Perjalanan Kreatif Dan Pengalaman Berkarya


Satu percakapan pada acara WACANA SASTERAWAN NEGARA DI UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA pada 13.3.2019 bertempat di Dewan Zaaba.
 Karya-karya kreatif boleh dibicarakan daripada pelbagai pendekatan atau teori. begitu juga proses penghasilannya juga boleh dilihat daripada pelbagai sudut.
Saya bermula (pada tahun enampuluhan) dengan puisi kerana itulah yang terdaya pada zaman tiada mesin taip apalagi komputer.  Setelah bertahun-tahun kemudian barulah memiliki mesin taip dan mula menghasilkan cerpen.

Tentang proses dan pengalaman menghasilkan karya kreatif telah saya bicarakan di dalam tiga buah buku sebelum ini. Buku-buku itu tidaklah tebal dan setiap satu membicarakan perkara atau aspek yang berbeza dan pada keseluruhannya menyebut  karya-karya yang berlainan. Tiga buah buku tersebut ialah
1-     Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi(Penerbit UKM, 2003, cetakan ke 3, 2015), membicarakan peringkat awal menulis, sumber inspirasi, apakah tema puisi-puisi awal, perlambangan-perlambangan yang digunakan dan sebagainya.
2-    Catatan Perjalanan Seni  (ITBM 2013, cetakan ke2 2014), membicarakan penciptaan puisi berdasarkan cerita sejarah, lagenda dan cerita-cerita rakyat, Buku ini juga memuatkan tulisan-tulisan sarjana mengenai kepengarangan saya, Mereka ialah SN Muhammad Haji Salleh (Zurinah Hassan sebagai Pentafsir Waktu dan Peristiwa), SN Shahnon Ahmad (Sajak-sajak Awal Zurinah Hassan),Rahimah Haji Abdul Hamid (Zurinah Hassan: Takah-takah Perpusian Menuju Puncak) Suzana Muhammad (Pendekatan Feminisme Puisi-puisi Terpilih Zurinah Hassan)
3-    A Journey Through Prose and Poetry (terbitan bersama DBP dan IIUM 2018). Sebahagian besar buku ini ialah tentang masalah menjadi penulis wanita dalam latar sosio budaya  di mana Pengarang membesar dan berkarya. Buku ini ditulis dalam BI. Terdapat lima buah cerpen tentang wanita dan tentang masyarakat dan 15 buah puisi dalam dwi bahasa.  
Tidak ada prosedur yang rigid yang perlu dipatuhi dalam menulis atau mencipta karya sastera. Tetapi secara umum saya sedar saya  melalui proses ini.
1-    Menentukan ISI
2-    Membina BENTUK  gaya pengucapan, penggunaan bahasa
Menentukan Isi bererti memastikan apa yang hendak ditulis. Sebelum menulis mesti dipastikan apa yang hendak disampaikan. Membina bentuk adalah memikirkan cara untuk menyampaikan isi. Alat untuk membina puisi ialah bahasa dan bahasa perlu digunakan dengan cara yang sebaiknya dan sepadan denga isi yang hendak diucapkan.

Seperti yang telah disebut di atas, penghasilan karya sastera boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Untuk tujuan wacana ini saya memilih untuk memperkatakan tentang elemen atau komponen karya kreatif seperti di bawah:
PEMIKIRAN
PERASAAN
REALITI
IMAGINASI
Elemen eleman ini  ada di dalam semua genre penulisan kreatif dalam kuantiti yang berbeza dari satu karya ke satu karya. Bagi saya yang teratas ialah Pemikiran kerana tujuan utama menghasilkan karya sastera ialah untuk menyampaikan Pemikiran tentang Realiti kehidupan. Imaginasi diperlukan bagi membangkitkan perasaan dan perasaan akan merangsang Pemikiran.
Elemen realiti, imaginasi, pemikiran dan perasaan ini membezakan sebuah karya kreatif dari tulisan-tulisan dari genre  autobiografi, biografi atau rencana. Secara ringkas boleh diletakkan seperti berikut:KARYA KREATIF cerpen, novel, skrip teater: mengandungi reality, imaginasi, pemikiran dan perasaan yang hampir sama.
Autobiografi/biografi: reality, pemikiran , perasaan (tiada imaginasi)
Rencana: Realiti, pemikiran (mungkin sedikit perasaan ) tanpa imaginasi.
Unsur unsur  imaginasi atau rekaan lebih jelas dilihat dalam cerpen dan puisi naratif.. Dalam puisi naratif atau gaya bercerita Penyair mengemukakan sebuah cerita untuk menyampaikan Isi atau pemikirannya. Isi diperolehi dari realiti dan isu yang yang membuat penyair terasa dan berfikir.
SEORANG TUA BERNAMA BAHASA

Di sudut sebuah kota ternama
di belakang sebuah menara
yang terkenal di dunia
ditinggalkan sedikit kawasan
kawasan belas ihsan.

Seluruh kota telah diberitahu
tentang wujudnya kawasan itu
bukti amat nyata
keprihatinan pemilik kota
menyediakan kawasan itu
khas untuk warga tua
yang tidak dipedulikan anak cucu.

