Penyediaan Akta Pembangunan Kampung Baru Dalam Peringkat Akhir
Oleh Zanariah Abd Mutalib 

 Menteri  Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, menyampaikan bantuan makanan  asas secara pandu lalu kepada pemandu teksi, semalam. - NSTP/ROHANIS  SHUKRI KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan kini pada peringkat akhir penyediaan Akta Pembangunan Kampung Baru.
Akta itu khusus bagi menggantikan Kaedah-Kaedah Lembaga Pentadbiran  Malay Agricultural Settlement (MAS) untuk pentadbiran tanah serta  perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampung Baru.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata bawah akta  baharu itu kelak, terdapat beberapa peruntukan tertentu yang akan  menaikkan lagi nilai tanah di Kampung Baru, selain aspek kepentingan  kaum Melayu di kawasan itu.
"Akta MAS yang dibuat pada 1900 sudah tidak lagi boleh dipakai sejak  wujudnya Wilayah Persekutuan dan kekosongan ditinggalkan akta itu perlu  ditangani.
"Justeru, kementerian bersetuju (menyediakan akta baharu) dan kita sudah memasuki peringkat akhir," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan bantuan  makanan asas secara pandu lalu kepada 40 pemandu teksi di sekitar  Wilayah Persekutuan, di sini, semalam.
Pada 6 Jun lalu, Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB)  memaklumkan, MAS tidak lagi relevan dalam menjalankan fungsi pentadbiran  tanah serta perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampung Baru.
Katanya, ia berdasarkan pandangan perundangan daripada Jabatan Peguam  Negara dan surat daripada Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan kepada  Lembaga Pentadbiran MAS bertarikh 13 Februari lalu.
PKB menjelaskan, keputusan itu juga dibuat selepas mendapat perkenan  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, 2 Disember tahun lalu,  yang menyerahkan sebarang urusan berhubung status Lembaga Pentadbiran  MAS kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk diselesaikan mengikut  peruntukan undang-undang semasa.
Dalam pada itu, Annuar berkata, enam daripada 44 parcel di Kampung  Baru sudah boleh dibangunkan selepas mendapat persetujuan penduduk,  mengikut perancangan pembangunan organik, iaitu secara berperingkat.
Pada masa sama, katanya, semua pembangunan prasarana utama akan  dimulakan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), seperti menaik taraf  jalan dan infrastruktur yang mampu menaikkan lagi nilai tanah.
"Apabila ada akta baharu, nilai tanah akan lebih tinggi dan banyak  pelabur datang. Kita tidak mahu pembabitan orang tengah yang ingin  menjual tanah Kampung Baru kerana keutamaan kita ialah pemilik turut  serta.
"Berdasarkan kajian, kalau kena caranya, bukan RM1,000 bagi satu kaki  persegi tanah di kawasan ini kerana di seberang sungai, orang bayar  hingga RM2,000 ke RM3,000. Jadi, saya nak jadikan tanah Kampung Baru  dapat dijual dalam harga pasaran sebenar, sekali gus menguntungkan  pemilik," katanya.
Berhubung desakan pembangkang supaya Majlis Menteri Wilayah  diwujudkan kembali pula, Annuar berkata, beliau sedang mengkaji cadangan  itu.
"Masalahnya, mereka bercakap kepada media tetapi apabila saya periksa  di pejabat saya, tiada sebarang surat atau cadangan daripada mereka.  Setiap kali sidang Parlimen, mereka membuat publisiti, jadi saya lihat  macam ada 'nakal' sikit.
"Saya melihat perkara ini dari sudut yang baik. Maka, saya sudah beri  arahan kepada Ketua Setiausaha kementerian untuk membuat kajian kerana  Majlis Menteri itu sebelum ini dibuat untuk wakil rakyat kerajaan bawah  Pakatan Harapan (PH) tetapi bagi saya, semua wakil rakyat perlu dilayan  sama rata, selain turut perlu membabitkan Labuan dan Putrajaya, bukan  Kuala Lumpur saja," katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/penyediaan-akta-pembangunan-kampung.html