Pertimbang Pasang Butang Panik Lindungi Warga Emas
Kerajaan perlu mempertimbangkan bantuan pemasangan ‘butang panik’ untuk warga emas yang tinggal bersedirian bagi mengelakkan berulangnya kejadian seorang warga emas di Muar ditemui meninggal dunia di rumahnya yang berkunci pada 3 Syawal lalu.
Menurut Setiausaha Wanita KEADILAN Malaysia, Loh Ker Chean, peristiwa malang tersebut sewajarnya membuka mata rakyat bahawa insiden kematian warga emas yang hidup sebatang kara tanpa pengetahuan keluarga dan masyarakat di sekeliling benar benar berlaku dan agak membimbangkan.
“Satu perkara yang amat menyayat hati, mereka ini mungkin boleh diselamatkan dan hidup lebih lama jika menerima perhatian dan bantuan kecemasan segera.
“Oleh itu, dasar Kerajaan pada semua peringkat, sama ada pada peringkat kerajaan tempatan, negeri atau Persekutuan harus memberikan tumpuan utama kepada aspek kebajikan golongan warga emas yang hidup bersendirian.
“Bagi tujuan ini, sebagai cadangan pertama, kerajaan boleh menggalakkan dan membantu pemasangan atau penggunaan “butang panik” di rumah-rumah warga emas yang tinggal bersendirian secara percuma.
“Butang panik ini yang boleh dipasang di dinding atau dipakai oleh warga emas yang berfungsi untuk menghubungi pihak polis dengan segera apabila seseorang warga emas memerlukan bantuan kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Ker Chean berkata, komuniti setempat dan pihak berkuasa tempatan boleh mengumpulkan data warga emas yang tinggal secara bersendirian dan memeriksa keadaan mereka dari masa ke masa melalui panggilan telefon atau ziarah secara fizikal dan berkala.
“Cadangan ketiga, Kerajaan Persekutuan boleh mengukuhkan sistem sokongan penjagaan kesihatan dan kebajikan yang holistik dan berpatutan secara dalam komuniti untuk keperluan golongan warga emas berkenaan.
“Ketiga-tiga cadangan ini boleh menjadi titik mula untuk kita bersama-sama memberikan perhatian dan mengutamakan aspek kesejahteraan golongan warga emas yang tentu sekali banyak sumbangannya kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya lagi.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), populasi warga emas dalam negara diunjurkan meningkat sehingga Malaysia menjadi sebuah negara menua pada 2030.
Menjelang 2030, dianggarkan 15% daripada jumlah populasi negara berumur 60 tahun ke atas.
The post Pertimbang pasang ‘butang panik’ lindungi warga emas first appeared on Suara Pakatan Daily.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/36337?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=pertimbang-pasang-butang-panik-lindungi-warga-emas