Perbicaraan 1mdb Ditangguh Kerana Muhammad Shafee Perlu Buat Persiapan Perkahwinan Anak
Mahkamah Tinggi menunda tarikh yang dijadual untuk perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada minggu ini ke 2 Mac.
Ini susulan permohonan dikemukakan pihak pembelaan, yang diketuai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, untuk menangguhkan perbicaraan itu, yang sebelum ini ditetapkan pada 18 dan 21 Feb, kerana Muhammad Shafee perlu menghadiri majlis perkahwinan anak lelakinya di Pulau Pinang.
Loading…
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, semasa dihubungi Bernama, berkata Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Muhammad Shafee untuk menangguhkan perbicaraan semasa perkara itu dimohon di dalam kamar hari ini.
“Tarikh perbicaraan akan datang pada 2 Mac,” kata Ahmad Akram.
Anak Muhammad Shafee, Muhammad Farhan, juga seorang peguam dan berada dalam pasukan peguam bela Najib, akan mengadakan majlis perkahwinan pada Khamis ini, 20 Feb.
Terdahulu, dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd dihadapi Najib di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Muhammad Shafee memaklumkan kepada mahkamah beliau akan memohon penangguhan perbicaraan 1MDB di hadapan Hakim Sequerah.
“Saya tidak tahu yang saya akan terbabit dalam persiapan bagi perkahwinan ini. Ia ada kena mengena dengan budaya Melayu Pulau Pinang, tarian semarak. Nasib baik bukan saya yang akan buat persembahan,” kata Muhammad Shafee secara berseloroh.
Tarikh lain bagi perbicaraan itu kekal seperti ditetapkan sebelum ini oleh Hakim Sequerah — 2-6, 9-13, 19-20, 23-27, 30-31 Mac, seluruh bulan April, 4 Mei dan semua hari bekerja pada Jun sehingga Oktober, termasuk Jumaat sehingga 12.30 tengah hari.
Muhammad Shafee sepatutnya meneruskan prosiding dengan memeriksa balas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, saksi kesembilan pihak pendakwaan, yang telah memberi keterangan sejak 23 Sept tahun lepas.
Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
–Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2020/02/perbicaraan-1mdb-ditangguh-kerana-muhammad-shafee-perlu-buat-persiapan-perkahwinan-anak/