian ketiga-tiga domain literasi dalam PISA 2022, dengan kesan pandemik COVID-19 yang menjejaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilihat sebagai antara faktor penyumbang utama
Hasil kajian PISA yang dilaksanakan setiap tiga tahun kecuali pada 2021 susulan pandemik COVID-19, skor direkodkan purata pencapaian Malaysia dalam Literasi Matematik menurun sebanyak 31 mata pada kali ini, manakala Literasi Saintifik (22) dan Literasi Bacaan (27) berbanding PISA 2018
Keputusan pentaksiran kali ini turut menyaksikan Malaysia mencatat 52.1 peratus dalam penguasaan minimum Aras 2 hingga tertinggi Aras 6 bagi Literasi Saintifik, manakala Literasi Matematik pula 41.0 peratus dan Literasi Bacaan (41.9)
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menggesa semua pihak menilai semula punca kegagalan Malaysia bergerak ke hadapan supaya permasalahan berkenaan dapat diatasi secara menyeluruh dan segera
"Kita perlu tanya diri sendiri bagaimana kita boleh gagal. Ini adalah soalan yang perlu kita tanya sebelum mahu membincangkan mengenai visi negara bagi 100 tahun akan datang
"Kita perlu cakna mengenai keadaan negara dan tidak boleh kekal dalam sindrom penafian," katanya yang juga Ahli Parlimen Tambun
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.cikgushare.com/2024/01/pm-akui-terkesan-dengan-prestasi.html