Perodua Ativa Dilancarkan Model Terkini Paling Canggih
KUALA LUMPUR: Ativa, kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak terbaharu keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) secara rasmi diperkenalkan ke pasaran Malaysia hari ini.
Model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build (PSB) itu ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans antara RM61,500 hingga RM72,000.
Lebih menarik, ia dijual pada harga lebih rendah daripada harga tentatif iaitu RM62,500 hingga RM73,400 seperti yang diumumkan sebelum ini.
Perodua Ativa ditawarkan dalam tiga varian iaitu X yang dijual pada harga bermula RM61,500, manakala varian H (bermula RM66,100) dan AV (RM71,200).
Ativa adalah kenderaan pengecas turbo pertama PERODUA dan model pertamanya menggunakan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT).
Ia juga model pertama PERODUA yang memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2, selain menjadi kenderaan paling mampu milik di Malaysia yang memenuhi standard berkenaan.
Semua teknologi itu menyumbang kepada kecekapan bahan api sehingga 18.9 kilometer per liter (km/l), sekali gus menjadikannya Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) kelima PERODUA.
Lebih menarik, banyak teknologi terkini diterapkan dalam model SUV kompak itu.
Antaranya, Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 3.0 membuat kemunculan pertamanya pada Perodua Ativa dan teknologi itu terdapat pada semua varian.
Ruang dalaman Perodua Ativa
Ruang tempat duduk Perodua Ativa
ASA 3.0 berfungsi pada kelajuan yang lebih tinggi sehingga 120 kilometer sejam (km/j) untuk kenderaan dan sehingga 60 km/j untuk pejalan kaki, berbanding sistem ASA 2.0 semasa, selain boleh mengesan kenderaan beroda dua dan berfungsi pada waktu malam.
Semua varian juga ada enam beg udara, lampu hadapan LED automatik dengan ‘Auto High Beam’ dan ‘Lane Departure Warning and Prevention’.
Varian H dan AV didatangkan dengan ‘Adaptive Driving Beam’, paparan pelbagai maklumat info TFT tujuh-inci dan sistem infotainmen skrin sesentuh sembilan-inci dengan ‘voice recognition’.
Untuk varian tertinggi iaitu AV, ia secara eksklusif mempunyai Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Adaptive Cruise Control.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata harga SUV kompak yang berpatutan adalah disebabkan kadar kandungan komponen tempatan sebanyak 95 peratus.
“Kandungan tempatan ini menjadi kadar permulaan tertinggi bagi mana-mana model Perodua. Malah, enjin dan transmisinya juga dihasilkan di Malaysia,” katanya.
Zainal Abidin berkata, sehingga kini PERODUA sudah menerima kira-kira 5,000 tempahan bagi Perodua Ativa sejak ia dibuka untuk tempahan pada 19 Februari lalu.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas sokongan mereka. Penghantaran akan bermula esok dan kami menyasar untuk menjual sebanyak 3,000 unit sebulan secara purata,” katanya.
Perodua Ativa dilancarkan oleh Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin secara digital.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, Perodua Ativa adalah hasil kerjasama pintar pertama antara PERODUA dengan rakan teknikal dan teknologinya, Daihatsu.
Ruangan but Perodua Ativa
“Perodua Ativa dibina atas platform global kerana PERODUA dan Daihatsu telah berjaya menyatukan sumber yang mampu menghasilkan model paling berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata, pengenalan Perodua Ativa amat penting kerana ia membawa kerjasama antara PERODUA dan Daihatsu ke tahap baharu, membolehkan pengeluar kereta nasional itu dan
pembekalnya berkongsi komponen serta proses untuk memaksimumkan kecekapan kos.
“Semua ini dilakukan tanpa mengetepikan reka bentuk, ciri dan citarasa Malaysia yang unik. Pembabitan kami dalam pembangunan Ativa bermula dari papan lukisan dengan 54 pereka dan jurutera kami bekerjasama dengan Daihatsu sejak 2018.
“Kerjasama erat ini membolehkan kami membabitkan ekosistem automotif Malaysia dalam pembangunan model ini dan pembekal kami berjaya mengatasi cabaran dan mampu mengurangkan kos mereka,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai model baharu itu, Zainal berkata, Ativa berasal daripada Bahasa Portugis yang bermaksud ‘aktif’ dan ia dipercayai sesuai dengan gaya hidup aktif di bandar yang dialami ramai.
Dengan Ativa kini sebahagian daripada keluarga Perodua, pengeluar kenderaan itu menjangkakan perbelanjaan sebanyak RM6.5 bilion untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan tahun ini.
“Kami menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk mengunjungi mana-mana pusat jualan kami di seluruh negara di mana garis panduan COVID-19 dipatuhi ketat demi kesihatan dan keselamatan semua – untuk melihat, merasai dan memandu uji Perodua Ativa sebelum pengecualian cukai jualan kerajaan berakhir pada 30 Jun nanti,” tambah Zainal Abidin.
Reka bentuk belakang Perodua Ativa
Reka bentuk sisi Perodua Ativa
INFO
Harga atas jalan tanpa insurans Perodua Ativa
• Varian X – Warna Metalik (Glittering Silver/Granite Grey/Cobalt Blue): RM61,500
• Varian H – Warna Metalik (Glittering Silver/Granite Grey/Cobalt Blue): RM66,100
• Varian H – Warna Metalik Khas (Pearl Diamond White/Pearl Delima Red): RM66,600
• Varian AV Warna Metalik (Glittering Silver/Granite Grey): RM71,200
• Varian AV Warna Metalik Khas (Pearl Diamond White/Pearl Delima Red): RM71,700
• Varian AV Warna Metalik Khas dwi-tona (Pearl Diamond White/Pearl Delima Red): RM72,000
The post Perodua Ativa dilancarkan, model terkini paling ‘Canggih’ appeared first on MYKMU.NET.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2021/03/03/perodua-ativa-dilancarkan-model-terkini-paling-canggih/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=perodua-ativa-dilancarkan-model-terkini-paling-canggih