Piala Aff Suzuki Malaysia Hanya Sekadar Seri 2 2 Menentang Vietnam Final 1st Leg
KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Skuad Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Vietnam 2-2 pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Malaysia yang turun dengan misi membalas dendam kekalahan 0-2 kepada juara edisi 2008 itu pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini, bermula garang dengan menunjukkan penguasaan bola yang baik.
Namun, dalam keghairahan melancarkan serangan ke kubu pasukan pelawat melalui gerakan direncanakan Muhammad Safawi Rasid yang mudah dipatahkan, pemain Vietnam seterusnya membuat serangan balas menghantar bola lambung di sebelah kiri kawasan gol pasukan negara yang gagal dikawal kemas Amirul Azhan Aznan.
Nguyen Huy Hung memanfaatkan peluang terhidang itu pada minit ke-22 selepas rembatannya berjaya menerjah gawang negara setelah penjaga gol, Mohd Farizal Marlias, tertewas untuk pasukan pelawat mendahului 1-0.
Selang tiga minit kemudian, seakan masih terkejut dengan jaringan pertama Vietnam, pemain negara sekali lagi dihukum menerusi jaringan kedua skuad ‘Naga Emas’ itu hasil rembatan padu dari luar kotak penalti oleh pemain tengah, Pham Duc Huy yang tepat menuju ke sebelah kiri gawang gol skuad Harimau Malaya.
Seminit selepas jaringan itu, Malaysia memiliki peluang terbaik untuk merapatkan kedudukan, namun tandukan Mohamadou Sumareh sedikit tersasar di sebelah kanan gawang Vietnam.
Stadium keramat itu akhirnya bergema dengan sorakan penyokong setia Harimau Malaya apabila pemain pertahanan, Shahrul Mohd Saad membuka tirai jaringan skuad kebangsaan menerusi satu tandukan menarik hasil sepakan percuma Mohamed Syamer Kutty Abba pada minit ke-37 untuk kedudukan 1-2 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe menukar strategi dengan mengeluarkan Amirul dan memasukkan pemain tengah, Muhammad Syafiq Ahmad bagi menambah cengkaman di bahagian jentera serangan.
Pada minit ke-60, Malaysia memperoleh sepakan percuma selepas Muhammad Safawi dijatuhkan pemain pertahanan Vietnam.
Muhammad Safawi membuktikan beliau layak dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai Malaysia musim 2018, apabila sepakan percuma diambilnya melencong menerjah gawang Vietnam untuk menewaskan penjaga gol, Dang Van Lam, sekali gus mengikat kedudukan 2-2.
Cheng Hoe sekali lagi membuat pertukaran dengan memasukkan Muhammad Akhyar Rashid dan mengeluarkan Norshahrul Idlan Talaha bagi mencari gol ketiga, namun tiada jaringan terhasil buat kedua-dua pasukan sehingga wisel penamat.
Keputusan itu sekali gus menyebabkan Malaysia selaku juara edisi 2010, berdepan tugas sukar apabila berkunjung ke Hanoi untuk aksi final kedua pada 15 Dis ini.
-- BERNAMA
Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:
Ditaja oleh FeedBurner
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bloginfo4uall.blogspot.com/2018/12/piala-aff-suzuki-malaysia-hanya-sekadar.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+BlogSensasi+%28Blog+Sensasi%29