Antara yang terlantar di sana
adalah seorang tua bernama Bahasa
dia rajin bercerita kepada kawan-kawan sebaya
yang sama menumpang
menunggu hari petang.

Mengikut cerita orang tua
yang bernama Bahasa itu
dia punya ramai anak cucu
di seluruh alam Melayu
semasa muda dan gagah
dia menjaga mereka
memberi mereka ilmu
hingga menjadi bangsa
yang kuat dan berpadu
apakan daya mereka tidak menyayanginya
mereka menghantar dia ke situ
semakin pudar dan layu.

Pada suatu pagi
orang tua yang bernama Bahasa itu
menangis tersedu-sedu.

Kawan-kawan pun bertanya
dan dia bercerita
“Semalam aku bermimpi
terlalu dahsyat mimpi itu
aku bermimpi kampung halamanku
musnah dipukul ribut
aku melihat anak cucuku
terapung dan hanyut
mereka hanyut seperti kayu
yang tak kenal hujung pangkal
mereka hanyut seperti kayu
yang tak tahu usul asal
dibawa arus tak terkawal.

Aku sedih melihat mereka cuba menjerit
meminta tolong tetapi apabila mulut dibuka
mereka telah kehilangan suara.
( Salasilah:  175)
Dalam sajak ini, Bahasa dilihat sebagai orang tua yang dibiarkan tidak dijaga oleh anak cucu. Dia dihantar ke rumah orang orang tua. Rumah itu berada di belakang sebuah menara yang terkenal di dunia, menunjukkan orang tua bernama bahasa itu berada di sebuah negara yang mementingkan bangunan bangunan tinggi sebagai simbol kemajuan.Kawasan yang menempatkan orang tua itu berada di belakang menara seolah-olah jelek dan perlu disembunyikan. Pemerintah yang  suka bermuka-muka dan menunjuk-nunjuk mencanangkan kebaikan mereka menyediakan tempat sedemikian semata-mata untuk mengelabui mata penduduk kota.
Maka duduklah orang tua itu di situ. Dengan sifatnya yang memiliki kekayaan perkataan dan pengalaman, dapatlah dia bercerita kepada kawan-kawan lain tentang kehidupannya pada masa muda dahulu. Mengikut  orang tua yang bernama Bahasa itu dia punya ramai anak cucu di seluruh alam Melayu, Pada masa dulu dia memainkan peranan yang penting, memberi ilmu dan menyatukan mereka sehingga menjadi bangsa yang gagah. Malangnya anak cucu telah berubah. Mereka menyangka diri mereka telah terlalu besar dan tidak memerlukan orang tua yang bernama Bahasa itu lagi.  Inilah sifat anak-anak yang dikesali. Mereka tidak seperti bangsa-bangsa lain yang menghargai bahasa mereka. 
Apakah nasib dan kesudahannya bangsa yang tidak menghargai bahasa mereka.  Segalanya diperlihatkan melalui mimpi orang tua bernama Bahasa itu. Dia bermimpi kampung halamannya musnah dipukul ribut dan anak cucunya hanyut dibawa arus. Dia kasihan melihat mereka. Ketika mereka cuba membuka mulut untuk meminta tolong, tiada suara yang keluar.  Demikianlah dahsyatnya keadaan bangsa yang tidak menjaga bahasa, mereka menjadi seperti tunggul kayu yang tidak berupaya untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka sendiri. Mereka seolah-olah dikuasai oleh orang lain . Bangsa yang tidak menjaga bahasa tidak dapat mengeluarkan pendapat seolah-olah telah  kehilangan suara.  Kehilangan suara bermakna kehilangan kuasa.
REALITI: Antara isu semasa ialah Isu Bahasa Melayu. Hal ini sangat dekat dengan Penyair. Bahasa kita ibarat pemilik yang disingkir daripada  rumahnya sendiri.
Bahasa Melayu telah pun kukuh sejak zaman dahulu, Tetapi pada masa ini  golongan Pemimpin dan mereka yang berjawatan tinggi akan berbahasa Inggeris bila diwawancara di television contohnya dalam siaran Berita.  Barangkali kita hanya  melihat dan mendengar Bahasa Melayu dipertuturkan di television bila ada wawancara dengan mangsa banjir, mangsa kebakaran, rakyat miskin dan sebagainya.
PEMIKIRAN dan REALITI: Mengajak pembaca berfikir Bagaimana hal ini boleh terjadi sedangkan negara telah memperuntukkan tempat yang tinggi sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan dengan  kedudukan yang jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 152. Selain itu ia diperkukuhkan melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang  telah memperuntukkan bahawa bahasa Melayu hendaklah digunakan sebagai perantaraan  dalam semua urusan rasmi dan pentadbiran negara.
Malangnya pada hari ini roh dan semangat Perkara 152 yang mendaulatkan Bahasa Melayu  tidak dihayati sepenuhnya dan seolah-olah sengaja dilupakan oleh  rakyat.  Kita perlu terima kenyataan walaupun sudah lama merdeka namun masih terdapat rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu.
Pada hari ini, masih ada yang malu untuk bercakap dalam bahasa Melayu malah ada yang takut untuk berbahasa Melayu kalau-kalau akan dianggap orang kampung yang tidak tahu berbahasa Inggeris. Sesungguhnya kita tidak nafikan sama sekali kepentingan bahasa Inggeris namun tidak wajar merendahkan bahasa sendiri
PEMIKIRAN: Kenapa perkara ini masih berlaku sedangkan kuasa di tangan kita..
PERASAAN: Hal ini sangat dekat dengan Penyair dan mengakibatkan perasaan yang mendalam. Perasaan sedih dibina melalui imej seorang tua yang ditinggalkan dan tidak dipedulikan oleh anak cucu. Pada akhir sajak digambarkan hujan ribut yang melanda dan anak cucu hanyut seperti tunggul-tunggul kayu yang bergelimpangan dan tidak berdaya lagi. Mereka membuka mulut untuk menjerit meminta tolong. Namun mereka sudah kehilangan suara. Kehilangan suara membawa pengertian tidak dapat bersuara untuk memberi pandangan dan mempertahankan hak. Kehilangan suara bererti kehilangan kuasa.
IMAGINASI: Pemikiran/sajak disampaikan dalam bentuk cerita. Cerita yang direka adalah sepenuhnya imaginasi atau rekaan iaitu watak orang tua, rumah orang-orang tua, rakan-rakan, kisah bermimpi dan sebagainya.
Rintihan Taming SariMengikut cerita yang sering diceritakanHang Tuah, pahlawan Melaka yang handal itu
telah mengalahkan Taming Sari pahlawan Majapahit
yang tidak pernah dikalahkan
selama ini.

