Penulisan Pertama Kluster Pendidikan Prim Tn 50
PENULISAN PERTAMA KLUSTER PENDIDIKAN PRIM TN 50oleh Wan Mohd Allwee Bin Wan Ismail (18.2.2018)
ASPIRASI KLUSTER - 10%
· 1. Pendidikan menggunakan teknologi yang sesuai dengan cara pembelajaran generasi z, alfa, beta dan seterusnya.
· 2. Pendidikan berasaskan bakat dan potensi anak. Bukan berasaskan satu sistem pendidikan untuk semua tanpa mengira potensi anak, demografi dan geografi. Mengenal pasti kecenderungan dan minat anak-anak perlu di peringkat awal usianya secara ujian bersistem dan berstruktur dan bukan semasa di tingkatan 4 seperti yang berlaku sekarang.
· 3. Penggunaan teknologi dan gajet yang membantu pembangunan pendidikan akal, rohani, emosi, fizikal dan sosial (A.R.E.F.S) generasi muda dan bukan melalaikan mereka.
· 4. Pendidikan yang mampu melahirkan generasi muda yang tahu, mahu, mampu dan berkuasa menguasai dan mengawal teknologi masa depan dan bukannya dikawal, dipengaruhi dan dimusnahkan oleh teknologi.
· 5. Pendidikan masa depan yang tidak memisahkan agama dalam kehidupan generasi muda dan mereka mengamalkan agama sebagai sebahagian daripada kehidupan.
PENDIDIKAN AWAL KANAK KANAK
· 6. Pendidikan awal kanak-kanak di taska dan tadika dijadikan sebagai asas pengukuhan pembinaan karektor dan pembinaan jatidiri, disiplin, keutuhan amalan fardu ain seperti solat 5 waktu dan solat berjamaah, pengukuhan penguasaan kepada bahasa ibunda Bahasa Melayu secara tertib dan tersusun dikuti bahasa kedua seperti Bahasa Inggeris, Arab, Urdu, Cina dan Tamil, pendidikan fizikal yang melibatkan motor kasar dan motor halus dan pendidikan bermain sambil belajar. Pengukuhan pendidikan karektor, agama, moral, bahasa dan komunikasi, kepemimpinan kemasyarakatan ini diperkuatkan melebihi pendidikan subjek dan mata pelajaran seperti yang diamalkan sekarang.
· 7. Pendidikan kendiri dan menguruskan persekitaran sendiri secara sihat wajib dimulakan di peringkat taska tadika lagi seperti membersihkan kelas, membersihkan tandas dan laman sekolah setiap pagi atau setiap minggu mengikut jadual bertugas, program pungutan sampah dan kitar semula 3R (recycle) seperti yang telah diamalkan di Jepun.
· 8. Pendidikan awal kanak–kanak juga dimasukkan subjek yang mendedahkan pendidikan STEM iaitu Sains, Teknologi dan Matematik yang sesuai dengan usia mereka. Malah dedahkan juga pendidikan Sains Angkasa.
· 9. Pendidikan awal kanak-kanak menggunakan konsep flash memory, flash cards, cybernatic dan whole memory. Penggunaan ini adalah asas kepada anak-anak di masa hadapan berbanding pendidikan cara menghafal dan mengeja yang agak ketinggalan untuk menguasai zaman kepantasan pergerakan maklumat.
PENDIDIKAN SEKOLAH RENDAH DAN MENENGAH · 10 Pendidikan Sekolah Rendah dan Menengah menekankan konsep pergaulan lelaki dan perempuan yang betul dan sihat untuk menghapuskan pergaulan bebas dan mencegah terjadinya perzinaan. Pendidikan Seks perlu diolah sebaik mungkin yang bersesuaian dengan ajaran Islam, adat dan adab ketimuran. Pendidikan seks daripada barat tidak boleh diceduk sepenuhnya kerana budaya yang berlainan. Pendidikan seks mesti dan wajib bersesuaian dengan budaya ketimuran.·
11. Pendidikan Sekolah Rendah dan Menengah lebih menekan kepada technical skill berbanding teori dan ilmu hafalan yang sukar diamalkan jika tiada pendedahan. Zaman masa hadapan lebih kepada kebolehan mengolah ilmu dan maklumat ke dalam bentuk tindakan amalan dan kemahiran.
1 · 12. Pendidikan Sekolah Rendah dan Menengah harus meletakkan subjek mata pelajaran yang sesuai dengan usia pelajar dan masa depan mereka dan bukan meletakkan berdasarkan keperluan politik atau berdasarkan pengalaman lalu penggubal dasar. Fokus kepada pendidikan masa hadapan dan bukan pendidikan masa lalu.· Pendidikan bersama masyarakat di peringkat sekolah menengah dan universiti supaya pelajar dan mahasiswa terdedah kepada keadaan kehidupan semasa masyarakat dan pandai membina pergaulan yang sihat dan beradab dengan orang dewasa dan warga tua.
PENDIDIKAN UNIVERSITI · 13.Pendidikan di peringkat universiti harus dibuat bersesuaian dengan pasaran kerja dan pasaran keusahawanan. Program anjuran Urban Transformation Centre adalah contoh terbaik yang boleh diperkasakan lagi. Persediaan harus dibuat apabila AI (artificial Intelligent) mula mampu mengambil alih tugasan kerja manusia.
· 14. Pendidikan di peringkat universiti harus merapatkan jurang perbezaan dengan pekerjaan di industri. Perbanyakkan kemahiran dan praktikal dan kurangkan assignment di atas kertas dan dalam bentuk kerangka idea.
1 · 15. Pendidikan agama adalah pendidikan wajib di setiap universiti awam dan swasta. Subjek yang diperkenalkan adalah subjek yang menyeluruh dan wajib diambil dan lulus dengan kepujian. Bukan lagi subjek pilihan.
· 16. Pendidikan di peringkat universiti melahirkan golongan belia dan beliawanis yang menguasai ilmu ekonomi Islam, menguasai ilmu politik Islam dan menguasai ilmu pemerintahan dan ketamadunan Islam.
