Pertikaian Pengajaran Jawi Akibat Kurang Maklumat Penjelasan
Pertikaian hangat isu khat jawi yang bakal diajar di sekolah rendah tahun 4 kerana pemerintah dan pihak berkepentingan tidak mendapat maklumat dan penjelasan yang mencukupi
Demikian dijelaskan oleh Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Muhammad Faisal Aziz.
Bercakap pada forum mengenai Jawi malam tadi, Faisal berkata kerajaan dan pergerakan masyarakat sivil tidak berusaha meredakan kebimbangan yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia.
Katanya, wujud rasa kurang percaya rakyat sehingga menyebabkan isu pengajaran Jawi di sekolah menjadi masalah besar negara.
“Beratus tahun lamanya kita sudah guna Jawi. Ia sebahagian daripada identiti dan sejarah kita. Semua piagam yang dibuat ketika era kegemilangan (tamadun Melayu) juga ditulis dalam Jawi. Bila British hantar surat kepada Sultan kita, ia ditulis dalam Jawi.
“Tetapi sekarang Jawi jadi alat untuk cetus ketakutan dan kita tak buat apa-apa untuk menanganinya. Orang Cina bimbangkan Islamisasi dan orang Melayu pula bimbang dengan orang Cina sedangkan ia (Jawi) tak pernah jadi masalah sebelum ini,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Turut sependapat dengan Faisal, Timbalan Presiden Ikram Badlishah Sham yang menyeru lebih banyak dialog diadakan bagi mencari jalan pemahaman.
“Kita tak boleh tengok isu ini daripada kanta kaum dan agama. Jika kita lihat daripada pandangan itu ia akan bentuk ketidakpercayaan. Kita perlu lihat gambaran lebih besar atau daripada pandangan yang lebih bermakna.
“Pastinya akan ada bantahan tetapi perlu ada ruang perhubungan untuk cari titik persamaan,” katanya.
Sementara itu, K Aramugam daripada Yayasan Tamil berpandangan pengajaran Jawi tidak boleh dipaksakan kepada pelajar.
“Bila saya belajar di sekolah saya ingat belajar Jawi tetapi ketika itu berbeza, guru saya, guru Melayu boleh bercakap dengan kami dalam Tamil. Ada hubungan tetapi sekarang saya rasa kita tidak ada itu.
“Bagi saya, ia tidak boleh dipaksa, biar mereka belajar dengan hati terbuka supaya mereka suka dengan mata pelajaran itu.
“Saya setuju dengan satu lagi masalah yang kita depani adalah kita nampaknya tak percaya satu sama lain. Ada ketidakpercayaan dalam kalangan kita dan ia menimbulkan masalah dalam perkara ini,” tambahnya.
Pada Ogos, Putrajaya berkata ia akan meneruskan rancangan pengajaran Jawi kepada pelajar Tahun 4 bermula tahun depan, tetapi dengan sedikit perubahan berbanding pelan asal.
Langkah itu diambil selepas rancangan itu dibantah kumpulan pendidikan vernakular.
Keputusan baharu itu menetapkan Jawi akan diajar dalam masa pengajaran lebih sedikit berbanding pelan asal dan hanya dibuat selepas mendapat kebenaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit.
Kemelut terbaru muncul apabila rancangan Dong Jiao Zong untuk mengadakan mesyuarat membincangkan isu Jawi esok mendapat bantahan kumpulan haluan kanan Melayu.
Kumpulan Melayu itu berkata rusuhan kaum seperti 13 Mei boleh tercetus sekirangnya Dong Jiao Zong meneruskan rancangan itu.
Kumpulan itu yang mewakili beberapa pergerakan sivil Melayu juga membuat laporan polis terhadap Dong Jiao Zong.
Presiden Persatuan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) Masridzi Sat turut membuat laporan polis bagi pihak semua kumpulan tersebut.
Dong Jiao Zong bagaimanapun menafikan mesyuarat itu adalah protes atau kongres sebaliknya hanya pertemuan tertutup wakil kumpulan pendidikan Cina untuk membincangkan isu pengajaran Jawi di sekolah vernakular.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/25903