Tetapi mengikut cerita yang tidak pernah diceritakan
pada malam sebelum perlawanan
Hang Tuah dan Taming Sari
telah berjumpa secara rahsia.

Maka bertangis-tangisanlah mereka
apalah malangnya kita berdua
diperintahkan bermain senjata
sedang kita tidak pernah berjumpa
apalagi bersengketa.

Berkatalah Taming Sari
telah kudengar tentang kehandalanmu, Tuah
kemungkinan aku akan mati di tanganmu
rajamu akan tersenyum girang
dan segala orang Melaka akan bersorak-sorak riang
ketika aku menggelupur kesakitan.

Sesungguhnya perlawanan esok hari
bukan antara kita berdua
tetapi antara dua orang raja
kita yang bernama pahlawan
diturunkan ke tengah gelanggang.

Kita yang bernama pahlawan
adalah haiwan perlagaan
peluh bersimbah terjelir lidah
akan terus berlawan
kerana nyawa kita
adalah barang permainan.

Yang kusedihkan
sejarah tidak menyesali pertikaman ini
dan, segala rakyat jelata
terus suka dan leka
menonton sengketa.

Sesungguhnya perlawanan esok hari
akan berulang lagi
selagi segala rakyat Melayu
tidak sedar-sedarkan diri.
REALITI dan PEMIKIRAN:  Dari pertikaman antara Tuah dan Taming Sari dikemukakan pemikiran bahawa mereka tidak sepatutnya berlawan malah sepatutnya berpakat untuk membina wilayah Nusantara yang lebih aman dan sejahtera untuk rakyat dan bangsa. Pada zaman itu raja dilihat sangat kejam kerana memaksa pahlawan-pahlawan bertarung di tengah gelanggang,  semata-mata sebagai sumber hiburan bagi mereka. Taming Sari dan Hang Tuah tidak ubah seperti haiwan perlagaan. Kedua mereka adalah rakyat biasa yang menjadi mangsa dan dipermainkan oleh orang atasan. Hal sebegini  wujud sepanjang zaman. Misalnya dalam situasi parti-parti politik bertelingkah, yang lebih-lebih bergaduh ialah para pengikut sedangkan pemimpin atasan boleh duduk semeja. Puisi ini adalah parodi atau interteks daripada kisah Hang Tuah melawan Taming Sari semasa acara lawatan Raja Melaka ke Jawa.IMAGINASI dan PERASAAN: Saya berimaginasi bahawa  Hang Tuah dan Taming Sari berjumpa pada malam sebelum perlawanan. Hal ini tidak ada dalam cerita sebelum ini.  Pertemuan sulit itu direka untuk membina unsur PERASAAN bila Taming Sari menyatakan kedudukan mereka yang dijadikan haiwan perlagaan,  terjelir lidah bertumpah darah. Taming Sari membayangkan dia akan menggelupur kesakitan dan kematiannya menjadi bahan sorakan dan keseronokan kepada penonton serta kepuasan kepada Raja Melaka. Imaginasi pertemuan ini direka supaya Taming Sari dapat berkata-kata dengan Hang Tuah dan kata-kata tersebut merupakan PEMIKIRAN yang sebenarnya mahu disampaikan di dalam puisi ini, iaitu kerugian yang akan ditanggung oleh negara dan bangsa dari kecenderungan untuk berlawan sesama sendiri serta sikap rakyat hingga ke hari ini yang menjadikan sengketa  sebagai bahan tontonan dan keseronokan.