PENDIDIKAN UNTUK BELIA DAN BELIAWANIS · 17. Pendidikan belia dan beliawanis pula perlu disediakan program peningkatan kemahiran (upskilling) untuk menguasai dan menguruskan AI di atas talian dan di masa hadapan. Di mana robot dan robotik akan banyak mengambil alih tugasan belia dan beliawanis di alam pekerjaan.
· 18. Pendidikan seks dan pendidikan keibubapaan adalah antara pendidikan yang wajib dilalui oleh para belia dan beliawanis sebelum mereka masuk ke gerbang perkahwinan.·
19. Perkukuhkan Sistem Kemahiran Dual Nasional dan Program kemahiran Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di bawah Jabatan Kemahiran Malaysia dan Ciast. Mempertingkatkan taraf pendidikan kemahiran sehingga melahirkan banyak universiti kemahiran di setiap negeri.· Pendidikan keimanan, akhlak dan moral sebagai teras kepada pendidikan nasional.
PENDIDIKAN ISLAM
· 20. Penyediaan pendidikan berpengaruh berasaskan pandangan Al-Quran, Sunnah, pandangan ijma ulamak seperti pendidikan melalui keteladanan, pendidikan berasaskan kebiasaan atau uruf masyarakat setempat yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam, pendidikan melalui nasihat, pendidikan melalui sifat common sense dan keperihatinan dan pendidikan berasaskan hukuman yang dibenarkan oleh Islam.· Penyediaan ruang dan peluang kepada mahasiswa dan belia untuk bersama ulama yang bijaksana.
· 21. Pendidikan Ahli Sunnah Wa jamah (ASWAJA) diperkukuhkan secara kreatif, mudah difahami dan dipelajari bermula daripada pendidikan seawal usia di taska, berterusan di tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti bagi membendung gejala ajaran sesat yang nampak secara nyata seperti Qardiani, Kristian, ajaran sesat yang berlindung atas nama Islam seperti Syiah dan ajaran yang memalingkan umat Islam daripada agama Islam seperti Ateis, Liberal dan sebagainya.
· 22. Memberi penekanan kepada pelajar Islam bahawa menguasai pendidikan Islam yang syumul seperti muamalat, pengurusan Islam (takaful, pelaburan, wasiat, simpanan wadiah), penghayatan Quran dan Sunnah, menguasai Fiqh dan Usul Fiqh, menguasai ilmu Hadis, mendalami ilmu Tauhid dan Tasawwuf adalah elemen pendidikan yang penting untuk menjadikan generasi muda Islam sebagai generasi yang unggul dan mampu memimpin ummah di masa hadapan.
· 23.Pendidikan Islam diperteguhkan dengan menyediakan barisan para pelajar lepasan agama yang mahir dalam agama Islam berdasarkan pecahan ilmu, mempunyai toleransi antarabangsa yang berbeza, toleransi antara agama, toleransi antara mazhab tetapi tidak menggadaikan prinsip Islam.
· 24. Pendidikan Islam diberi taraf dan penarafan yang setaraf dengan pendidikan sains dan vokasional dan bukan dianaktirikan di sekolah.
· Pendidikan alaf baru yang tidak melupai asas pendidikan seorang manusia.· Memasukkan konsep hafazan Juz Amma (juz 30) di sekolah menengah sebagai persiapan awal menjadi ketua keluarga dan pemimpin masyarakat malah membantu memperkasakan pendidikan kerohanian.· Menjadikan subjek Islam sebagai subjek wajib lulus di dalam peperiksaan SPM.·
25. Pendidikan yang mempunyai sistem yang mampu menyerapkan kefahaman dan tindakan generasi muda bahawa belajar untuk ilmu yang tinggi dan berkemahiran yang sesuai dengan zaman dan bukannya sistem pendidikan yang menjurus kepada keputusan peperiksaan yang baik tetapi kosong dari sudut pengamalan ilmu dan kemahiran kehidupan.
· 26. Penubuhan satu badan penasihat dan pelaksana pendidikan yang tidak diganggu gugat oleh politik - kepolitikan kerajaan yang memerintah dan parti-parti politik yang bukan memerintah. Badan ini bebas bersuara dan merancang fokus kepada pembangunan pendidikan yang sesuai dengan kehendak dan kepantasan perubahan zaman.
· 27.Pemerkasaan sistem pengurusan sekolah secara efisien bersesuaian dengan kehendak teknologi dan mesra guru, ibubapa dan pelajar.
· Menyediakan infrastruktur sekolah bandar dan luar bandar yang sesuai dengan kehendak zaman bukan secara secara fizikal tetapi juga warganya yang tahu dan mampu menggunakannya secara optimum.
· 28.Penyediaan sistem latihan guru yang efisien dan berkesan dalam menyiapkan guru dengan perubahan teknologi dan perubahan konten dan method pengajaran – pembelajaran. Menyediakan guru mempunyai 9 ciri-ciri guru alaf baru.
· 29. Pendidikan berasaskan kebersamaan dengan ibubapa seperti kepastian ibubapa untuk menghantar anak tepat pada waktunya di sekolah. Kerjasama dengan guru dan pendidik supaya kemahiran literasi dan numerasi dapat dijalankan dengan baik di rumah dan di sekolah.
· 30.Pendidikan berkonsepkan “Homeschooling” yang diusahakan oleh kelompok ibubapa, NGO dan swasta harus juga diberi perhatian kerana perkembangannya yang semakin meluas. Pihak kerajaan perlu mengkaji kenapa pendidikan homeschoolingberkembang dan wujud. Ibubapa yang terlibat harus diberi pembelaan apabila anak-anak mereka tidak berupaya memasuki sistem arus perdana pendidikan negara atas sebab tertentu sama ada disebabkan masalah biologi, emosi dan penyakit.
· Konsep pendidikan ISTAC harus diterapkan di semua universiti awam Malaysia.
