Perlukah Mendaftarkan Talak Yang Berlaku Ketika Haid
SOALAN:
Pada 10/8/2019 saya telah diceraikan dengan talak satu. Kemudian baru saya teringat dan tersedar saya dalam keadaan tidak suci (datang haid). Suami saya tidak tahu saya dalam keadaan haid. Pada hari itu saya yang minta dia untuk lepaskan saya atas sebab-sebab tertentu.
Kemudian pada malam 11/8/2019 kami masih lagi tidur bersama dan suami meminta maaf atas kesalahannya. Pada tarikh 12/08/2019, dia merujuk saya kembali dengan berkata: “Saya (nama suami) ingin merujuk semula (nama saya) lalu saya terima.”
Tiga hari situasi di atas saya masih berada dalam keadaan period.
1. Adakah sah talak itu? Dan saya terus berada di dalam iddahkah?
2. Suami merujuk semula saya pada hari ke-3, perlukah saya pergi ke mahkamah untuk menfailkan perceraian dan mengisi borang rujuk?
3. Adakah haram saya dan suami bersentuhan ketika ini memandangkan saya masih lagi dalam keadaan period?
4. Saya berasa musykil sama ada saya boleh lagi tidur sebilik atau pun tidak.
5. Patutkah saya terus pergi ke mahkamah untuk menyelesaikan masalah ini atau tunggu sehingga saya suci dari haid?
JAWAPAN:
Kesahihan talak semasa haid
Talak yang dilafazkan oleh suami kepada isterinya ketika haid adalah sah dan berlaku. Namun begitu hukum talak itu sendiri pada waktu haid adalah haram. Ini termasuk dalam perkara-perkara yang disebut infikak al-jihah (terpecah hukum kepada beberapa sudut dimensi). Daripada sudut kesahihan talak, maka talak itu sah dan jatuh. Manakala daripada sudut melafazkan talak pada waktu isteri sedang haid, jatuh hukum haram. Hal yang sama diumpamakan dengan kes solat dengan baju sutera bagi lelaki, atau baju curi, atau jual beli semasa azan kedua solat Jumaat.
Larangan ini berdasarkan firman Allah ﷻ:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ
“Wahai Nabi! Apabila kamu menceraikan isteri-isterimu, maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) iddahnya (yang wajar).” (Surah al-Talaq: 1)
Kata menurut ulama', memulakan iddahnya bermaksud waktu suci daripada haid. Hal ini adalah kerana semasa haid, tidak dikira sebagai tempoh iddah. Firman Allah ﷻ:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ ۚ وَلَا يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكْتُمْنَ مَا خَلَقَ اللَّهُ فِي أَرْحَامِهِنَّ إِن كُنَّ يُؤْمِنَّ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
“Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.” (Surah al-Baqarah: 228)
Oleh sebab itu, talak dalam keadaan itu dinamakan talak bid’i. Hukumnya adalah haram dan berdosa dan jatuh talaknya kerana bertentangan dengan bentuk talak yang disyariatkan dan memanjangkan tempoh iddah bagi wanita. Apabila seorang wanita diceraikan semasa dalam keadaan suci, maka dia haid dan suci, kemudian haid dan suci, maka waktu iddah sudah selesai apabila dia masuk sahaja ke dalam kitaran haid ketiga, kerana keadaan suci yang pertama dikira sebagai tempoh iddah. Manakala jika dia diceraikan semasa haid, maka iddahnya hanya selesai selepas masuk ke dalam kitaran haid keempat. Iniah mudarat yang hendak dijauhkan oleh Syarak. [Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/262) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili]
Dalam hal ini, suami sunat rujuk semula kepada isterinya. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
أَنَّهُ طَلَّقَ امْرَأَتَهُ, وَهْىَ حَائِضٌ, عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رضي الله عنه رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ, فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مُرْهُ فَلْيُرَاجِعْهَا، ثُمَّ لِيُمْسِكْهَا حَتَّى تَطْهُرَ, ثُمَّ تَحِيضَ، ثُمَّ تَطْهُرَ، ثُمَّ إِنْ شَاءَ أَمْسَكَ بَعْدُ, وَإِنْ شَاءَ طَلَّقَ قَبْلَ أَنْ يَمَسَّ، فَتِلْكَ الْعِدَّةُ الَّتِى أَمَرَ اللَّهُ أَنْ تُطَلَّقَ لَهَا النِّسَاءُ
