Penyanyi Wanita Berkumpulan Popular 90an
Industri hiburan tempatan ketika di era 90-an dilihat sangat meriah dengan kelahiran penyanyi berkumpulan lelaki mahupun wanita.
Antara yang menarik perhatian adalah kemunculan penyanyi berkumpulan wanita yang menjadi fenomena kebangkitan industri muzik yang digilai anak muda ketika itu.
Penglibatan variasi kumpulan wanita bergelar penyanyi ini turut mencetuskan trend baru dan segar pada ketika itu yang membuatkan mereka diminati ramai.
Mari kita lihat senarai penyanyi wanita berkumpulan popular tempatan zaman 90-an pilihan!
1. Feminin
Pastinya tiada siapa yang dapat melupakan lagu "Untukmu" hasil dendangan kumpulan wanita pertama di Malaysia ini.
Kumpulan yang aktif sekitar tahun 90-an ini berjaya mencipta fenomena tersendiri di tanah air dengan fesyen rambut dan pakaian mereka yang sering menjadi ikutan remaja ketika itu.
Pernah dianggotai oleh As, Yatie, Watie, Deq Nor dan Along, kejayaan Feminin di persada muzik Malaysia telah menyebabkan munculnya ramai penyanyi wanita berkumpulan pada era 90-an.
Antara lagu-lagu mereka yang menjadi hits adalah "Kini","Kembali", "Rindu", "Tetap Bersama" dan banyak lagi.
2. Elite
Kumpulan penyanyi yang merupakan artis rakaman KRU Records yang pertama dan telah ditubuhkan pada tahun 1996, dianggotai oleh Shasha Saidin, Azza Zawari, Linda Rafar, Watie Sadali dan Abby Abadi.
Menampilkan irama pop, pada mulanya mahu menggelarkan diri mereka sebagai Baby G yang juga merupakan jenama jam dan terpaksa di tukar kepada Elite.
Lagu-lagu mereka sering menjadi siulan anak muda ketika itu, di antaranya adalah "G.I.G","Manisnya Senyumanmu","Tamparan Wanita","Trauma" dan lain-lain lagi.
Elite juga tidak lari daripada masalah bertukar ganti ahli mereka, di antara mereka yang pernah menganggotai kumpulan ini adalah Fiza Halim, Hana Adnan, Sofia, Ava Vanja, Awir, Hazwan dan Irfan.
3. Res 2
Kumpulan rap wanita yang turut menggegarkan industri hiburan tanah air, Res 2 ditubuhkan pada penghujung tahun 1992 ketika demam muzik rap sedang melanda Malaysia.
Anggota Res 2 semasa awal kemunculan mereka ialah Baby Arin, Erin, Ezza, Yati dan juga Wati yang sebenarnya merupakan penari sambilan kumpulan Tag Dancers pimpinan Shawal yang sentiasa menjadi penari iringan kepada penyanyi popular ketika itu.
Bakat mereka dicungkil oleh Mas Omar dari Suria Records (SRC) dan seterusnya menjadikan mereka sebuah kumpulan penyanyi yang terkenal dengan lagu seperti "Kepastian dan Pengertian", "Rasa Sayang", "Sentuhan Cinta" dan banyak lagi.
4. Eva
Pernah mencipta fenomena tersendiri di era 90-an, kumpulan Eva turut memberi saingan sengit menerusi muzik irama dangdut.
Kumpulan yang dianggotai empat wanita bernama Linda, Rina, Izzu dan Mim ini berjaya mencuri perhatian umum dengan lagu popular mereka "Bulan Cinta" pada tahun 1996.
Sayangnya, populariti yang diraih hanya seketika dan membuat keputusan untuk menyepikan diri selama 15 tahun dan pernah membuat kemunculan kembali dua tahun lalu dengan single mereka berjudul "Kukuhkan Cinta".
5. M'steen
Walaupun nama kumpulan ini tidak segah nama-nama kumpulan yang lain, namun mereka juga berjaya mempunyai kelompok peminat mereka yang tersendiri.
Dianggotai oleh Intan Azura yang juga kini merupakan pelakon drama, kumpulan ini juga ditubuhkan bersama Diela, Jaja, Shankey dan juga Allahyarham Meyra yang telah meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan sekitar pertengahan 90-an.
Kumpulan ini membuat kemunculan pertama mereka dengan lagu berjudul "Kembalilah Kasih" yang pernah popular di corong-corong radio sekitar tahun 1993.
-Sentiasapanas.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.sentiasapanas.com/2014/06/penyanyi-wanita-berkumpulan-popular-90an.html