· Meningkatkan pembelajaran yang lebih berpusat kepada pelajar, persekitaran yang kondusif dengan sistem pembelajaran berpusat pelajar, latihan berterusan untuk melahirkan pelajar yang berdisiplin, mampu mencari bahan sendiri, mampu melebar luaskan kefahaman secara kendiri, mampu melihat sesuatu yang tersurat dan tersirat, mampu dan bertanggungjawab pada tugasan yang diberikan, mampu bekerja secara berpasukan, kolektif dan mahir dalam berkolaborasi serta mampu fahami dan patuh arahan guru demi menuju matlamat dan objektif yang mahu dicapai pada standard dan KPI yang telah ditetapkan.
· Meletakkan Malaysia dalam kelompok teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut ukuran PISA dan TIMSS dalam tempoh 15 tahun akan datang (tahun 2032 atau 2033).
· Pendidikan harus juga memberikan pendidikan khusus kepada orang Asli dan kaum minoriti dalam aspek penggubalan dasar pendidikan, kurikulum dan ko-kurikulum.
· Bagi memantapkan gerakerja guru dan berlaku adil kepada guru yang bekerja keras membangunkan kecemerlangan pendidikan, pihak kerajaan dan KPM harus menyediakan elaun khas sebagai penghargaan dan menaikkan semangat kerja guru yang rajin, berinisiatif dan cemerlang.
· Sekolah wajib menyediakan ruangan kelas yang baik dan sesuai untuk pembelajaran. Bilangan pelajar wajib tidak melebihi 25 orang untuk pelajar mendapat pendidikan, pembelajaran dan pengajaran yang berkesan. Ianya membolehkan guru memberikan tumpuan kepada setiap pelajar dalam ruang lingkup masa yang terhad.
· Penyelenggaraan infrastruktur sekolah harus lengkap dan cekap serta mempunyai jadual berkala untuk menyediakan tempat pembelajaran yang kondusif buat pelajar dan guru.KENYATAAN ISU-ISU/SEMAKAN REALITI – 5%· Gejala anak-anak yang tercicir daripada arus pendidikan perdana.· Pendidikan bertaraf exam oriented melahirkan generasi tidak berfikir.
· Pelajar dan Mahasiswa hanya mempunyai ilmu dan kemahiran berdasarkan apa yang dipelajari di sekolah dan di universiti sahaja. Mereka terpisah dengan ilmu dan peristiwa semasa yang berlaku setiap hari di persekitaran mereka. Mereka terpisah dengan maklumat terkini dan semasa yang berlaku. Walaupun dunia IT, internet dan alam maya milik generasi muda, mereka masih berpisah dengan realiti semasa.
· Pelaksanaan sistem pendidikan Islam di sekolah biasa dilihat sebagai melepaskan batuk di tangga sedangkan jumlah pelajar muslim ramai dan majoriti di kebanyakan sekolah. Kekurangan guru-guru agama yang mahir mengajar. Pengamalan ilmu dalam kelas di luar bilik darjah kurang. Pihak pengurusan sekolah yang kurang serius. Keperluan fasiliti yang kurang seperti di sekolah Methodis, Convent, St John dan sekolah bukan kebangsaan dan bukan sekolah aliran agama sedangkan sistem pendidikan Islam yang menyeluruh mampu membendung gejala keruntuhan akhlak dan moral masyarakat Islam.
· Bebanan silibus di sekolah rendah dan menengah yang membebankan emosi dan minda pelajar dan ibubapa. Di samping latihan di rumah (homework)yang banyak secara tidak sistematik.
· Ibubapa yang memisahkan diri daripada pendidikan anak-anak di sekolah. Tiada kesinambungan pendidikan sekolah dan pendidikan di rumah. Tiada kolaborasi antara ibubapa dan warga sekolah.
· Bagi generasi muda yang tidak mampu mengawal tekanan pembelajaran dan tekanan gaya kehidupan akan terjerumus kepada masalah kesihatan mental.
· Generasi muda juga terpisah daripada ilmu keusahawanan, pengurusan kewangan, pengurusan krisis dan risiko kerana semua mata pelajaran itu tidak didedahkan secara keseluruhan asasnya kecuali mereka yang mengambil bidang perniagaan, kewangan dan perakaunan. Ramai generasi muda sejak sekolah lagi banyak melakukan konsep “try and error” dalam perniagaan tambahan sebagai mencari wang saku tambahan atau terpengaruh dengan konsep berniaga untuk kaya dan bermewah-mewahan pada usia muda. Pada usia muda, mereka senang ditipu oleh golongan dewasa yang datang memberikan harapan kemewahan itu dan ini. Akhirnya, generasi muda terjebak dengan masalah berkaitan kewangan seperti berhutang kad kredit seawal usia di universiti, terjebak dalam pelaburan “Pak Man Telo”, Skim Cepat Kaya, Skim saham komoditi forex, MLM dan pelbagai skim pelaburan dan kewangan yang nampak indah di luar.
· Ada juga berjaya membina perniagaan kecilan seperti dropship, MLM tetapi gagal mengekalkan wang yang banyak lantaran kekurangan kemahiran menguruskan wang yang akhirnya bermewah-mewahan dan terjerumus dalam pelbagai masalah sosial dan hutang.
· Sistem pendidikan lebih menjurus kepada kecerdikan akal dan intelektual dan kurang memberikan tumpuan kepada kecerdikan emosi, rohani, sosial, kemahiran mendengar, membuat keputusan, mengurus emosi dan risiko serta kecerdikan survival dalam kehidupan.
· Sistem pendidikan kini menjadi antara penyebab kepada gejala sosial dan keruntuhan akhlak generasi muda.
· Sebahagian silibus yang diajar di sekolah dan universiti menjadi tidak releven dengan masa depan pelajar. Mata pelajaran yang tidak boleh diambil dan diamalkan di masa hadapan.
