Pkr Tugas Besar Menanti Anwar
Muhammad Saufee Rosman dan Mohd Fharkhan Abdul Ghapar, Bernama         
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal  mengambil alih tampuk kepimpinan parti dilihat bukan sahaja memikul  tanggungjawab mengetuai parti komponen terbesar Pakatan Harapan malah  tugas lebih besar menanti iaitu untuk menangani budaya ‘kem politik’  dalam parti itu
Tugas ‘menjernihkan’ budaya berpuak itu perlu  dilakukan segera bagi mengelakkan risiko berlaku perpecahan dalaman  parti pasca pemilihan PKR yang mungkin akan memberi kesan terhadap  kedudukan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Mengupas isu itu,  penganalisis dan pemerhati politik, Dr Chandra Muzaffar berkata PKR  sebagai parti komponen terbesar PH perlu segera 'mengubati’ budaya tidak  sihat itu sebelum ia menjadi kudis dalam parti.
"Hal sedemikian  merupakan masalah besar bagi PKR serta kerajaan PH… ada kemungkinan  berlaku perpecahan dalam parti, sekiranya (budaya) kem atau puak ini  berterusan.
 “Kini mereka (PKR) memegang kuasa (sebahagian  daripada kerajaan) dan atas dasar itu PKR perlu mencari jalan  penyelesaian bagi mengatasi (budaya) kem politik bagi mengukuhkan  kedudukan parti," katanya ketika dihubungi Bernama.
Mengulas  lanjut, Chandra, yang juga bekas Timbalan Presiden PKR sebelum,  mengumumkan keluar parti pada Disember 2001 mengakui budaya itu sudah  wujud dalam PKR sejak awal penubuhannya, namun dilihat semakin serius  pada masa ini
"… ia bukan perkara baharu, cuma saya nampak  sekarang (kem politik) jauh lebih teruk berbanding dahulu. Maka, perkara  ini akan menjadi cabaran kepada barisan pemimpin baharu untuk  menghadapinya pada masa akan datang, terutamanya selepas proses  pemilihan PKR (tahun ini) selesai," katanya.
"Saya berharap para  pemimpin utama PKR seperti (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) selaku presiden  baharu perlu bersikap bebas dan neutral bagi mengatasi masalah kem dan  puak dalam parti itu," tambahnya.
Persaingan sengit antara Anggota  Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Anggota  Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli yang perebutan jawatan timbalan  presiden dilihat secara tidak langsung mewujudkan ‘kem’ dalam parti.
Kelantangan  Rafizi mengkritik proses pemilihan parti dan dakwaan Azmin sebagai  individu yang akrab dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad  kononnya tidak disenangi oleh pengikut setia Anwar antara ‘drama’ yang  menjadi perhatian umum sepanjang proses pemilihan PKR.
Menjelang  Kongres Nasional PKR pada Jumaat ini, keputusan akhir tidak rasmi yang  dipaparkan menerusi laman Twitter ‘Pemilihan KEADILAN 2018’ menyatakan  Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, mendahului dengan  70,550 undi mengatasi Rafizi (66,594 undi) untuk menempah kerusi  timbalan presiden
Sementara itu, profesor di Jabatan Pengajian  Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra  Malaysia (UPM), Prof. Dr. Zaid Ahmad dan Penganalisis politik dari  Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian bersetuju  pasca pemilihan PKR, Anwar perlu melaksanakan proses pendamaian dalam  kalangan kepimpinan tertinggi parti hingga anggota di peringkat cabang.
Zaid  menjelaskan walaupun Anwar seperti tidak memperlihatkan campur  tangannya pada proses pemilihan dengan tidak memihak kepada mana-mana  individu sebagai tanda demokrasi, namun beliau perlu lebih tegas pasca  pemilihan nanti.
“Anwar  perlu bijak menangani pihak dan penyokong yang kalah supaya selepas  pemilihan ini mereka masih rasa diperlukan dan dihargai oleh parti. Dia  (Anwar) mesti berupaya lakukan pendamaian agar ahli parti dapat kembali  bekerja bersama-sama dan tinggalkan segala persaingan ketika pemilihan  untuk mengukuhkan parti menuju PRU15,” katanya kepada Bernama.
Sementara  itu, Sivamurugan berpendapat langkah merapatkan saf kepimpinan PKR  bukan sahaja pada aspek perpaduan pemimpin tertinggi malah literasi  politik dan matlamat parti harus dididik dalam kalangan anggota agar  mereka memahami jawatan dan pangkat bukan perkara penting dalam  perjuangan.
Tambahnya, Anwar harus pastikan tindakan segera untuk  kembalikan perpaduan dalam parti dan yang kalah harus menerima hakikat  (kekalahan), manakala yang menang tidak boleh pinggirkan yang kalah.- Bernama 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/11/pkr-tugas-besar-menanti-anwar.html