Persetujuan Cukai Jualan Antara Petronas Sarawak Bukan Perjanjian Rasmi Kata Jawatankuasa
   Larissa Lumandan

Mohamad  Asfia Awang Nassar berkata, minyak dan gas Sarawak untuk dijual, tetapi  
hak ke atas minyak serta gas di Sarawak tidak boleh dan tidak akan  dijual. (Gambar 
Bernama)KUCHING: Jawatankuasa Perunding Perjanjian Malaysia 1963 Sarawak  (MA63) menjelaskan kenyataan bersama baru-baru ini antara kerajaan  negeri dan Petronas mengenai hak negeri ke atas minyak dan gas serta  cukai jualan bukan perjanjian “rasmi”.
Penjelasan itu menyusul kritikan ke atas perjanjian itu, termasuk ia  adalah “pengkhianatan” terhadap aspirasi orang Sarawak dan tidak sejajar  pendirian terdahulu kerajaan negeri.
Mei lalu, media melaporkan berdasarkan satu kenyataan bersama  Petronas dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-undang,  Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sarawak, Sharifah  Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Petronas bersetuju membayar cukai jualan  RM2 bilion yang dihutang kepada negeri itu.
Ini menyusul penyelesaian ke atas pertikaian mengenai pengurusan minyak dan gas yang diperolehi di negeri itu.
Sebagai balasan untuk persetujuan Petronas menyelesaikan bayaran itu,  Sarawak akan mengurangkan kadar cukai jualan 5% yang dikenakan ke atas  syarikat minyak itu secara beransur-ansur.
Januari tahun lalu, kerajaan Sarawak melaksanakan cukai jualan 5% ke  atas produk petroleum Petronas di bawah Ordinan Cukai Jualan 1998 negeri  itu.
Petronas, bagaimanapun enggan membayar cukai itu dengan alasan ia  tidak berperlembagaan. Ini menyebabkan kerajaan negeri mengambil  tindakan undang-undang terhadapnya.
Pada 13 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan Sabah dan  Sarawak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk  melaksanakan cukai jualan ke atas produk petroleum dan menolak  permohonan Petronas untuk mengisytiharkan cukai jualan Sarawak sebagai  batal dan tidak sah.
   Apabila berita mengenai Petronas dan kerajaan Sarawak mencapai  persetujuan dilaporkan, sesetengah individu dan kumpulan mengkritiknya.
Adun Tanjong Batu, Chiew Chiu Sing, Adun Bukit Assek, Irene  Chang dan Adun Batu Lintang, See Chee How, yang menganggotai  Jawatankuasa Perunding MA63 Sarawak, menggesa Pengerusi panel itu,  Mohamad Asfia Awang Nassar mengadakan mesyuarat untuk membincangkan  perkara itu.
Mereka berkata, persetujuan antara kerajaan Sarawak dan Petronas  diteruskan tanpa pemakluman, perbincangan atau persetujuan Jawatankuasa  Perunding MA63.
“Kami sangat bimbang persetujuan antara kerajaan Sarawak dan Petronas akan menjejaskan dan memburukkan keadaan kewangan negeri.
“Sebarang konsesi yang dibuat kerajaan negeri dalam persetujuan dan  perjanjian mereka mungkin bertentangan keinginan, tuntutan dan harapan  rakyat Sarawak.”
Bagaimanapun, Asfia berkata, kenyataan bersama itu tidak mempunyai  “penyusunan kata dan rangkai kata, ciri-ciri menonjol, format serta  kerangka” perjanjian rasmi.
“Ia tiada tajuk, mukadimah, tiada tandatangan, tiada nama saksi,  tiada cap, tiada cap atau tandatangan saksi,” katanya dalam sidang media  hari ini.
Sebaliknya, beliau berkata, kenyataan bersama itu hanya rundingan berterusan antara kerajaan Sarawak dan Petronas.
Katanya, menteri muda di negeri itu tiada kuasa untuk mengikat kerajaan negeri.
Asfia berkata, Petronas belum membayar cukai jualan berjumlah RM2.878 bilion dan tidak akan ada pemotongan atau pengurangan.
‘Hak minyak Sarawak bukan untuk dijual’
“Minyak dan gas Sarawak untuk dijual, tetapi bukannya hak ke atas  minyak Sarawak yang tidak boleh dan tidak akan dijual. Hak kami tidak  boleh dirundingkan. Pendirian kami ke atas cukai jualan adalah jelas.
“Jika kami berlembut dalam hal cukai jualan, ini akan memberi isyarat  salah. Syarikat asing lain mungkin berani tidak membayar cukai jualan.”
Katanya, rundingan hak Sarawak ke atas minyak dan gas serta cukai jualan adalah sukar diselesaikan serta berterusan.
“Keadaan dari dulu hingga sekarang tidak mewujudkan suasana baik  untuk Sarawak kerana perdana menteri datang dan pergi. Kerajaan  persekutuan mengambil pendirian tidak bertolak ansur dengan tuntutan  Sarawak.”
Oleh itu, katanya, jawatankuasa berkenaan akan mengkaji 3 akta, iaitu  Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Laut  Wilayah 2012, kerana ia bercanggah Perkara 2b Perlembagaan Persekutuan.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/persetujuan-cukai-jualan-antara.html