· Sistem pendidikan untuk anak-anak antara 4 hingga 6 tahun (tadika dan pra sekolah) masih memfokuskan kepada akademi dan peperiksaan. Sedikit memberikan ruang kepada sistem pendidikan pembangunan karektor, akhlak dan kepemimpinan kemasyarakatan.
· Sistem pendidikan di peringkat universiti tidak menyediakan mahasiswa menjadi kebolehpasaran kepada dunia kerjaya melainkan mahasiswa lepasan universiti kemahiran.
· Kegagalan pelaksanaan sistem pendidikan seks dan sistem pendidikan keibubapaan membuka ruang yang luas kepada isu gejala sosial.
· Penekanan yang kurang secara kesedaran, keprihatinan dan tindakan bijak yang diterapkan kepada pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti tentang bahaya penggunaan internet secara salah dan bahaya manipulasi internet dan aplikasi di dalamnya yang boleh menjuruskan kepada bahaya kehidupan diri sendiri dan orang lain. Kecerdikan menguruskan aplikasi internet perlu dipupuk supaya generasi muda menguasai internet secara baik dan memberikan manfaat kepada mereka dan orang di sekeliling mereka. Revolusi 3.0 dan 4.0 yang tidak diuruskan dengan baik akan membahayakan manusia secara keseluruhannya.
· Konten dan kemahiran Sistem pendidikan sekolah dan universiti berada pada satu tahap berpisah jauh dengan dunia kerjaya dan dunia realiti pekerjaan.
· Sejauh mana kemampuan guru–guru di pendalaman dan di kota melaksanakan penggunaan buku teks import bagi memenuhi target pelaksanaan kurikulum yang selari dengan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).
· Sejauhmana pelaksanaan Dual Language programme (DLP) dari sudut keberkesanan dan kelancaran jangka panjang kerana kekurangan sumber dan bahan bantu kepada pelajar, guru dan ibubapa yang terlibat. Malah ada unsur campurtangan pihak luar sekolah.
· Sistem pengurusan dan pentadbiran sekolah yang melibatkan sebahagian guru terutama isu pengurusan data dan sistem online. Bebanan ini menjadikan guru tidak memberikan fokus sepenuhnya kepada sistem pengajaran mengikut standard yang ditetapkan. Efisiensi sistem online juga dipertikaikan terutama sistem kelajuan bandwidth , sistem penyimpanan data besar, sistem backup data, sistem upload dan download data. Malah perkakasan komputer (hardware) ketinggalan zaman terutama di sekolah pinggir bandar dan pendalaman.
· Pelaksanaan sesuatu program, kurikulum baru dan silibus tidak dibuat secara membuat kajian menyeluruh berdasarkan demografi dan geografi. Pelaksanaan hanya berdasarkan kehendak pihak atasan dalam kementerian atau kehendak menteri setelah melihat kejayaan di negara lain. Akibatnya pelaksanaan secara melepaskan batuk di tangga dan menjadi satu bebanan buat guru mengejar KPI yang ditetapkan, pelaksanaan tanpa adanya kajian setiap fasa dan tiada bertempoh malah paling menyedihkan apabila pelaksanaan akan terhenti akibat pertukaran menteri atau pertukaran pegawai atasan yang mengeluarkan idea dan cadangan. Para pelajar dilihat menjadi mangsa eksperimen tanpa outputdan outcomes membangunkan pelajar yang terlibat untuk masa depan mereka.
· Isu guru duka lara yang mengganggu proses pembelajaran dan pembelajaran guru yang akhirnya mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran secara sempurna di dalam kelas seperti guru banyak bercuti akibat masalah keluarga dan anak. Akibatnya sistem pengajaran dan pembelajaran terganggu dan ini memberi kesan kepada pembangunan pelajar sekolah.
· Ada sebahagian guru tidak dapat menghabiskan silibus di sekolah kerana terlibat dalam pelbagai latihan ilmu dan kemahiran tatkala pelbagai program baru diperkenalkan di sekolah. Ianya belum lagi termasuk sistem ko-kurikulum yang adakalanya membataskan waktu guru untuk mengajar dan waktu pelajar untuk belajar.· Ada sebahagian guru diberi tugasan mengajar banyak mata pelajaran (biasanya berlaku di pendalaman akibat kekurangan guru atau sebagai guru ganti guru-guru yang cuti bersalin atau mengikuti kursus di luar).
· Ada sebahagiannya pula diberi subjek yang tidak dipelajari di maktab perguruan atau subjek yang guru tidak mahir dan tidak menguasainya. Ini memberi kesan kepada proses pembelajaran dan pengajaran yang memberi kesan kepada mod pelajar untuk belajar dan kefahaman mendalam pelajar kepada subjek yang dipelajari.
· Pihak kementerian melalui pelbagai pakar pendidikan mengeluarkan pelbagai metodologi pengajaran dan pembelajaran seperti flipped classroom, round table, think-pair-share, hot seat, kreativiti sajak dan nyanyian, sistem pembentangan dalam kelas, roleplay, gallery walk, three stray one stay, peta i-think yang mengandungi 8 peta idea, simulasi, kajian lapangan, stesen, eksperimen, inkuari penemuan dan pelbagai cara mengajar yang diwawarkan dari masa ke semasa. Persoalannya ialah sejauhmana semua guru atau majoriti guru di bandar, pinggir bandar, luar bandar dan pendalaman menguasai secara baik dan sempurna cara pengajaran dan pembelajaran yang dikemukakan.
· Sejauhmana pemantauan guru dibuat dan sejauhmana pembaikan dilakukan dari masa ke semasa bersesuaian dengan tempat guru mengajar dan kemampuan pelajar menerima proses pembelajaran baru.
· Sejauhmana kemampuan guru mengolah kaedah-kaedah baru di atas dan menghabiskan silibus pembelajaran dengan peruntukan masa yang diberikan di dalam kelas. Setiap metodologi pengajaran moden berhadapan dengan masa yang terhad di sekolah.
