Pilih Sekolah Bersesuaian Potensi Diri Minat Anak
Oleh Prof Madya Dr Tajularipin Sulaiman
SISTEM pendidikan di Malaysia adalah unik dan bersifat komprehensif. Bagi memenuhi minat, bakat, potensi diri murid dan keperluan negara, terdapat pelbagai jenis sekolah diwujudkan.
Sehingga kini terdapat lebih dari 15 jenis sekolah di Malaysia antaranya sekolah kebangsaan, sekolah berprestasi tinggi, kluster, premier, agama, bestari, teknik, berasrama penuh, pendidikan khas, sukan, seni selain kolej vokasional dan Maktab Rendah Sains MARA.
Semua jenis sekolah ini memberikan tumpuan dalam bidang dan keperluan khusus bagi kumpulan pelajar tertentu. Kriteria kemasukan ke setiap jenis sekolah ini juga turut berbeza mengikut bidang tumpuan dan fungsi penubuhannya.
Sebagai contoh sekolah berasrama penuh memberi tumpuan kepada bidang sains, sekolah teknik (bidang teknikal dan kejuruteraan), manakala sekolah sukan pula memfokus kepada kecemerlangan bagi melahirkan atlet yang akan dapat mengharumkan nama negara.
Tujuan pelbagai jenis sekolah ini diwujudkan pastinya bagi memenuhi keperluan murid, masyarakat dan untuk pembangunan negara. Dari aspek murid, kepelbagaian jenis sekolah ini akan dapat meraikan minat, bakat dan kebolehan yang berbeza bagi setiap individu.
Bagi keperluan masyarakat, umum mengetahui masyarakat di negara kita ini terdiri dari pelbagai bangsa, agama dan latar belakang. Justeru penubuhan pelbagai jenis sekolah ini bertujuan untuk memenuhi keperluan berbeza bagi setiap individu dalam masyarakat ini. Contohnya, sekolah agama diwujudkan dengan tujuan bagi membina sahsiah murid melalui penerapan pendidikan keagamaan dan seterusnya melahirkan insan yang syumul.
Negara juga berkehendakkan pembangunan modal insan yang mampan bagi memastikannya berada pada landasan betul menuju ke negara maju. Justeru pelbagai jenis sekolah diwujudkan bagi memastikan matlamat ini tercapai.
Dalam konteks sekolah sukan misalnya, ia diwujudkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), yang sehingga kini terdapat 15 buah sekolah sukan negeri dan lima lagi di peringkat negara. Menurut KPM, Sekolah Sukan Malaysia (SSM) ialah sekolah untuk mengumpul atlet murid yang berpotensi supaya bakat cemerlang sukan dan akademik mereka dapat dipupuk serta dipertingkatkan di bawah bimbingan jurulatih berdedikasi serta guru-guru akademik terpilih.
Melalui pengawasan lebih tersusun dan cekap, peningkatan prestasi akademik dan sukan dapat diseimbang dan disepadukan. Ramai jaguh sukan negara yang dikenali di peringkat antarabangsa adalah hasil didikan dari sekolah sukan. Sebagai contoh Sekolah Sukan Bukit Jalil yang ditubuhkan sejak tahun 1996, sudah melahirkan ramai juara dunia, atlet ke sukan olimpik, malahan terdapat di antara atlet ini memenangi pingat di acara berkenaan.
Antaranya termasuklah Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Datuk Pandelela Rinong a/k Pamg, Nur Dhabitah Sabri, Farah Ann Abdul Hadi, Farah Begum Abdullah, Leong Mun Yee, Haziq Kamaruddin dan ramai lagi.
Syarat kemasukan
Justeru, apakah syarat kemasukan ke jenis sekolah yang tertentu ini? Pastinya setiap daripadanya mempunyai kriteria dan syarat kemasukan yang khusus.
Bagi sekolah yang menekankan kepada kecemerlangan bidang sains seperti sekolah berasrama penuh, tentunya kriteria kecemerlangan dalam subjek Sains dan Matematik akan diberi lebih penekanan. Selain itu bagi melahirkan murid yang cemerlang dan berkebolehan secara holistik, beberapa aspek lain juga turut diberi tumpuan seperti murid perlu aktif dalam aktiviti kokurikulum, selain juga dinilai dari aspek sahsiah dan personaliti.
Oleh itu dalam pemilihan murid untuk kemasukan ke sekolah seperti sekolah berasrama penuh, teknik dan beberapa jenis yang lain beberapa kriteria ini akan menjadi pertimbangan pihak KPM dalam melahirkan murid yang berjaya dan seterusnya dapat berkembang secara menyeluruh.
Begitu juga dengan kemasukan ke jenis sekolah yang lain, seperti sekolah sukan dan seni. Sekolah sukan contohnya, pihak KPM akan meletakkan beberapa syarat yang khusus bagi kemasukan ke sekolah berkenaan.
Permohonan ke sekolah sukan ini biasanya akan melalui beberapa agensi atau badan sukan seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk dipertimbangkan permohonan murid ini ke sekolah sukan negeri atau negara.
Semua murid yang memohon untuk kemasukan ke sekolah sukan ini perlu melalui ujian mengenalpasti bakat serta akan dinilai jenis sukan yang bersesuaian untuk mereka. Bagi pemilihan murid ke sekolah sukan ini, keutamaan akan diberi kepada murid yang mewakili negeri di peringkat kebangsaan dalam sukan yang diceburi seperti kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan yang dianjurkan oleh persatuan sukan kebangsaan.
Fungsi setiap sekolah berbeza
Justeru adalah penting setiap ibu bapa memahami peranan dan fungsi setiap jenis sekolah ini sebelum mengambil keputusan untuk menghantar anak mereka ke sana.
Semua jenis sekolah ini bermatlamat untuk membantu murid cemerlang dalam bidang pengkhususan yang ditawarkan di sekolah itu selain berjaya dalam bidang akademik. Maka, sekolah yang dipilih seharusnya perlu diselaraskan dengan minat dan kecenderungan anak tersebut.
Bagi murid yang meminati bidang sains umpamanya, maka sekolah sains berasrama penuh adalah pilihan yang paling sesuai. Manakala, bagi anak-anak yang memiliki bakat seni dan kreativiti, maka sekolah seni adalah yang terbaik buat mereka untuk mengembangkan lagi bakat dan kebolehan mereka. Kanak-kanak ini seharusnya diberi peluang untuk mengembangkan bakat dan kemahiran mereka dan seterusnya akan menjadi seorang atlet yang berjaya di masa hadapan.
(*) Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/02/pilih-sekolah-bersesuaian-potensi-diri.html