Seperti yang disebut di atas, aspek Pemikiran merupakan elemen terpenting di dalam Puisi. Unsur lain iaitu, realiti, imaginasi dan perasaan digaul dan diadun untuk mencapai kemuncaknya iaitu menyampaikan Pemikiran dan mengajak pembaca berfikir. Yang penting, Penyair menulis bagi mengemukakan pemikiran baharu yang masih belum dikemukan sebelum ini. Saya tidak menulis jika tidak merasa adanya pemikiran yang penting atau jika saya tahu bahawa apa yang mahu disampaikan itu sudah sering diperkatakan melainkan sesuatu yang menjadi perjuangan bersama seperti isu Bahasa Melayu.
Di dalam sajak Rintihan Taming Sari saya bertujuan menceritakannya dari sudut yang berbeza daripada apa yang dikemukakan oleh Sastera Sejarah yang mengagungkan kehandalan Hang Tuah. Seterusnya saya menyentuh sebuah sajak berjudul Jujur Seorang Hamba.
Jujur Seorang Hamba

Pada suatu malam yang celaka
Raja Ong Maha Perita Daria
mengecap kelazatan semangkuk bayam
dengan nikmat yang luar biasa.

Setelah mendengar cerita sebenar
dia pun ketawa bergegar
ketawanya menggila
dan, bermulalah huru-hara.

Pada suatu pagi yang amat hiba
Wan Anum yang sarat mengandung
merayu belas kasihan datuk penghulu
meminta seulas nangka
yang sedang dibawa menghadap raja.

Setelah melihat nangka yang tercedera
raja terlalu murka
dengan marah tak terkawal
raja kehilangan akal.

Dikoyaknya perut isteri laksamana
hanya kerana seulas nangka
dipancungnya rakyat sesedap rasa
hanya untuk menjamu selera.
Segalanya mungkin tidak berlaku
jika tukang masak itu
tahu menyembunyikan rahsia
dan tidak terlalu jujur
tentang darah yang tercampur
ke dalam mangkuk sayur.

Datuk penghulu itu juga
boleh mencipta seribu helah
tentang nangka yang terbelah.

Tapi apakan daya
kerana setia yang tiada tara
mereka hanya tahu berkata “ya”
kerana taat yang tidak terhad
mereka mengangguk dan menunduk
walau raja sedang menjilat-jilat
semangkuk lazat daripada darah rakyat.

Apa yang berlaku telah berlaku
kerana datuk penghulu
dan si tukang masak itu
adalah antara beribu-ribu
hamba Melayu.
(Salasilah, dbp 2006).

Sajak JUJUR SEORANG HAMBA. berdasarkan dua kisah yang terkenal dalam sejarah dan sastera Melayu iaitu kisah Raja Bersiong dan kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.
Pemikiran (general opinion). yang selalu dikaitkan dengan cerita ini ialah kekejaman Sultan yang sanggup membunuh seorang wanita yang sedang mengandung, kezaliman dan kegilaan raja yang membunuh rakyatnya untuk mendapatkan darah sebagai penyedap makanan. Cerita nangka yang dimakan oleh Wan Anum dan tukang masak yang terhiris jari adalah kisah yang diketahui ramai dalam kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dan cerita Raja Bersiung.  Sejarah mengutuk Sultan yang sanggup membelah perut wanita yang mengidam buah nangka Raja yang menjadi ganas memakan darah rakyat.
Namun sajak ini tidak lagi berfokus kepada kekejaman tersebut sebaliknya menarik perhatian kepada sikap Tok Penghulu dan tukang masak yang terlalu jujur  hingga memberitahu kejadian yang sebenar. Ini adalah kisah kejujuran (kebodohan) dua orang hamba rakyat sambil menyoal sejauh mana seseorang dapat memelihara integrity dalam sebuah masyarakat feudal yang mendidiknya menjadi takut kepada raja. Dan makna ini boleh diperluaskan kepada ketaksuban rakyat terhadap pemimpin sehingga sanggup melihat rakyat lain menderita.  Bukankah lebih selamat jika tidak terlalu setia dan jujur kepada pihak yang kejam.

Saya menulis untuk mengajak orang berfikir.Selain daripada saja-sajak di atas saya menulis Pesanan Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Mahmud untuk menyuarakan bahawa Puteri Gunung Ledang adalah wanita malah manusia pertama yang berani menolak kemahuan raja. Saya menulis Jebat yang Tidak Jadi Menderhaka untuk mengingatkan bahawa andainya Jebat tidak menderhaka, Hang Tuah tidak akan dipanggil pulang ke Melaka. Mungkin dia akan mati di hutan lalu dilupakan. 

Cerita Dalam Cerita (ITBM,2014) lebih merupakan puisi2 atau coretan tentang hal ehwal semasa. Kebanyakannya berdasarkan kisah benar dan isu isu yang sedang hangat diperkatakan. Pada masa ini saya melihat dunia dengan pelbagai masalah yang jelik hingga saya hilang mood  untuk menulis puisi yang indah-indah.

Sebuah sajak dari Cerita Dalam Ceritabertajuk “Pelakon Terbaik Kami”. Biasanya kita berkata seorang pelakon menjadi orang lain semasa berada di atas pentas dan menjadi dirinya sendiri bila tidak berlakon. Tetapi sajak ini mencanggah pandangan umum tersebut. Situasi baru ini ialah ada pelakon yang merasa bebas menjadi dirinya sendiri semasa berada di pentas. Di pentas dia melakonkan watak yang melontar kritikan dan bantahan terhadap pemerintah. Bia tidak berlakon dia terpaksa mengawal kata-kata dan menjadi sopan santun. Baginya inilah sebenarnya lakonan. Dia terpaksa berlakon sebagai individu yang akur dan berpura-pura setuju dengan apa yang tidak disukai .
PELAKON TERBAIK KAMI.