· Sejauhmana guru-guru memanfaatkan dan mengamalkan kemahiran alaf baru dalam pengajaran dan pembelajaran mereka secara holistik dan berkaitan antara satu sama lain. Antara kemahiran itu ialah kemahiran berkomunikasi, kolaborasi, kemahiran interpersonal dan arah kendiri, kemahiran mengeluarkan dan menjana idea, kemahiran mencari dan mengolah maklumat menggunakan pemikiran kreatif, konstruktif dan kritikal secara inovatif, impresif dan impactful.
· Sejauhmana pula kemahiran dan kesabaran guru menerapkan kesemua kemahiran yang dimiliki kepada pelajar yang diajarnya di dalam kelas terutama kelas yang melebihi 40 orang pelajar.
· Sejauhmana penyusunan sistem memperkasakan kemahiran guru-guru di sekolah secara sistematik, tersusun dan terarah kepada matlamat yang jelas iaitu guru yang mampu mengajar menggunakan silibus alaf baru, mampu menggunakan peralatan moden dan mampu mengajar secara kreatif dan mudah difahami pelajar secara kaedah baru dan moden. Antara matlamat yang telah dijelaskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia tentang ciri-ciri guru alaf baru seperti guru yang menguasai subjek dan kandungan kurikulum, menguasai dan mahir berketerampilan dalam pedagogi, memahami perkembangan pelajar dan menyayangi mereka, memahami psikologi pembelajaran (cognitive psychology), memiliki kemahiran kaunseling, mahir menggunakan teknologi terkini dan sentiasa update teknologi, mempunyai kemahiran kolaborasi dengan jaringan guru, memiliki semangat berpasukan sebagai murobbi dan mursyid dan memahirkan diri dalam menyelesaikan masalah diri, keluarga, pelajar dan sekolah.
· Sejauhmana pelajar mampu melaksanakan proses pembelajaran baru yang melibatkan teknologi dan pencarian bahan sendiri sebelum masuk ke dalam kelas terutama melibatkan kawasan luar bandar dan pendalaman serta kawasan golongan miskin dan kurang berada.
· Sejauhmana kekuatan jaringan dan access internet di luar bandar dan kawasan pendalaman sebagai tonggak kepada proses pembelajaran alaf baru.
· Cabaran sama kini adalah generasi muda yang belajar lebih mahu berguru dengan alam maya tanpa mahu berguru dan bertalaqqi dengan ulamak, pensyarah dan guru. Masalah akan timbul jika berguru dengan teknologi kerana berkemungkinan memilih bahan bacaan yang salah daripada penulis/guru yang salah. Malah konsep hikmah guru dan hikmah perguruan akan lenyap. Ada ilmu, kemahiran dan pengalaman harus diambil secara langsung dengan guru dan belajar bagaimana guru melihat sesuatu ilmu, peristiwa, kemahiran dan pengalaman persekitaran secara tersirat dan tersurat. Internet dan alam maya gagal memberikan inspirasi dan pengalaman sebegitu. Berguru bukan sahaja tertakluk kepada pendidikan Islam malah juga pendidikan konvensional dan pendidikan kemahiran.
· Pemikiran belia dan beliawanis yang lebih kepada mindset “menerima bantuan” dan bukan mindset “memberikan bantuan”.
· Pemikiran generasi muda yang suka bermewahan dan meletakkan konsep bekerja dan berusaha kerana duit dan bukan kerana ilmu dan kemahiran serta pengalaman hidup.
· Kebimbangan terhadap mutu pendidikan di Malaysia meningkat apabila laporan keputusan penaksiran antarabangsa seperti program PISA (Programme for international Student Assessment ) dan TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study ) menunjukkan penurunan di bawah tahap standard antarabangsa pada tahun 2011 berbanding dengan tahun 1999.
· Bajet kepada sektor pendidikan adalah tinggi setiap tahun, namun begitu kedudukan pendidikan Malaysia dilihat ketinggalan berbanding dengan Shanghai, Singapura, Korea Selatan, Finland, Hongkong, Chinese Taipei, Jepun, Poland, Hungry. Persoalan ialah adakah sistem pengagihan peruntukan yang diberikan setiap tahun turun dan sampai kepada sasarannya atau bocor kepada sasaran yang tidak berkaitan.
· Persoalan terhadap sistem pendidikan yang menjurus kepada perpaduan negara memandangkan Malaysia mempunyai kluster sistem pendidikan yang berbeza-beza iaitu sistem pendidikan sekolah cina, sekolah India, sekolah kebangsaan, sekolah berprestasi tinggi, sekolah berasrama penuh aliran sekolah agama, aliran sekolah misionari, sekolah teknikal, sekolah vokasional dan sekolah di bawah MARA.
· Pertembungan budaya antara sekolah aliran cina, India dan sekolah kebangsaan juga melebarkan jurang perpaduan apabila setiap sekolah aliran akan mengajar dalam bahasa ibunda dan mempraktikkan budaya etnik, kaum dan bangsa masing-masing malah kepincangan politik antara kaum juga akan menyebabkan jurang antara kaum melebar kerana parti politik kaum menjadikan sekolah pendidikan aliran masing-masing sebagai markas menyuburkan jurang perpaduan.
· Sejauhmana 6 ciri utama yang ditetapkan oleh pihak kementerian mampu melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat nasional dan peringkat antarabangsa. Enam ciri itu ialah berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwi bahasa, beretika kerohanian dan beridentiti nasional. Bagaimana dengan pelaksanaan dan penyediaan proses pembentukan yang dibuat.
· Pertindihan tugasan dan tanggungjawab antara Kementerian pendidikan pusat dengan pendidikan negeri dan pendidikan daerah.
· Kekurangan penyelaras di peringkat bahagian pada setiap jabatan dan pentadbiran yang mengakibatkan permasalahan pada aliran maklumat, komunikasi, sokongan, pemantauan dan tindakan..DIAGNOSIS REALITI (ANALISIS PENYEBAB PRIMER DAN SEKUNDER) – 10%
· Keciciran pelajar dan gejala sosial sering diperkatakan oleh media dan dibincangkan pada forum kemasyarakatan.
