Percintaan Pemilik Salon Dengan Pegawai Gred 41
Menurut moyang Darren, bapa moyangnya tiba dari China iaitu dari wilayah Guangdong sekitar tahun 1860-an. Ini setelah berlaku banyaknya kemusnahan dan huru-hara ekoran Pemberontakan Taiping pada tahun 1850 sehingga 1864 di selatan China. Moyangnya tiba di Keningau, Sabah tetapi kemudian berhijrah lagi; kali ini ke Semenanjung Malaysia, lebih tepat di Seremban dalam tahun 1880-an. Pada mulanya, moyangnya itu berhasrat untuk menetap di Singapura dan mencari rezeki di situ tetapi entah mengapa hati terpaut pada Seremban.
Bapa moyangnya itu kemudian mengahwini seorang wanita Cina dari Ipoh. Perkahwinan itu membawa kepada moyang Darren, dan seterusnya datuk beliau. Pada satu hari bapa kepada moyang Darren itu ke Maran, bersama majikannya seorang lelaki Inggeris dan tidak pernah pulang. Lelaki Inggeris itu juga lesap. Ada kemungkinan mereka terkorban dalam kancah perebutan kuasa melibatkan pembesar Pahang.
Darren tidak pun tahu bahawa bapa moyangnya itu sebetulnya menetap di sebuah kampung Melayu, menganut agama Islam dan mengahwini seorang janda beranak dua. Hasil perkahwinan itu bapa moyangnya beroleh pula dua anak lelaki. Bapa moyangnya meninggal dunia ketika kedua-dua budak tersebut masih kecil. Salah seorangnya diberi nama Daud.
Dua jalur keluarga ini tidak pernah bertemu sejak itu malah tidak saling mengenali.
Datuk dan kemudian diturut bapa Darren kekal menetap di Seremban, beranak pinak dan mengekalkan budaya Cina. Darren kemudian memeluk agama Kristian dan membuka sebuah salon di Cyberjaya. Daud pula mengahwini seorang gadis Melayu, berhijrah ke Segamat dan anaknya, Fuad, kemudian memilih untuk menjadi seorang peneroka tanah Felda dalam tahun 1970-an. Daud meninggal dunia tanpa mengetahui asal usul bapanya. Keturunan Daud berpilin dan merebak dan salah seorang cicitnya bernama Diana bertugas di Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan, pegawai gred 41.
Sebulan sekali Diana akan ke salon Darren untuk mendandan rambut.
Lama kelamaan Diana dan Darren elok berkawan. Darren berjaya menjadikan hobinya, berbasikal jauh-jauh kadang sehingga ke Tanjung Malim, atau memanjat Cameron Highland sebagai hobi bersama dengan Diana. Mereka berbasikal dalam kumpulan. Sebetulnya mereka tidak pasti apakah mereka bercinta. Barangkali lebih tepat, mereka itu berkawan rapat.
Satu hari, 15 hari setelah Tahun Baru Lunar iaitu sebelum pandemik Covid-19, Diana menziarahi keluarga Darren di Seremban. Di rumah Darren, keluarganya meraikan Pesta Tanglung. Diana disaji niangao, yang sepatutnya dihidang ketika malam Tahun Baru Cina, bersekali dengan tangyuan, dan yuanxiao; kedua-duanya ladu sayuran yang lazat. Diana malah belajar daripada nenek Darren cara membuat yuanxiao.
Malam gamat tersebut Diana digambari oleh Darren hampir di setiap penjuru rumah datuknya. Foto-foto Diana jika dilihat kembali di Facebook semua dilatari jianzhi yang berhias tertampal di jendela, dan diaoqian yang memanjang lanjut ke bawah.
Bapa Darren, seorang pesara mandur di ladang Guthrie beritahu Diana sebetulnya Tahun Baru Cina mulai diraikan di era Sui (581-618 M) dan Tang (618-907 M) meskipun kalendar Cina diperkenalkan jauh lebih awal iaitu ketika zaman Maharaja Wan (140-87 SM). Lama setelah itu perayaan awal musim bunga ini diberi nama Yuandan atau hari pertama. Pada tahun 1911, Dr Sun Yat Sen memperkenalkan ia sebagai hari pertama Pesta Musim Semi.
Bapa Darren menjelaskan, “Datuk saya dulu merujuk Tahun Baru hanya sebagai Sin Tjhoen Kiong Hie atau Selamat Hari Pertama di Musim Semi. Hanya beberapa dekad kemudian di Hong Kong, ia diperkenalkan sebagai Kong Hee Fat Choy, satu sapaan atau ucap tahniah agar beroleh keuntungan lantaran masyarakat di situ yang lebih kapitalistik. Lama-kelamaan ia diikuti yang lain.”
