Penyu Berkepala Dua Disebabkan Faktor Genetik Ahli Akademik
SEMPORNA, Penetasan anak penyu berkepala dua boleh berlaku disebabkan faktor genetik, kata ahli akademik Profesor Madya Dr Juanita Joseph
Dr Juanita yang berkhidmat di Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah berkata perkara itu boleh terjadi tetapi bukan selalu.
“Penyu dua kepala ini dipanggil Bicephaly atau Dicephalism ini jarang berlaku dan faktor genetik mungkin memainkan peranan penting dalam pembentukan penyu berkepala dua ini.
Kadang-kadang terdapat kesilapan dalam genetik, sama seperti manusia juga kadang ada ketaknormalan pada kromosom,” katanya kepada Bernama.
Semalam dilaporkan seekor anak Penyu Hijau berkepala dua menetas di pusat pembiakan penyu, Mabul Turtle Hatchery yang diuruskan SJ SEAS, iaitu badan pemuliharaan di bawah Scuba Junkie (SJ) di Pulau Mabul, dekat sini.
Penemuan itu mengejutkan banyak pihak yang terlibat dalam program pemuliharaan penyu di Sabah.
Menurut Dr Juanita, kejadian unik itu pernah berlaku di Pulau Redang, Terengganu pada 2014.
“Pernah (semasa bertugas sebagai penyelidik di Unit Penyu Laut (Seatru) Universiti Malaysia Terengganu) kami jumpa penyu dua kepala ini, kami jaga tapi mati selepas tiga atau 4 bulan selepas itu.
“(Ketika itu) penyu ini ada dua kepala tetapi organ dalaman semua dikongsi bersama, masalah timbul sebab satu kepala mengambil udara atau makan, satu kepala lagi akan terminum air, lama kelamaan akhirnya mati,” katanya.
Dr Juanita turut menafikan kejadian seumpama itu berlaku disebabkan faktor pencemaran.
Kalau pencemaran, memang banyaklah kita nampak anak penyu berkepala dua, dan sebelum ini ada dua kejadian saja di Pulau Redang iaitu satu dijumpai mati dalam sarang telur, manakala satu lagi hidup,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi SJ SEAS Mohd Khairuddin Riman berkata pihaknya sudah melepaskan lebih 13,000 anak penyu dari Mabul Turtle Hatchery dan anak penyu berkepala dua itu merupakan kali pertama ditemui di pusat pembiakan berkenaan.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata anak penyu hijau unik itu akan diletakkan di bawah pemerhatian pakar biologi dan Warden Kehormat Hidupan Liar di pusat pembiakan berkenaan.
Penyu Hijau dan Penyu Karah dilindungi oleh undang-undang di Sabah dan diletak di bawah Jadual 1, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.
Sumber: Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/07/17/penyu-berkepala-dua-disebabkan-faktor-genetik-ahli-akademik/