· Laporan Persekutuan Majikan Malaysia juga tidak menafikan bahawa para graduan gagal mendapat pekerjaan akibat kurang menguasai bahasa Inggeris dan kurang upaya menjana idea baru malah gagal dalam proses ujian membuat keputusan. Media massa dan perbincangan forum juga membicarakan isu yang sama.
· Seperti yang dilaporkan oleh KPM bahawa bajet yang besar disediakan oleh kerajaan namun begitu pembangunan infrastruktur pendidikan, sistem latihan pemerkasaan ilmu, kemahiran guru dan keberhasilan pada standard peringkat global masih di tahap rendah. Ianya menimbulkan persoalan sejauh mana efisiennya perbelanjaan yang telah dibuat dan sejauh mana mencapai sasaran yang telah dicapai.
· Angka bankrupsi generasi muda yang tinggi mengundang persoalan ilmu dan kemahiran menguruskan wang. Akhbar berita harian november 2017 melaporkan sebanyak 1.1% individu yang bankrup di antara 2014 hingga 2016 adalah generasi muda berusia 30 tahun ke bawah. Bagi tempoh Januari hingga September tahun 2017, 9 individu di bawah usia 30 tahun diisytihar muflis berbanding 3.7 juta pemegang kad kredit. Pada 2014, seramai 12 individu bawah 30 tahun diisytihar muflis bagi tempoh sama, 17 orang (2015) dan 22 orang (2016). Manakala majoriti mereka yang diisytihar muflis kerana kad kredit adalah yang berusia atas 30 tahun.
· Laporan akhbar utusan pada 26 Jun 2015 pula menunjukkan bahawa 107,000 individu yang diisytihar muflis, 23,484 daripadanya adalah golongan belia yang berumur antara 25 hingga 34 tahun.
· Pendidikan penggunaan internet secara sihat perlu diterapkan dalam sistem pendidikan negara kerana berdasarkan laporan akhbar kosmo, Kajian Kumpulan Fokus pada 2013 pula mendapati, pukul 10 malam hingga 1 pagi adalah waktu penggunaan laman sosial paling tinggi dalam rutin kehidupan golongan pelajar. Di Malaysia, 74.3 % daripada 20.1 juta pengguna internet menjadikan telefon pintar sebagai peranti utama melayari internet. Jumlah ini termasuk generasi muda atau generasi Y.
· Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga mendapati, aduan berkaitan penggunaan media baharu meningkat antara tahun 2013 dan 2014 melibatkan kesalahan kekeliruan, bahan lucah, mengancam serangan, penipuan internet, penggodaman dan pembelian dalam talian.
· Pelaksanaan kokurikulum dan silibus menjadi kurang efisien di sekolah apabila penggubal dasar berada di ofis dan bukan di lapangan.
· Berdasarkan kajian Encik Habib Mat Som, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Syed Kamaruzaman Syed Ali Universiti Malaya pada tajuk Komitment Guru Dalam Pelaksanaan Kurikulum dan Inovasi Berkesan menyatakan secara ringkasnya bahawa diri dan keperibadian guru menjadi satu cetusan kepada pelaksanaan kurikulum secara hebat dan berinovasi. Keperibadian guru itu timbul daripada latihan dan pendedahan yang secukupnya dalam latihan perguruan dan latihan ilmu dan kemahiran semasa.
· Dalam kajian yang diterbitkan iaitu prinsip asas kurikulum dan pengajaran terbitan Universiti Malaya juga menyentuh tentang konsep pembinaan kurikulum yang perlu dibuat di lapangan dan perlu kepada memahami kehendak sasaran dan bukan syok sendiri di ofis.
· Laporan Utusan pada 3 Januari 2016 menyatakan bahawa antara kegagalan mahasiswa mendapatkan pekerjaan ialah ilmu dan kemahiran yang dikuasai semasa pelajar di universiti termasuk kebolehan berkomunikasi dan berinteraksi.
· Tulisan di akhbar kosmo pada 3 januari 2016 juga menyatakan bahawa antara cabaran graduan mendapatkan pekerjaan adalah penguasaan kepada kemahiran akademi dan kemahiran insaniah seperti kebolehan membuat keputusan dan menyelesaikan masalah, komunikasi dan kepemimpinan.
· Tulisan Dr Mohd Yahya Mohd Ariffin daripada USIM bertarikh 20 Jun 2013 menyatakan antara cabaran graduan Melayu mendapat pekerjaan adalah cabaran persaingan dengan kaum cina dan India yang lebih fasih berbahasa Inggeris. Antara cadangan beliau ialah graduan Melayu menceburi bidang keusahawanan dengan mengambil kursus–kursus jangka pendek. Ini menunjukkan bahawa subjek keusahawanan bukanlah subjek teras malah graduan harus mempelajari ilmu dan pengetahuan baru yang tiada kena mengena dengan apa yang telah dipelajari 4 tahun di universiti.
· Berdasarkan laporan daripada blog rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi (tulisan 6 November 2012) menyatakan bahawa ada pelajar yang mempunyai keputusan SPM 7A, tidak menyambung pengajian ke universiti tetapi mengambil keputusan mengambil diploma kejururawatan kerana menyakini bahawa mudah mendapat pekerjaan melalui diploma kemahiran berbanding ijazah daripada universiti. Ada yang sanggup menerima gaji SPM sebagai pembantu pentadbiran walaupun lepasan Ijazah Pengurusan Pengangkutan kerana isu sukar mendapat pekerjaan.