Dia terpilih sebagai Pelakon terbaik 
Dan kami cukup puas hati
 setiap kali dia beraksi.

Antara lain yang paling kukenang
Dia melakonkan watak pawang
Dengan getar suara membaca mantera
Begitu lantang menghalau hantu  jembalang
 “Hey jin kepala tujuh
Jin bernama Jin khianat
Keluarlah kamu dari jasad rakyat
Anak cucuku sudah lama sakit tenat
Sudah lama melarat
Hey hantu segala hantu
Hantu pembelit hantu penipu
Jangan ganggu  anak cucuku
Sehingga mereka lari ketakutan
 Ke  pinggir pinggir hutan
Tinggallah kamu dan para kroni
Menguasai kota ini.

Aku pernah bertanya dia
Sungguh hebat kau berlakon
Semua penonton terpegun
Bagaimana kau menjadi  pawang
Bengis dan garang
Menghentak dan menendang
 sangat berlainan dari dirimu
Yang sopan dan pendiam

Dia hanya tersenyum menjawab
Seperti biasa kata-katanya cukup terhad
yang kau lihat di pentas itu
Sebenarnya adalah  aku
Di luar pentas aku adalah pelakon.
Yang menelan  kemarahan
Menjadi sopan santun
Kerana   di luar pentas
 lebih ramai penonton

Di atas pentas aku bebas beraksi
Sebagai  diri sendiri
Sebaik turun
Akupun mula berlakon.

CERPEN

Cerpen pada umumnya diertikan sebagai cerita rekaan yang pendek. Pendek maksudnya tidak panjang seperti novel. Cerpen mengandungi cerita tetapi yang penting dalam cerpen bukan ceritanya. Empat unsur yang disebut tadi iaitu, PEMIKIRAN, PERASAAN, IMAGINASI dan REALITI wujud di dalam cerpen. Aspek imaginasi adalah lebih ketara atau lebih besar daripada puisi kerana Cerpen memerlukan sebuah cerita yang biasanya adalah rekaan. Pemikiran dan reality boleh juga dianggap sebagai isu yang diketengahkan.
Pada kesempatan ini saya fokus kepada dua cerpen iaitu Tangisan Peragut (Murka Lautan, ITBM 2016) dan Pujangga Negara (Menjelang Pemilihan, Dbp 2004)
Cerita atau Imaginasi di dalam Tangisan Peragut ialah Asrul, seorang anak muda yang dihimpit kemiskinan lalu menjadi peragut untuk hidup. Pada suatu malam ketika meragut, dia ditangkap dan dibelasah oleh jiran-jiran mangsanya. Peragut dibawa ke pengadilan dan di sini dia menatap wajah mangsanya dari dekat. Alangkah terkejut bila melihat wajah wanita itu menyerupai wajah ibunya.  Wajah itu mengembalikan kenangan yang menyayat perasaan.   
.Dari aspek Realiti, kejadian ragut  menjadi-jadi pada masa ini.  Kita membaca di akhbar kisah seorang wanita mangsa ragut yang cedera malah ada yang meninggal dunia. Masyarakat  sangat marah kepada peragut. Dari aspek Pemikiran, dikemukakan pandangan bahawa kejadian ragut berlaku akibat kemorosotan ekonomi. Anak-anak muda berkeliaran tanpa pekerjaan dan pendapatan. .Ada yang menyalahkan  pemimpin yang rasuah, melenyapkan duit rakyat  dan tidak menguruskan negara  dengan betul.
Ingin mengajak pembaca berfikir tentang keadaan ekonomi negara, mengajak pemimpin agar insaf dan memperbaiki keadaan.



Antara gambaran Realiti dan Pemikiran yang kemukakan di dalam cerpen ini:.
 “Kak mesti cakap dengan abang Aziz, kerajaan patut tutup kedai-kedai macam tu , merosakkan rakyat saja”.  Zaidah memberi pandangan kerana abang iparnya ada jawatan penting dalam Majlis Bandaraya..
 Saya nak balik cepat. Kak tahulah jalan ke rumah saya agak gelap tak ada lampu. Hmm, maklum jalan masuk ke kawasan orang miskin. Kakak cakaplah dengan abang Aziz, minta tolong dia usahakan pasang lampu sikit. Kesian anak-anak kami balik tusyen malam-malam. Sekarang ni macam-macam kejadian jenayah. Orang jahat semakin ramai”.
Asrul bukan bodoh. Dia banyak membaca lebih lebih lagi ketika menjadi penyunting di syarikat penerbitan dahulu. Dia pernah membaca kisah Skandal BMF dan misteri kehilangan wang yang dianggarkan 52 bilion. Dia tahu kisah seorang juruaudit yang ditemui terbunuh di dusun pisang di Hong Kong pada bulan Julai 1983 ketika dia baru lahir ke dunia.