Ibu Darren, bekas guru matematik pula bercerita bagaimana kucing tertinggal dari menjadi sebahagian dari haiwan yang menghiasi lingkaran dua belas tahun Cina. Menurut ibu Darren, Buddha bersiap untuk menciptakan lingkaran kalendar Cina menerusi perwakilan aneka binatang. Dua belas tempat kosong disediakan untuk direbut oleh para haiwan.
Kucing yang suka tidur berpesan kepada tikus agar mengejutkannya apabila tiba waktu perlumbaan. Bukan sahaja tikus meninggalkan kucing, dia malah memperdayakan lembu agar membawanya menyeberangi sungai sebelum berlarian menuju kayangan. Babi yang paling lambat malah sempat tiba, dan kucing hanya terjaga setelah kawan-kawan haiwannya tiba di pintu istana Maharaja Jed.
Sedang Diana tertawa dan bergurau senda dengan adik beradik dan anak buah Darren yang ramai, neneknya tersedar di leher Diana tergantung rantai dengan loket jed menggoda. Mujur juga Diana tidak bertudung, maka leher jinjangnya itu terserlah dengan rantai dan jed demikian memukau.
“Jed ini milik moyang saya sebenarnya, saya hanya mengenali namanya sebagai Daud, dari Pahang dan tidak pernah mengenali beliau. Loket ini hanya ada sebelah. Menurut ceritanya, sebelah yang lain ada pada keluarga moyang sebelah lelaki. Itu sahaja.”
Nenek Darren bingkas mengeluarkan sebuah cembul yang berisi sebentuk cincin dan loket jed. Kata nenek Darren, “Datuk saya juga menurunkan seketul loket jed yang cantik ini, dan ia juga separuh sahaja. Menurut cerita datuk, ia milik moyang saya dari China.”
Darren ternganga luas melihat jed rahsia tersebut. Apabila Diana menanggalkan jed itu dan tidak semena-mena mengacukan kepada sebelah jed milik keluarga Darren, seisi rumah terpukau dan terkejut. Ia nampaknya padan dan sebetulnya berupa epal yang bulat.
Nenek Darren menangis tersedu-sedan, “Ia adalah ping atau ping’an, bermaksud keselamatan.”
Dalam longo dan kebingungan tiada siapa pun mempedulikan apakah loket itu mempunyai satu asal usul atau hulu yang sama. Meskipun datuk Darren merasakan ‘sesuatu yang magis akhirnya telah bertemu kembali’, tidak ada siapa pun berani menyebutnya.
Hanya nenek Darren berani lalat bertanyakan, “Adakah loket ini datang dari orang yang sama?”
Diana hanya berwajah kosong, “Entahlah nenek. Susah juga untuk saya katakan begitu. Sebabnya datuk saya seorang walaun yang amat membenci orang Cina. Dia sangat rasis. Kerjanya memfitnah sahaja, misalnya dia selamba memfitnah orang dengan nama keluarga Yeoh itu adalah sepupu Yeos. Kalaulah jed ini datang dari moyang lelaki Darren tentulah sangat aneh.”
Seisi rumah Darren tertawa kelucuan mendengar jenaka Diana.
Apabila Diana pulang ke Putrajaya dan Darren juga kembali membuka salonnya di Dpulze, tiada siapa membangkitkan kembali kisah tersebut. Minggu-minggu berlalu, ibu Diana memaksa dia berkahwin dengan seorang pemuda asal Marang, Terengganu. Diana beria-ia tidak mahu. Darren pula terlalu sangat berhati-hati untuk menaruh hati. Entah mengapa pemuda Cina seakan tidak berminat untuk berkahwin dan terlalu berkira-kira soal rezeki dan pendapatan dalam hidup. Kerja Darren balik-balik berbasikal.
Percintaan sekejap antara pemilik salon berbangsa Cina dan pegawai Melayu gred 41 di Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan itu lebur begitu sahaja. Hubungan Diana dan Darren terputus andar.
Setahun dua kemudian Darren hanya membaca di media sosial perihal seorang wanita Melayu yang ditampar suaminya kerana dikatakan menyambut perayaan Hari Natal dan Tahun Baru Cina. Wajah Diana yang bengkak dan lebam beredar tular di platform X. Dalam satu foto itu Diana dipeluk erat Datuk Aiman Athirah, timbalan menteri KPKT yang merupakan juga ketua Wanita Amanah dan Pakatan Harapan.
Apa yang begitu mengesankan Darren ialah di leher Diana tiada lagi loket jed epal yang separuh itu. Seolah tiada lagi ping’an.
Hati Darren sejujurnya remuk redam tetapi hidup begitulah. Dia tidak tahu untung nasibnya di Tahun Ular kelak. Moga-moga dia beroleh keuntungan, dan Diana mengecap kebahagiaan dan lebih penting, keselamatan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/01/percintaan-pemilik-salon-dengan-pegawai.html