Perahu Golek Makin Pupus Ditelan Zaman
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD ARIFFIN Tumpang sedang menyiapkan perahu golek di rumahnya di Felda Jengka 11 di Maran, Pahang.MARAN: Perahu jalur atau turut dikenali sebagai perahu golek satu ketika dahulu adalah kenderaan penting bagi menyusuri ‘lebuh raya’ Sungai Pahang.
Tetapi kini, warisan negeri ini semakin dilupakan berikutan kemajuan teknologi dan infrastruktur rangkaian jalan raya yang bertaraf dunia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pembuat perahu tradisi Pahang, Ariffin Tumpang, 67, yang berasal dari Kampung Mela, Jerantut mengakui terkilan perahu warisan Pahang itu semakin pupus ditelan zaman.
“Suatu ketika dahulu, Sungai Pahang adalah sumber laluan utama yang menghubungkan sebuah kampung dengan kampung yang lain.
“Perahu jalur dan golek merupakan kenderaan air yang digunakan penduduk untuk membawa hasil tanaman seperti padi, getah, buah-buahan dan hasil pertukangan dari kampung ke bandar,” katanya ketika ditemui di Felda Jengka 11, di sini semalam.
Ariffin berkata, dia memperoleh pengetahuan membuat perahu itu dari arwah ayahnya dan orang Kampung Mela di Jerantut yang sewaktu ketika dahulu bergotong-royong membuat kenderaan air tersebut.
“Semasa kecil dari tahun 1960-an, saya membantu dan melihat orang membelah kayu balak menggunakan kapak dan beliung hingga terbina sebuah perahu.
“Jika dahulu sangat mudah mencari kayu seraya, meranti, meranti merah dan perawan kerana banyak tumbuh di hutan untuk dibuat perahu.
“Kini bukan sahaja sukar mencari kayu hutan kerana terikat dengan undang-undang tetapi juga tiada lagi yang pakar dan berminat membuat perahu,” katanya.
Bekas tentera yang pernah berkhidmat menjaga pelarian Vietnam di Pulau Bidung, Terengganu itu mengakui penting memiliki perahu kepada sebuah keluarga terutama yang sering dilanda banjir.
Berhubung perahu golek yang dibuatnya, Ariffin berkata, dia terpaksa menggunakan kepingan kayu berikutan kesukaran mendapatkan kayu balak.
Menurutnya, kepingan kayu jenis melantai diperoleh daripada kilang kayu berdekatan dicantum menggunakan damar, tali guni dan minyak tanah.
“Mencantum kepingan-kepingan kayu sepanjang 18 kaki memerlukan kemahiran dan juga pengalaman kerana ia proses yang sangat rumit.
“Apabila siap, perahu ini dijual sekitar RM3,000 kepada orang ramai terutama orang kampung yang tinggal di pinggir sungai,” katanya.
Jelasnya, setakat ini lebih 20 buat perahu telah dibeli termasuk oleh pengusaha pusat pelancongan untuk hiasan dan juga disewa kepada pemancing.
“Saya akan meneruskan usaha membuat perahu golek kerana ia melambangkan jati diri, cara hidup serta ketinggian adab seperti mana tokoh-tokoh Melayu terdahulu yang dipandang tinggi berdasarkan kebolehan beraktiviti di air,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/03/perahu-golek-makin-pupus-ditelan-zaman.html