Pga Tukar Strategi Sistem Rondaan Sempadan Negara
   BERNAMA 
  Kuala Lumpur: Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditugaskan mengawal  sempadan Malaysia -Thailand akan menukar strategi dan sistem rondaan di  kawasan terbabit untuk mengekang sebarang kegiatan penyeludupan.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut strategi dan sistem itu, Pengarah  Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk  Seri Abd Rahim Jaafar berkata, perubahan itu berikutan sempadan negara  sejak kebelakangan ini sering berlaku kejadian tembakan sehingga  mencederakan anggota pasukan berkenaan.
"Melihat kepada insiden seorang anggota PGA yang bertugas di Bukit  Kayu Hitam, Kedah cedera ditembak dengan senapang angin, kami akan  memperketatkan kawalan di sempadan dan menambah baik sistem agar  kegiatan penyeludupan tidak dapat menembusi sempadan negara kita.
  "Selain itu, PGA akan membuat rondaan pagar ke pagar (di pintu kecil  sempadan) di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 30 hingga 40km untuk  berhubung dengan pihak berkuasa Thailand," katanya kepada Bernama.
Media hari ini, melaporkan seorang anggota PGA cedera ringan selepas  terkena tembakan ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand  dekat Bukit Kayu Hitam, petang tadi. 
Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kejadian berlaku  6.15 petang semasa anggota PGA itu sedang menjalankan rondaan bersama  seorang anggota lain di kawasan berkenaan.
Mengulas mengenai kecederaan anggota PGA yang bertugas dekat Bukit  Kayu Hitam itu, Abd Rahim berkata, anggota berkenaan tidak mengalami  kecederaan serius.
"Suspek yang menembak anggota saya menggunakan senapang cicak  (senapang angin) itu, tembakannya mengenai perut mangsa yang hanya  mengalami sedikit melecet," katanya.
Justeru, beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan kerjasama dengan  pihak berkuasa Thailand untuk membanteras aktiviti penyeludupan kawasan  sempadan negara.
Kejadian tembakan di Bukit Kayu Hitam itu adalah yang kedua  membabitkan serangan ke atas anggota PGA selepas insiden membabitkan dua  anggota pasukan itu berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9  berdekatan Padang Besar, Perlis, awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin  Ramli, 54, maut, manakala Sarjan Norihan Tari, 39, parah, terkena  tembakan.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/pga-tukar-strategi-sistem-rondaan.html