Penyatuan Ummah Pas Umno Bahaya Amanah
Muhammad Azizul Osman                                                                                                                                                                                                                                                                                          

Pengerusi  AMANAH Negeri Selangor, Ir.Izham Hashim berucap pada Majlis Perasmian  Konvensyen Wanita AMANAH Negeri Selangor Kali ke-3 bertemakan Wanita  Arkitek Kepimpinan Malaysia Baharu di Bangi Golf Resort, Bandar Baru  Bangi, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM 
                      BANGI – Parti Amanah Negara (Amanah) berkata langkah penyatuan parti  antara Pas dan UMNO adalah sesuatu yang bahaya kepada masyarakat, malah  ia mampu menggugat keseimbangan masyarakat majmuk di negara ini.
 Menurut Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim, kaedah itu mampu  menimbulkan ketegangan kaum kerana agenda ini hanya mempertahan satu  kaum sahaja.
 “Kita kena ingat ini bukan satu usaha atau agenda yang boleh  dipandang remeh atau ringan. Ini satu agenda yang mereka bina dan  teruskan sehigga pilihan raya umum (PRU) akan datang dan seterusnya.
 “Ini adalah bahaya kerana bagi kita mereka tidak ada rasa malu dan  segan untuk membuat apa saja asalkan cita-cita politik mereka tercapai.
 “Walaupun agenda mereka boleh menyebabkan perbalahan, pergeseran berpanjangan antara kaum dan agama, mereka tidak peduli.
 “Kita kena ingat, jangan kita biarkan naratif ini berpanjangan tanpa  sediakan satu penyelsaian yang mewakili konsep ‘rahmatan lil alamiin’,”  katanya ketika merasmikan Konvensyen Angkatan Wanita Amanah (AWAN)  Selangor di Bangi Golf Resort, hari ini.
 Jelas beliau, penyatuan ummah antara Pas-UMNO tidak tidak  mempedulikan kesan yang akan timbul kepada masyarakat dan hanya memenuhi  agenda politik masing-masing.
 Amanah sebagai satu gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) perlu bangkit  menolak konsep itu dengan memerangi sentimen perkauman dan agama yang  dimainkan kedua-dua parti pembangkang itu.
 Katanya, jika naratif itu tidak ditangani dengan betul dan tepat, ia  boleh menggugat agenda Malaysia Baharu yang didukung Pakatan Harapan  (PH).
 “Kita akan menjadi penyelamat bersama rakan dalam PH untuk membangunkan Malaysia yang lebih harmoni dan aman,” katanya.
 Pas-UMNO bakal memeterai Piagam Muafakat Nasional antara kedua-dua parti pada 14 September depan.
 Untuk rekod, kedua-dua parti itu sebelum ini, setuju untuk  menjalinkan kerjasama secara Ta’awun Siyasi yang menyentuh semua isu  melibatkan kepentingan nasional. -MalaysiaGazette     
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/09/penyatuan-ummah-pas-umno-bahaya-amanah.html