Kata blog itu lagi, Kementerian Sumber Manusia sedang berusaha mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan graduan. Pada tahun 2010 jumlah pengangguran mencecah 42,955 atau 24.62 % daripada 174,439 graduan yang ada. Menurut Kementerian Pengajian Tinggi, universiti-universiti dan politeknik di seluruh negara mengeluarkan 184,581 graduan tahun 2012. Bagaimanapun, 44,391 atau 24 peratus daripada jumlah tersebut tidak mempunyai pekerjaan. Menurut statistik kementerian, graduan daripada kursus Sastera dan Sains Sosial merupakan kelompok pengangguran terbesar iaitu 44.5 % atau 19,784 daripada jumlah keseluruhan graduan yang menganggur. Kelompok kedua pula ialah graduan kursus teknikal iaitu seramai 12,321 atau 27.7 % manakala graduan kursus sains berada di tempat ketiga 7,321 orang atau 16.49 % daripada jumlah keseluruhannya. Statistik juga menunjukkan seramai 21,248 pemegang ijazah masih belum mempunyai pekerjaan manakala bagi pemegang diploma, hanya 3 % daripada jumlah graduan yang menganggur keseluruhannya.PROGNOSIS (AKIBAT SEKIRANYA ISU-ISU BERKENAAN TIDAK DITANGANI) – 5%· Apabila ramai pelajar tercicir daripada arus perdana, aktiviti tidak sihat mudah mempengaruhi mereka kerana tahap pemikiran yang masih lagi rendah manakala jiwa yang mahukan kemewahan dan kesenangan tinggi. Anasir subversif dan anasir jahat mudah menyerapi mereka.
· Pendidikan exam oriented menjadikan pelajar tidak boleh berfikir secara waras dan bijaksana. Mereka mudah mengikuti idola pujaan tanpa melihat jauh ke hadapan kebaikan dan keburukan yang bakal diperolehi. Mereka sekadar bijak menghafal dan mengingati sesuatu perkara. Mereka bijak meluahkan apa yang disimpan di minda tetapi gagal mengolah secara baik. Lalu proses menyelesaikan sesuatu isu, masalah akan menjadi sesuatu yang membebankan mereka. Mereka mudah untuk ikut sahaja keputusan orang lain dan mudah dipengaruhi. Mahasiswa yang berfikiran exam oriented akan sukar mendapat pekerjaan dan akan tercicir daripada arus perdana dunia pekerjaan malah gagal memaju pelbagai idea membangunkan bangsa.
· Pelaksanaan sistem pendidikan Islam sambil lewa akan mewujudkan generasi pelajar yang belajar agama tetapi kurang mempraktiskan. Malah mudah terpengaruh dengan ajaran sesat. Mereka mempelajari tetapi kurang memahami intipati ilmu.
· Kelemahan penguasaan kepada ilmu-ilmu Islam yang penting akan menyebabkan generasi muda kehilangan ruh perjuangan Islam yang sebenar sebagai khalifah Allah di muka bumi. Sistem kehidupan Islam berasaskan ilmu seperti kewangan Islam, pentadbiran Islam, kepemimpinan Islam dan ilmu Al Quran, Fiqh, Hadis, Tauhid dan Tasawwuf kurang mampu dicernakan bersesuaian dengan kehendak zaman malah gagal menandingi ilmu konvensional dari sudut pelaksanaan yang diterima pakai oleh masyarakat kebanyakan. Akan wujud generasi muda yang tidak tahu amalan itu dikira sesat. Apa yang mereka tahu ialah mencuba amalan-amalan yang difikirkan seronok dan sesuai dengan amalan semasa.
· Kehebatan satu-satu generasi Islam ialah apabila mereka menguasai ilmu dan kemahiran Islam secara praktikal dan diamalkan oleh majoriti umat Islam seperti apa yang berlaku di zaman kegemilangan ilmu dan pengamalan Islam bermula zaman Sahabat Rasulullah sehingga kegemilangan zaman Umayyah, Abbasiyyah, Saljuk dan Otmaniyyah.
· Terpisahnya golongan agamawan dengan golongan bukan agamawan dalam aspek pentadbiran dan kepemimpinan negara sehingga Agama Islam dianggap mengancam kemajuan masa hadapan.
· Subjek agama Islam bukan dipelajari untuk peperiksaan tetapi untuk amalan kehidupan sebagai jalan hidup.
· Tanpa melahirkan generasi muda yang mencintai ilmu, beramal dengan ilmu, meneroka satu ilmu kepada ilmu yang lain akan menjadikan generasi muda yang sukar bersaing dengan dunia barat yang mempraktiskan budaya itu malah melahirkan generasi muda yang kagum dengan kejayaan orang lain dan gagal membina kejayaan diri dan bangsa sendiri.
· Melahirkan generasi yang menggabungkan ilmu Islam secara praktikal dengan ilmu konvensional mampu menjadikan generasi yang diingini oleh masyarakat masa hadapan dalam menghadapi cabaran yang complicated.
· Badan-badan yang melaksanakan program pendidikan semasa dan masa hadapan wajib berpisah daripada pengaruh politik dan orang berkepentingan supaya hala tuju pendidikan dibuat untuk rakyat dan generasi masa hadapan dan bukan untuk kepentingan golongan tertentu. Kita tidak mahu badan pendidikan dipergunakan oleh golongan tertentu yang akhirnya melahirkan sistem pendidikan caca marba, selalu berubah-ubah, mengidap penyakit “try and error”, pelajar-pelajar sekolah dan mahasiswa dijadikan tikus putih di dalam makmal.
· Kegagalan menyediakan infrastruktur yang kondusif kepada sistem pembelajaran masa hadapan akan menjadikan segala usaha adalah sia-sia.
· Latihan guru dan perguruan mengikut subjek yang diperkenalkan adalah sesuatu latihan yang penting, kegagalannya menjadikan proses pendidikan semasa dan masa hadapan adalah proses tangkap muat dan sekadar melepasi KPI tanpa mencipta satu impak yang positif dan berkesan untuk masa hadapan.
· Kita tidak mahu ibubapa berpisah daripada arus perdana dan menyerahkan kesemuanya pendidikan anak-anak kepada sekolah kerana hubungan ibubapa dan sekolah akan melahirkan generasi yang cemerlang dan tidak mempunyai dua identiti berbeza antara sekolah dan rumah.