Dia dan kawan-kawannya selalu mengumpat pemimpin yang hidup bermewah-
mewah dan membazir wang rakyat. Bagi mereka inilah punca jenayah meningkat.
Ketika disoal siasat oleh polis dia berkata kepada polis, “Encik, saya meragut pun tidak seberapa. Mengapa polis tidak tangkap dan siasat orang yang melarikan berjuta-juta wang negara”.

“Encik jangan anggap orang yang merompak tidak pandai dan orang pandai tidak merompak”.

 
Unsur imaginasi dalam cerpen ini  khusus bertujuan membangkitkan emosi.Saya cipta watak seorang peragut dan timbulkan watak-watak seperti mangsa, ibu peragut dan anak mangsa yang demam.serta adik peragut yang sakit. Emosi dibangkitkan khususnya melalui kenangan peragut terhadap ibunya yang terlalu sedih  bila adiknya meninggal dunia setelah demam berhari-hari sedangkan ibu tidak mempunyai wang untuk membawa adik berjumpa doktor. 
PUJANGGA NEGARA.Ceritanya, iaitu aspek imaginasinya ialah ada seorang anak muda kampung bernama Awang Budiman yang sangat berbakat dalam bidang penulisan (puisi). Dia digambarkan sebagai sangat tekun menulis dan rajin menghadiri majlis-majlis bacaan puisi. Cita-citanya ialah untuk mencapai status sebagai Pujangga Negara  yang merupakan satu pengiktirafan dan lantikan ke satu jawatan yang tertinggi dalam bidang penulisan.  Jawatan itu dihadkan kepada tiga orang pengarang yang masih hidup. Setelah berusaha bertahun-tahun, cita-cita Awang Budiman pun tercapai. Dia dilantik dan diberikan sebuah rumah yang cantik di kawasan yang terpilih berdekatan  istana raja.
Maka bermulalah tanggungjawabnya sebagai Pujangga Negara dan bermulalah konflik  jiwa . Sebagai Pujangga Negara Awang mesti menulis memuji-muji pemerintah  Namun bila dia tinggal di tengah kota dan ditengah pembesar-pembesar dia melihat sendiri segala kemungkaran yang berlaku.
Dari budak kampung yang miskin dia menjadi salah seorang anggota pemerintah. Justeru apa yang beliau fikirkan mestilah sama dan selaras dengan kehendak pemerintah. Awang telah beroleh kemewahan dan kedudukan tetapi dia merasa dia telah hilang kebebasan. Perkara ini dapat dilihat dalam percakapan Awang dengan datuknya yang bijaksana. Percakapan atau perbualan dan cerita-cerita Awang  adalah unsur-unsur imaginasi yang bertujuan untuk menyampaikan realiti.
“Saya berasa bahagia hinggalah pada satu hari, saya berada di istana untuk menyambut kepulangan pahlawan-pahlawan Pura Cendana dari medan perang. Pahlawan-pahlawan itu membawa pulang harta rampasan perang iaitu emas, intan sebanyak 10 tempayan. Saya melihat lima tempayan diserahkan kepada maharaja sebagai haknya yang mutlak. Satu tempayan penuh diserahkan kepada perdana menteri sebagai hadiah. Tiga tempayan lagi dibahagi-bahagikan antara 10 orang pembesar-pembesar negeri yang tinggal di kawasan istana itu dan panglima-panglima besar. Yang tinggal hanya satu tempayan lagi. Separuh daripada isi tempayan ini dibahagikan kepada pahlawan-pahlawan yang bermati-matian berperang hingga membawa kemenangan. Yang tinggal separuh tempayan itulah yang dimasukkan ke dalam khazanah negara. Dan itu pun saya lihat banyak yang dicuri masuk ke dalam uncang pengawal-pengawal khazanah negara itu. Hanya beberapa genggam sahaja daripada emas itu digunakan untuk membeli barang-barang makanan dan serba sedikit hadiah untuk rakyat. Maharaja pun berangkat ke kampung-kampung untuk menyampaikan hadiah-hadiah ini. Saya melihat rakyat melutut, menyembah dan menjunjung kurniaan maharaja. Saya berasa amat sedih melihat semua ini. Dan ... saya mesti mengarang dan melagukan puji-pujian terhadap pemerintah yang kononnya adil dan amat kasih akan rakyat. Pedihnya hati saya berbuat demikian bila saya sendiri melihat harta negara tidak diagihkan secara saksama. Kekayaan itu diberikan kepada pembesar, kepada menteri-menteri, anak-anak dan menantu-menantu menteri. Ah ... saya berasa sungguh berdosa.”
Awang benci kepada kepura-puraan yang berlaku di kalangan pemimpin “Setiap kali ada upacara rasmi, saya akan bergurindam. Akan adalah pembesar-pembesar yang mahu menawarkan pelbagai hadiah kepada saya supaya saya memasukkan puji-pujian terhadap mereka dalam puisi-puisi saya. Hal seperti ini sungguh mengganggu fikiran dan ciptaan saya kerana saya sudah tahu siapa mereka yang sebenarnya. Walaupun ada pujangga yang mengambil jalan mudah atau mengambil kesempatan menerima sogokan daripada pembesar-pembesar itu, tetapi saya tidak dapat berbuat demikian.”
“Oleh kerana negeri kita ini aman dan damai, ramailah pedagang-pedagang luar yang mahu mencari kekayaan di sini. Mereka menghadap maharaja dan pembesar-pembesar, meminta izin mendirikan kedai-kedai yang besar. Mereka meminta izin untuk membuka ladang. Maharaja dan pembesar tidak keberatan memberikan izin kerana pedagang-pedagang itu telah memberikan beruncang-uncang emas kepada mereka. Nah, sekarang tuk lihat negeri kita ini penuh dengan pedagang-pedagang luar. Bahkan maharaja sanggup meminta rakyat menyerahkan tanah mereka kepada kerajaan untuk diberikan kepada pedagang-pedagang itu. Lama-kelamaan negeri ini akan terjual kepada orang asing. Maharaja dan pembesar-pembesar itulah yang menjual negeri ini. Dan saya ... diminta pula bersyair tentang mengapa rakyat wajar menyerahkan tanah mereka kepada maharaja.”
“Ciptaan saya adalah apa yang benar-benar saya rasa dan fikirkan. Saya tidak dapat menulis tentang apa yang tidak saya rasai.”
 “Awang, Tuk faham benar apa yang kaurasakan sekarang. Kau telah kehilangan kemerdekaan berfikir sedangkan sebesar-besar dan semulia-mulia kurniaan Allah kepada manusia adalah akal fikirannya. Kalau manusia telah disekat daripada berfikir, apakah gunanya dia menjadi manusia?”
“Benar, Allah menjadikan manusia sebagai sebaik-baik kejadian dan umat Muhammad sebagai sebaik-baik umat. Manusia mencapai martabat yang tinggi bila dia memiliki kebebasan iaitu kebebasan kemahuan yang dikatakan iradat, kebebasan menyatakan fikiran dan kebebasan jiwa daripada keraguan. Kebebasan ini tercapai selama manusia hidup berpandu atau bertunjangkan iman kepada Allah. Tetapi manusia sendiri yang telah mencipta berbagai-bagai belenggu dalam kehidupan mereka. Belenggu itu wujud bila manusia bertuankan wang ringgit atau harta benda atau apa sahaja yang lain daripada Allah. Tuk sudah mengagak perkara ini akan berlaku. Sepatutnya kau telah memahami bahawa bila kau menerima jawatan di istana, kau akan menjadi milik raja dan kerajaannya. Atuk tahu, semasa menerima jawatan itu kau telah melafazkan ikrar untuk mencurahkan taat setia yang tidak berbalah bahagi dan untuk menyimpan rahsia kerajaan. Kalau kau bercerita tentang kemungkaran yang kaulihat, kau boleh dituduh membocorkan rahsia kerajaan dan boleh ditahan tanpa sebarang pengadilan. Kau tidak lagi memiliki diri sendiri. Kebebasanmu akan hilang. Itulah harga yang kaubayar sebagai anggota kerajaan.”
 “Tuk, saya telah beroleh kemewahan dan kedudukan. Tetapi saya telah hilang kebebasan. Sedangkan kebebasan itulah yang paling saya hargai. Ciptaan saya adalah apa yang benar-benar saya rasa dan fikirkan. Saya tidak dapat menulis tentang apa yang tidak saya rasai.”
Kisah Awang ini tentulah imaginasi semata-mata, Tetapi segala yang mengganggu kreativiti dan mencabar integriti Awang adalah hal-hal yang real berlaku di hadapan kita.malah pada kita sendiri.
KESIMPULAN.
Karya-karya kreatif boleh dibicarakan daripada pelbagai pendekatan atau teori, begitu juga proses penghasilannya boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Nilai sastera pada sebuah karya terletak pada keindahan bahasa dan pemikiran dan isu yang relevan dengan kehidupan dan kemanusiaan. Proses kreatif adalah proses mengadun  imaginasi dan  realiti untuk menggegar emosi lalu merangsang pemikiran melalui karya yang bermanfaat kepada kehidupan. .





Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://zurinahhassan.blogspot.com/2019/04/perjalanan-kreatif-dan-pengalaman.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Sebelum Mula Saya Jatuh Bodo Luka Lutut Siti Nurhaliza Kongsi Pengalaman Berbasikal 72 Km

Sebelum Mula Saya Jatuh Bodo Luka Lutut Siti Nurhaliza Kongsi Pengalaman Berbasikal 72 Km

papar berkaitan - pada 14/4/2019 - jumlah : 450 hits
PENYANYI tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi momen dia terjatuh basikal sebelum bermula acara kayuhan 72 kilometer di Langkawi pada Sabtu Menurut Siti 40 biarpun lututnya cedera disebabkan terjatuh namun dia tetap semangat m...
Pengalaman Menginap Di The Regency Hotel Seri Warisan Taiping Hotel Mesra Muslim

Pengalaman Menginap Di The Regency Hotel Seri Warisan Taiping Hotel Mesra Muslim

papar berkaitan - pada 15/4/2019 - jumlah : 721 hits
Assalamualaikum Lama Fiza tinggalkan diari ini semata mata untuk memberi laluan kepada job review yang datang Hari ini Fiza tangguhkan job review yang ada demi untuk menceritakan pengalaman kami bercuti bulan lepas yang masih tertangguh Pen...
Pengalaman Kerja Luar Daerah Best Juga Rasanya

