Pesawah Merintih Kerugian Ratusan Ribu
LEBIH 200 pesawah dari beberapa kawasan sekitar Arau resah apabila setiap kali hujan lebat kawasan sawah seluas 250 hektar itu ditenggelami air sehingga paras pinggang sehingga menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit. Para pesawah menunjukkan padi yang rosak akibat ditenggelami air di kawasan sawah Jawi, Bakong, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN
ARAU : Harapan kira-kira 200 pesawah dari beberapa kawasan sekitar di sini untuk menikmati hasil penuh tuaian padi musim ini nampaknya tidak kesampaian apabila terpaksa menanggung kerugian besar selepas kawasan bendang seluas 250 hektar yang diusahakan mereka tenggelam setiap kali hujan lebat.
Dalam tempoh hanya tiga bulan sejak Ogos lalu, kawasan tersebut sudah tenggelam sebanyak enam kali dengan para pesawah mengalami kerugian dianggarkan RM500,000 dengan 50 peratus hasil tanaman tersebut rosak.
Pesawah mendakwa, masalah itu berpunca daripada sekatan yang dilaksanakan di Sungai Pengkalan Asam, Kangar sekali gus menyebabkan beberapa sungai sekitar sini terkesan sehingga berlaku limpahan air ke sawah terbabit setiap kali hujan lebat.
Antara kawasan sawah yang terjejas itu adalah di Kampung Teluk, Gobak, Alor Banat, Bakong, Banat dan Jawi Bakong dengan setiap kali hujan lebat bendang terbabit dikatakan tenggelam hingga paras pinggang.
Seorang pesawah dari Kampung Teluk, Salleh Chin,58, berkata, dia mengalami kerugian lebih RM20,000 berikutan masalah tersebut yang berlaku sejak Ogos lalu.
Salleh yang mengusahakan sawah di kawasan seluas enam hektar itu berkata, setiap kali rosak, dia terpaksa cari benih baru untuk melakukan tanaman semula.
“Berikutan masalah itu, para pesawah mula rasa tidak tenteram setiap kali hujan lebat apabila terpaksa berdepan masalah sawah tenggelam. Dari Ogos sehingga kini, sudah enam kali tenggelam. Malah, ia memakan masa kadang-kala sehingga seminggu untuk surut menyebabkan padi rosak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang lagi pesawah, An Lim,56,
dari Alor Banat berkata, dalam tempoh terdekat ini, kawasan bendangnya seluas 60 hektar itu sudah empat kali tenggelam dengan anggaran kerugian sehingga RM30,000.
“Setiap kali hujang lebat sawah tenggelam. Apabila tenggelam seminggu masih tidak surut lagi menyebabkan padi reput. Jika dulu, hasil padi semusim sehingga 18 tan, akibat masalah ini, saya jangka hendak dapat 12 tan hasil padi pun susah.
“Kalau boleh minta pihak bertanggungjawab pedalam dan selenggara Sungai Gial ke Kangar selepas Sungai Pengkalan Asam itu diletakkan penahan air,” katanya.
Rakannya, Basri Yob,57, pula berkata, sebelum ini, sudah ada rancangan membina tebatan banjir di kawasan Arau namun terhenti selepas pemerintahan bertukar.
“Kami harap projek tebatan banjir itu disambung semula bagi membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.
-UTUSAN ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.penangkini.com/2020/12/pesawah-merintih-kerugian-ratusan-ribu.html