Ph Jual Aset Lima Kali Ganda Dari Bn Setahun Kata Najib
Haspaizi Zain Diterbitkan Hari ini 7:01 malam
Bekas perdana menteri Najib Razak berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjual aset negara lima kali ganda berbanding BN dalam tempoh setahun.
Jelas Najib, BN menjual 84 aset negara bernilai lebih RM45 bilion dalam tempoh sembilan tahun berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH) 12 aset dengan RM25.6 bilion dalam tempoh setahun.
Beliau berkata, BN menjual aset tidak strategik dan digantikan dengan pembelian aset yang lebih baik dan boleh membawa keuntungan kepada negara.
"Menteri ekonomi mengatakan 84 aset telah dijual dalam tempoh 9 tahun 4 bulan (oleh BN), tapi dia tak sebut nilainya.
"Tapi kalau kita gunakan angka Kadir Jasin jumlah itu RM45.3 bilion atau RM5 bilion setahun. PH telah jual 12 aset dalam masa setahun bernilai RM25.6 bilion, jadi maknanya dalam setahun dia dah lima kali ganda berbanding dengan setiap tahun BN memerintah," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Najib berkata, sekiranya BN masih kekal mentadbir negara, beliau memberi jaminan kerajaan tidak akan menjual aset-aset yang strategik.
Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali hari berkata sebanyak 84 aset Khazanah Nasional dijual semasa pentadbiran Najib.
“Pelupusan aset ini bukanlah satu aktiviti baru di dalam pentadbiran tahun 2009 hingga 2018 ia telah dilakukan.
“Pada tahun 2009 yang menjadi Perdana Menteri adalah ahli Parlimen Pekan (Najib), beliau melupuskan lapan aset, 2010 lupus tujuh aset, 2011 (lapan aset), 2012 (10 aset), 2013 (enam aset), 2014 (enam aset), 2015 (10 aset), 2016 (13 aset), 2017 (12 aset) dan bagi empat bulan pertama 2018 beliau lupus empat aset.
"Jumlah aset yang dilupuskan oleh Pekan adalah 84 aset Khazanah, jadi di mana Pekan ingin menyanggah keputusan kerajaan baru (jual aset) untuk memastikan pulangan yang kita perolehi lebih baik,” katanya di Dewan Rakyat.
Jun lalu, perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan perlu menjual aset untuk meringankan beban hutang.
Mahathir berkata jualan beberapa aset itu juga bertujuan menambah pendapatan kerajaan.
Kemerosotan hasil negara
Najib dalam pada itu menafikan tuduhan bahawa penjualan aset oleh PH disebabkan keputusan dibuat kerajaan BN sebelum ini.
Sebaliknya kerajaan PH terpaksa menjual aset negara disebabkan kejatuhan hasil negara termasuk pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk diganti semula dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Beliau juga menyebut mengenai Belanjawan 2019 yang dibentang dengan mengambil kira andaian harga minyak dunia AS$70 setong, sedangkan harga bahan api itu kemudiannya jatuh.
"Masalahnya, kejatuhan hasil negara dua perkara, satu kerana anggaran harga minyaknya terlalu tinggi. Saya sudah tegur dalam ucapan tahun sudah, jangan gunakan AS$70 setong (harga) minyak, itu sudah tak realistik.
"Kedua kesilapan mereka membatalkan GST ganti SST mengakibatkan kelompongan lebih kurang RM20 bilion ke RM24 bilion setahun.
"Ini tak masuk bayaran balik (GST), (kerajaan) kena bayar balik RM19.4 bilion, ini semua membawa tekanan kepada pulangan negara, terdesak sehingga terpaksa jual aset, ini bukan kerana kerajaan BN," katanya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2019/10/ph-jual-aset-lima-kali-ganda-dari-bn.html