Pengalaman Kerja Luar Daerah Best Juga Rasanya

papar berkaitan - pada 14/4/2019 - jumlah : 365 hits
Salam to all readers Banyak pula masa terluang aku minggu ini nak update blog kan Konon nak sambung tidur tapi tak boleh lelap pula so ada baiknya aku coretkan catatan dalam blog Aku rindu nak turun event sebenarnya tapi dah terikat dengan ...
Berkongsi Pengalaman Bersalin Ezzaty Sempat Minta Nak Makan Coklat Pada Bukaan 10sm

Berkongsi Pengalaman Bersalin Ezzaty Sempat Minta Nak Makan Coklat Pada Bukaan 10sm

papar berkaitan - pada 14/4/2019 - jumlah : 424 hits
Baru baru ini admin berkesempatan untuk bertemu dengan pelakon cantik Ezzaty Abdullah Ketika ditanyakan tentang pengalaman dia melahirkan Harum Dalia berseri seri wajahnya Sifat keibuan Ezzaty memang terserlah ketika melayan anaknya Walaupu...
Tkn Sebut Modal Jokowi Di Debat Pamungkas Pengalaman Jadi Walkot Hingga Presiden

Tkn Sebut Modal Jokowi Di Debat Pamungkas Pengalaman Jadi Walkot Hingga Presiden

papar berkaitan - pada 13/4/2019 - jumlah : 260 hits
Debat kelima diselenggarakan di Hotel Sultan Sabtu Tema yang diangkat adalah ekonomi kesejahteraan sosial keuangan dan investasi serta perdagangan dan industri
Pengalaman Bercuti 8d7n Di Kashmir New Delhi Agra Di India

Pengalaman Bercuti 8d7n Di Kashmir New Delhi Agra Di India

papar berkaitan - pada 14/4/2019 - jumlah : 795 hits
Assaalamualaikum Saya doakan anda yang menziarahi blog ini akan sentiasa dilimpahkan rahmat dan kasih sayang daripada Allah Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita dan semoga kita semua dimasukkan ke dalam syurga tanpa dihisab Insya ...
Planet Jahit Pengalaman Baru

Planet Jahit Pengalaman Baru

papar berkaitan - pada 15/4/2019 - jumlah : 254 hits
Salam Hai korang Lama betul tak update blog kesayangan ni Almaklumlah dah kerja Kerja kita sekarang ni jauh berbeza dengan kerja dulu kehidupan hotelier yang membosankan dan kena tahan makian dari customers Kadang kadang kena maki for nothi...
Paragliding Di Ranau Sabah Pengalaman Blogger

Paragliding Di Ranau Sabah Pengalaman Blogger

papar berkaitan - pada 16/4/2019 - jumlah : 543 hits
Biasa kalau bercuti ke Ranau Sabah mesti tempat yang nak dituju tak lain dan tak bukan Fish Spa Luanti dengan Poring Hot Spring kan Tau tak ada satu aktiviti best iaitu Paragliding di Ranau Sabah Persediaan sebelum berlepas Untuk aktiviti P...
Bawa Anak Sedara Ke Maps Perak Pengalaman Berada Dalam Boboiboy Cattus Coaster

Bawa Anak Sedara Ke Maps Perak Pengalaman Berada Dalam Boboiboy Cattus Coaster

papar berkaitan - pada 18/4/2019 - jumlah : 495 hits
Akhir Disember 2018 adalah bulan terakhir kami untuk gunakan kad khas MAPS Perak Jadi kesempatan itu kami gunakan untuk bawa anak anak menikmati kegembiraan kali terakhir di MAPS atau Movie Animation Park Studios yang terletak di Ipoh Rugi ...
Ratusan Warga Asing Ditangkap Guna Ic Palsu Untuk Kerja Di Malaysia

Blogger Pinned Article Featured Post Display Issue

Kumpulan Sunway Healthcare Tandatangan Mou Bersama Syneos Health

Patutlah Viral Ayam Gepuk Top Global

Ismail Seru Pm Terus Angkat Cadangan Jadikan Bm Bahasa Kedua Asean

Lirik Lagu Hati Meraung Danial Ismail

Dr M S Lawyer Why Did Pm Keep Silent On Rushed Prosecution In 2018

Solat Hajat Perdana Spm Stpm Smk Gelang Patah


echo '';
10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton

One In A Million 2024 Senarai Peserta Juri Format Pemarkahan Hadiah Dan Segala Info Saksikan Live Di TV3 Malaysia Dan Tonton Calpis Soda OIAM

Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Cinta Bukan Milik Kita Slot Samarinda TV3

6 Tapak Buangan Produk Manusia Yang Bersaiz Gergasi

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11


Kata Kata Nasihat Dalam Perjalanan

Abu Hurairah Sahabat Periwayat 5 374 Hadits

Icac Found No Case Rahman Dahlan Defends Musa S Appointment

Tenure Of Sabah Sarawak S Top Judge Extended Says Source

Pas Mocks Madani Gov T After Pmx Loosely Faulted Rushed Flawed Trials Of High Profile Cases Post 2018 Ge

Tahukah Anda Fasal Nama Tempat Terpanjang Dan Terpendek Di Malaysia