“Abdullah bin Umar R.Anhuma yang menceraikan isterinya ketika haid pada zaman Rasulullah SAW. Umar bin al-Khattab bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW. Lalu, Baginda bersabda: “Suruhlah dia rujuk semula kepada isterinya. Janganlah ceraikannya sehingga dia suci, kemudian haid dan suci lagi. Kemudian, jika dia ingin bersama isterinya, teruskanlah. Dan jika dia ingin bercerai, ceraikanlah sebelum menyetubuhinya. Inilah iddah yang diperintahkan oleh Allah dalam menceraikan isteri.” [Riwayat al-Bukhari (4953) dan Muslim (1471)]
Hadith ini menjelaskan bahawa Abdullah bin Umar R.Anhuma hendaklah membiarkan isterinya selepas rujuk sehinggalah dia suci daripada haid. Ketika itu, bolehlah dia menjatuhkan talak satu jika dia mahu. Apabila isteri itu datang haid lagi dan telah suci, bolehlah dijatuhkan talak yang kedua sekiranya dia mahu. Apabila isteri tersebut suci daripada haid bagi kali yang ketiga, Abdullah bin Umar R.Anhuma hendaklah berfikir sama ada ingin meneruskan perkahwinan selepas rujuk atau menjatuhkan talak yang ketiga, yang mengakibatkan perkahwinan putus sama sekali (بائن).
Hukum mendaftar perceraian selepas rujuk
Apabila talak telah dilafazkan, tidak ada pilihan bagi pihak suami dan isteri melainkan wajib ke atas mereka untuk mendaftarkan perceraian tersebut di Mahkamah Rendah Syariah seperti mana yang diperuntukkan oleh undang-undang. Peraturan ini menurut kaedah Siyasah Syar`iyah begitu penting bagi menjaga maslahat khususnya pihak wanita yang mudah untuk dizalimi oleh pihak lelaki yang tidak bertanggungjawab terhadap kuasa yang diberikan seperti peruntukan nafkah, bilangan talak dan seumpamanya. Apabila lafaz talak telah disahkan di mahkamah, pihak pasangan boleh bersama semula dengan mendaftarkan rujuk di Jabatan Agama. Kewajipan ini berlaku sekalipun wanita berkenaan masih dalam keadaan haid kerana tidak ada bukti daripada Hukum Syarak yang menunjukkan talak atau rujuk terbatal ketika masih haid.
Bersentuhan selepas cerai ketika masih lagi dalam keadaan period
Mengikut penjelasan di atas, talak yang dilafazkan semasa haid adalah sah walaupun berdosa. Justeru, pasangan berkenaan sudah menjadi ajnabi (orang asing) dan diharamkan untuk hidup seperti suami isteri seperti bermesraan secara seksual, bersentuhan dan memandang antara satu dan lain. Wajib ke atas suami untuk meninggalkan rumah pelamin untuk membiarkan bekas isterinya menjalani iddah tanpa gangguan jika bekas suami itu tetap ingin meneruskan cerai terhadap isterinya. Namun, sekiranya dia ingin mengikut sunnah Rasulullah ﷺ, hendaklah dia merujuk semula isteri yang telah ditalakkan ketika haid.
Kesimpulan
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita talak yang dilafazkan semasa haid adalah sah tetapi diharamkan. Justeru, disunatkan agar bekas suami itu merujuk kembali kepada bekas isterinya dalam tempoh iddah sekalipun rujuk itu berlaku semasa haid. Wajib ke atas pasangan berkenaan untuk mendaftarkan perceraian yang berlaku di luar mahkamah, sekalipun masih berada dalam keadaan haid, berdasarkan peruntukan undang-undang Islam negeri masing-masing bagi memastikan tiada pihak yang dizalimi akibat perceraian tersebut. Haram hukumnya untuk bersentuhan selepas bercerai apatah lagi untuk tidur sebilik, melainkan setelah rujuk semula.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/10/perlukah-mendaftarkan-talak-yang.html