Petua Memusingkan Bayi Songsang Dalam Kandungan
“Hmmm… Jadi risau pula bila ‘scan’ tadi doktor cakap dekat wife bayi songsang untuk anak yg ke-4. Kali kedua wife mengandung bayi songsang... Kali pertama masa mengandung anak sulung dan terpaksa operate sebab air ketuban dah kurang... xboleh nk buat prosedur ECV... Anak ke-2 dan ke-3 alhamdulillah normal... Apa petua bayi songsang yang Mak buat dulu ya? Kalau urut-urut ni takut pula tersilap urut.”
Kedudukan bayi yang songsang sebenarnya adalah normal apabila kandungan anda masih belum cukup bulan. Sesetengah ibu hamil mungkin berasa ‘ngeri’ untuk menghadapi waktu bersalin kerana ia bakal melibatkan sedikit komplikasi akibat posisinya yang ‘terbalik’.
APAKAH PUNCA KEHAMILAN SONGSANG?
Menurut laman web perubatan Malaysian Medidal Gazette, Dr Muhammad Izzat menerangkan beberapa punca bayi songsang dalam kandungan.
Antaranya adalah:
-Bayi pramatang atau tidak cukup bulan. Faktor ini adalah yang paling biasa ditemui. Namun, kebanyakan bayi akan berpusing kepada kedudukan normal apabila sampai waktunya.
-Pernah mengalami kehamilan songsang yang sebelumnya.
-Ketidaknormalan pada rahim atau uri seperti masalah fibroid dan Placenta Praevia Major (uri bawah).
-Kehamilan kembar.
-Masalah air ketuban yang terlalu banyak atau terlalu sedikit.
-Sudah mempunyai kehamilan yang banyak di mana otot dinding rahim sudah elastik, lalu memberikan banyak ruang pada bayi untuk bergerak dan berpusing.
5 PETUA BAYI SONGSANG & PROSEDUR KLINIKAL YANG BOLEH DIJALANKAN
Menurut laman kehamilan BabyCentre, kita perlu berhati-hati dalam mengamalkan petua bayi songsang. Ini kerana, sesetengah petua seperti mengurut abdomen perlu dijauhi kerana ia boleh mendedahkan risiko yang tidak sepatutnya kepada ibu dan bayi.
Antara petua bayi songsang yang boleh dilakukan adalah:
1. BERENANG
Menurut laman web turningbaby.com, berenang dipercayai antara senaman yang paling bagus untuk membuat otot perut lebih santai dan memberi ruang kepada bayi untuk berpusing.
Ia juga mudah dilakukan kerana kita berasa ‘ringan’ dalam air walaupun perut semakin membesar.
Selain berenang, bergerak aktif dan melakukan senaman lantai boleh membantu meningkatkan kesihatan bayi dan anda.
Tetapi, sesetengah pakar tidak menggalakan senaman mencangkung (squat) jika bayi anda songsang kerana ia akan menyebabkan bayi lebih selesa dan cepat menurun ke pangkal serviks dalam keadaan tersebut.
Posisi senaman lantai yang sesuai untuk bayi songsang.
Senaman merangkak atau ‘cat pose’ ini juga sesuai untuk memusingkan bayi.
2. ‘BREECH TILT’
Posisi ini antara posisi yang selalu diamalkan oleh wanita di luar negara.
Caranya, berbaring di atas lantai sambil menaikkan kaki anda di atas sofa. Sasarkan kedudukan 45 darjah.
Jika perlu, tambahkan beberapa biji bantal untuk menyokong belakang anda. Kekalkan posisi ini selama 5 minit atau pada bila-bila masa anda rasa kurang selesa.
3. POSISI SUJUD
Posisi bersujud ini serupa dengan gerakan ‘knee-chest position’ yang diamalkan oleh ramai wanita seluruh dunia.
Lakukan posisi bersujud seperti dalam solat 2 kali setiap pagi dan petang dalam tempoh sekitar 10 minit.
Bagi yang Muslim, anda boleh mengoptimakan kedudukan ini untuk melakukan solat hajat dan banyakkan berdoa agar dapat bersalin dengan mudah.
4. BERJALAN
Berjalan juga adalah salah satu gerakan yang paling mudah untuk membantu memusingkan bayi songsang.
Cuba berjalan selama 30 minit setiap hari sepanjang kehamilan. The Health Site menerangkan bahawa ketika anda berjalan, daya graviti akan menarik bahagian kepala bayi (yang paling berat) agar menurun ke posisi normal.
5. BERDOA
Selain daripada gerakan di atas, anda juga digalakkan untuk bertenang dan memperbanyakkan doa.
Ini kerana, hati yang tidak tenteram dan stres dapat mengganggu proses bersalin anda.
Selain membaca surah Al-Insyirah, ini antara doa yang boleh diamalkan oleh anda dan suami:
PROSEDUR ECV (KLINIKAL) BANTU PUSINGKAN BAYI SONGSANG
Selain teknik semulajadi dan petua bayi songsang di atas, terdapat juga cara klinikal untuk mengatasinya iaitu melalui teknik ECV (External Cephalic Version).
ECV dilakukan pada usia kandungan 36 minggu pada kehamilan pertama dan 37 minggu untuk kandungan kedua dan berikutnya. Secara ringkasnya, ia adalah prosedur memusingkan bayi secara fizikal (seperti urutan) yang dahulunya dilakukan oleh para bidan zaman dahulu. Namun, kini ianya dikendalikan oleh mereka yang berkemahiran dan lengkap dengan alatan perubatan untuk menjamin keselamatan ibu mengandung.
Menurut Dr Izzat lagi, kejayaan pemusingan bayi songsang melalui teknik ECV ini adalah tinggi, iaitu 50% peluang berjaya.
Jangan risau, kebanyakan ibu yang berkongsi pengalaman mereka mengakui bahawa prosedur ECV tidak menyakitkan tetapi memberikan ketidakselesaan kepada mereka buat sementara waktu sahaja.
Walaubagaimanapun, prosedur ECV ini tidak boleh dijalankan pada kehamilan kembar
BERBINCANG DENGAN DOKTOR
Jika bayi songsang dikesan pada awal kehamilan, anda tidak perlu risau kerana ia adalah normal dan akan berpusing pada kedudukan normal apabila menghampiri tempoh bersalin.
Menurut Malaysian Medical Gazette lagi, hanya 3 hingga 4% sahaja bayi akan berkedudukan songsang pada umur kandungan matang cukup 37 minggu kehamilan.
Sekiranya prosedur ECV tidak berjaya memusingkan bayi anda, anda boleh berbincang dengan coktor bagi mentukan cara kelahiran yang sesuai dengan keadaan kesihatan anda.
Ini akan membantu anda membuat keputusan yang terbaik demi keselematan bayi dan anda
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://rancakdc2.blogspot.com/2020/07/petua-memusingkan-bayi-songsang-dalam.html