Penyelesaian Dari Sudut Undang Undang Berkenaan Orang Ketiga Dalam Perkahwinan
Baru-baru ini hangat isu mengenai “seseorang” di mana berlakunya penceraian dalam perkahwinan beliau gara -gara hubungannya dengan orang ketiga. Kes curang boleh melibatkan semua orang termasuklah pasangan suami isteri yang sudah lama berkahwin.
Aku tidak berminat mengulas mengenai penceraian tersebut. Sejujurnya kita memang marah mengenai isu ini. Namun, adakah kita mengetahui bahawa terdapat penyelesaian dari sudut perundangan bagi hubungan suami isteri yang berantakan gara-gara orang ketiga ini?
Definisi orang ketiga, mengikut Seksyen 37 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, boleh ditakrifkan sebagai mana-mana individu yang menghalang sesebuah pasangan yang sudah berkahwin dari menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pasangan suami isteri.
Menurut Seksyen 38 Akta yang sama, ianya turut diluaskan kepada mana-mana individu yang menghasut, memaksa atau memujuk seorang lelaki atau wanita untuk bercerai atau mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami atau isteri. Anda boleh merujuk undang-undang syariah di negeri masing-masing bagi mendapatkan info tentang kesalahan dan hukuman terhadap orang ketiga ini.
Harus diingat, akta ini tidak hanya terpakai khusus untuk KEKASIH GELAP sahaja. Seperti mana yang dikatakan dalam Seksyen 37 dan Seksyen 38 Akta sama, orang ketiga ini terpakai kepada mana-mana individu termasuk AHLI KELUARGA pasangan seperti IBU BAPA, MERTUA, ADIK BERADIK IPAR, SAHABAT HANDAI atau MANA-MANA pihak yang bertanggungjawab membawa kepada kemusnahan sesebuah rumahtangga itu.
Sebagai contoh, jika pihak yang mendesak sesebuah pasangan itu bercerai atau mengabaikan tanggungjawab mereka ialah ibu bapa atau ahli keluarga, mereka boleh didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang syariah negeri masing-masing. Dan sekiranya didapati bersalah, mereka boleh saja disabitkan hukuman penjara, denda, sebat ataupun mana-mana kombinasi hukuman tersebut.
Sekiranya pelaku tersebut merupakan kekasih gelap, baik lelaki mahupun perempuan, jika mereka melakukan perkara-perkara yang boleh menghalang pasangan menjalankan kewajipan dan kehidupan sebagai suami isteri, maka pelaku tersebut juga boleh diheret dan dibicarakan di mahkamah syariah dan dihukum jika disabitkan kesalahan.
Sekiranya mana-mana pasangan menjadi mangsa orang ketiga, boleh mengikuti langkah berikut:
1. Kemukakan aduan kepada Unit Penguatkuasa dan Pendakwaan Mahkamah Syariah yang berdekatan.
2. Di dalam aduan, sila jelaskan secara terperinci hubungan pasangan dengan individu ini sehingga memporak-perandakan rumahtangga.
3. Kemukakan segala bukti kukuh untuk sokong keterangan anda. Antara bukti yang boleh dikemukakan ialah bukti bergambar, bukti sebarang bentuk komunikasi secara teks, e-mail, perbualan rakaman, perbualan telefon dan lain-lain bagi membuktikan hubungan tersebut wujud.
Selepas aduan diterima, mereka akan siasat aduan tersebut dengan teliti dan sekiranya ia sahih, maka si pelaku boleh ditahan, dituduh dan didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang negeri masing-masing. Dan sekiranya sabit kesalahan, maka si pelaku akan dihukum mengikut hukuman yang ditetapkan.
Sebagai contoh, bagi pesalah Seksyen 36, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) iaitu memujuk seorang isteri lari meninggalkan suami, membawanya keluar atau mempengaruhinya meninggalkan kediaman mereka yang ditentukan suaminya boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun, denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali. Dan pihak mahkamah boleh memerintahkan si isteri untuk kembali semula pada suaminya.
Hukum bagi orang ketiga sehingga memporak-perandakan sesebuah perkahwinan adalah haram, berdosa besar, dan diancam dengan seksa api neraka. Perbuatan orang ketiga ini boleh diibaratkan seperti merosakkan ikatan silaturahim dan bahaya bagi si pelaku ini ialah tidak dapat masuk syurga, berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W dalam satu hadis riwayat Imam Muslim, “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.”
Malah menurut hadis Nabi s.a.w yang juga diriwayatkan oleh Imam Muslim, “Sesungguhnya iblis singgasananya berada di atas laut. Dia mengutus para pasukannya. Syaitan yang paling dekat kedudukannya adalah yang paling besar godaannya. Di antara mereka ada yang melaporkan, ‘Saya telah melakukan godaan ini.’ Iblis berkata, ‘Kamu belum melakukan apa-apa.’ Datang yang lain melaporkan, ‘Saya menggoda seseorang, sehingga ketika saya meninggalkannya, dia telah berpisah (talak) dengan isterinya.’ Kemudian iblis mengajaknya untuk duduk di dekatnya dan berkata, ‘Sebaik-baik syaitan adalah kamu.’ “. Maka dalam hadis ini, iblis memuji dan berterima kasih atas jasa tenteranya yang telah berjaya menggoda pasangan suami isteri, sehingga keduanya bercerai tanpa sebab yang dianggap dalam syariat. Ini menunjukkan bahwa perceraian suami isteri termasuk di antara perbuatan yang disukai iblis.
Memutuskan silaturrahim antara suami isteri bukan sahaja boleh dihukum di dunia, malah dikira melakukan maksiat besar sehingga mendapat laknat dari Allah SWT, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Muhammad, ayat 22-23 yang bermaksud, “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan, jika kamu dapat memegang kuasa-kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?. (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya.”
Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali-Imran, ayat 103 yang bermaksud, “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara.”
Rujukan:
1) Seksyen 36, 37 dan 38, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/Federal_Original.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/3734ed672e1938574825707c0004ad82?OpenDocument
2) Dalam Islam. (2017). Hukum Merebut Suami Orang dan Dalilnya.
Hukum Merebut Suami Orang dan Dalilnya
3) Dimon, Zanariah dan Mat Yusoh, Zaini Yusnita. (2014). Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). 043 UNDANG-UNDANG MENANGANI ORANG KETIGA DALAM RUMAHTANGGA: SATU SOROTAN DALAM UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH NEGERI SELANGOR DAN UNDANG-UNDANG KELUARGA SIVIL.
http://rmc.kuis.edu.my/irmic/wp-content/uploads/2014/12/043-UNDANG-UNDANG-MENANGANI-ORANG-KETIGA-DALAM-RUMAHTANGGA.pdf
– Faiz Fauzi
The post Penyelesaian Dari Sudut Undang-undang Berkenaan Orang Ketiga Dalam Perkahwinan appeared first on MFADHLY.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mfadhly.net/2019/04/28/penyelesaian-dari-sudut-undang-undang-berkenaan-orang-ketiga-dalam-perkahwinan/