Petani Pekan Kira Tarikh Tanam Tembikai Untuk Bulan Puasa
PEKAN - Menyusuri laluan Kuantan-Pekan di sini, pasti akan disajikan dengan 'pemandangan' gerai menjual buah tembikai.
Bagi masyarakat setempat, laluan itu adalah kawasan yang dituju jika mereka mahu mencari tembikai segar kerana ditanam di kawasan berhampiran dan dijual pada harga berpatutan.
Menyedari permintaan tinggi pada musim puasa, petani dan peniaga tembikai Zaharah Fakar, 78, berkata kebanyakan petani 'mengira' tarikh sesuai untuk mula menanam supaya hasilnya boleh dituai pada bulan Ramadan.
"Buah tembikai boleh mula dituai antara 65 hingga 75 hari ditanam...jadi sejak hujung bulan Februari lalu kami sudah sibuk di kebun dari menyemai benih dan menjaga pokok dari serangan musuh.
"Sejak 30 tahun lalu, memang saya mula menyemai beberapa bulan sebelum umat Islam berpuasa kerana tembikai antara buah pilihan untuk dijadikan pemanis mulut atau jus," katanya kepada Bernama semasa ditemui di gerainya di sini, hari ini.
Zaharah berkata tembikai jualannya ditanam di kebun seluas kira-kira satu hektar diusahakan berhampiran rumahnya di Kampung Ubai di sini, dengan bantuan dua daripada lapan anaknya
Selain tembikai merah, beliau turut menanam tembikai kuning, tembikai madu dan tembikai betik yang popular dalam kalangan masyarakat setempat kerana bentuknya yang panjang seakan-akan buah betik.
"Tembikai yang paling mendapat permintaan ialah tembikai betik kerana rasanya kurang manis namun baunya wangi. Namun kali ini, malangnya tembikai betik masih belum matang.
"Seterusnya ialah tembikai kuning kerana lebih rangup berbanding tembikai merah. Tembikai merah pula digemari untuk buat jus," katanya.
Zaharah menambah buah di gerainya dijual pada harga tetap RM2 sekilogram namun, 'diskaun istimewa' diberikan kepada peraih atau mereka yang membeli dalam jumlah yang banyak.
Sementara itu, seorang pelanggan Rozi Nor, 45, yang menempuh perjalanan sejauh 30 kilometer dari Kuantan melahirkan rasa kecewa kerana tembikai betik yang dicarinya masih tidak ditemui walaupun telah berhenti di beberapa gerai.
"Isi tembikai betik berwarna agak putih dan rasanya agak berlemak...ada masanya saya makan bersama pulut yang dicurah dengan santan yang dimasak dengan gula," katanya. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2019/05/petani-di-pekan-kira-tarikh-tanam.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FLWFdy+%28Pahang+Daily+Online%29