· Kegagalan kerajaan memantau sistem yang berpisah dengan sekolah seperti sistem homeschooling akan melambatkan perkembangan sistem pendidikan masa hadapan. Di samping akan mewujudkan generasi pelajar yang kurang memahami sistem pendidikan sekolah kerana tidak melaluinya yang akhirnya akan membina generasi yang menjauhkan diri daripada penglibatan dengan kementerian pendidikan dan kerajaan.
· Ketidakperihatinan kerajaan kepada menyediakan silibus dan kurikulum yang sesuai dengan keadaan semasa dan masa depan akan melahirkan pelajar yang tidak mampu mempraktiskan ilmu yang didapati di sekolah dan universiti malah gagal mengharungi cabaran kerjaya dan kehidupan. Mereka akan belajar semula perkara dan keperluan industri pekerjaan dan merasakan seolah-olah masa yang dihabiskan semasa di sekolah menengah dan universiti adalah sia-sia dan membazirkan. Ini akan menjarakkan sesetengah golongan untuk memasuki arus perdana sistem pendidikan negara.
· Kejahilan pelajar tentang ilmu kewangan akan melahirkan generasi yang mudah ditipu demi mahu hidup mewah dan bergaya. Mereka akan terlekat hutang piutang dan hutang kad kredit dengan mudah dan terjerumus ke lembah bankrup di usia muda yang akhirnya memusnahkan masa depan.
· Kejahilan ilmu keusahawanan pula menjadikan pelajar bergantung sepenuhnya kepada kerajaan menyediakan pekerjaan kepada mereka. Mereka menjadi generasi yang takut untuk berusaha sendiri secara kecilan. Mereka akan takut kegagalan di usia muda. Malah jika berjaya, mereka dicabar dengan kemahiran menguruskan kejayaan dan kewangan yang akhirnya gagal mengekalkan momentum kejayaan kerana terlibat dengan masalah kewangan.
· Kecerdikan akal sahaja tidak boleh menjamin kejayaan dalam kehidupan berteraskan integriti, belas kasihan, akhlak mulia dan disiplin padu.
· Pendidikan awal kanak-kanak wajib berteraskan pembangunan peribadi dan karektor kerana di sinilah bermulanya proses pembelajaran menjadi manusia yang baik, hebat dan berkarismatik untuk masa hadapan.
· Kegagalan mencapai kecerdikan teknologi dan ICT akan menjadikan generasi muda hanyut dan hidup di alam autistik yang memisahkan dengan dunia nyata yang akhirnya membawa kepada kehancuran masa depan generasi muda.
· Isu –isu guru dan perguruan harus ditangani sebaik mungkin seperti isu guru duka lara, sistem infrastruktur dan demografi kawasan luar bandar dan pendalaman kerana kesemuanya mengganggu tugas guru dan proses pembelajaran.
· Kesemua metodologi pembelajaran moden dan masa hadapan wajib dikuasai oleh kesemua guru terlibat supaya kemahiran itu dipraktiskan oleh semua pelajar untuk membina persiapan mereka di masa hadapan. Tiada guna semua kemudahan sistem pengajaran disediakan tetapi kurang dipraktiskan oleh guru pelaksana. Ini akan melambatkan matlamat pendidikan tercapai dalam kerangka masa yang diberikan.
· Kegagalan mengatasi pertembungan pemikiran antara sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis Cina dan India akan menggagalkan perpaduan rakyat Malaysia ke arah keharmonian kaum.
· Kementerian harus juga mengkaji sistem pendidikan cemerlang negara-negara yang diiktiraf oleh dunia dari sudut kecemerlangan sistem pendidikan ke arah masa depan. Kita tidak boleh syok sendiri. Namun melihat kejayaan orang lain sebagai satu aspirasi membina kejayaan sistem pendidikan kita berasaskan acuan yang sesuai dengan adat dan budaya sendiri.PENGAUDITAN KAPASITI (KEMAMPUAN UNTUK BERTINDAK SECARA BERKESAN) – 10%
· Kemampuan pihak kerajaan melaksanakan pelbagai dasar seperti DEB, Wawasan 2020. TN 50 adalah penyambung dasar yang sedia ada.
· Dasar TN 50 adalah aspirasi atau idea sumbang dari rakyat pelbagai lapisan kepada pihak kerajaan (bottom-up) dan bukan dari kerajaan kepada rakyat (top-down).
· Pihak kerajaan mempunyai pelbagai kapasiti kepakaran sumber manusia yang mencukupi untuk menjana idea tambahan, bekerja melaksana dan menguruskan perjalanan dan memantau TN50.
· Sebagai contoh kluster pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia mempunyai kakitangan hampir 500,000 orang termasuk semua kakitangan pusat, negeri, daerah, pengetua, guru, kakitangan sokongan sekolah seluruh Malaysia. Jika diolah dengan baik, setiap perancangan boleh dicapai dalam jangka waktu yang ditetapkan.
· Infrastruktur yang kebanyakan telah lengkap untuk asas pendidikan dan diperbaiki dari masa ke semasa sama ada di bandar, luar bandar dan pendalaman. Jika dijaga dan dibuat perancangan yang betul dengan penggunaan bajet penyediaan dan pemulihan infrastruktur yang sedia ada, maka meneruskan agenda TN 50 tidak membawa masalah yang besar.
· Pihak kementerian juga mempunyai sekolah SBT, Sekolah Kluster dan Sekolah Bestari yang boleh digunakan sebagai sekolah yang menerima konsep percubaan perkara baru sebelum disebarkan dan dilaksanakan di sekolah-sekolah lain secara berperingkat-peringkat.
· Pihak kerajaan juga mempunyai kepakaran pendidikan, pakar pengurusan dan pakar strategik di universiti awam dan swasta yang boleh dijadikan kumpulan pakar dan kumpulan fokus menjana idea pelaksanaan dan pemantauan.
· Pihak kementerian juga mempunyai 27 Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) di seluruh negara (yang sedang dinaiktaraf dan diperkasakan bangunan dan sistem pendidikan) dan Institut Aminuddin Baki yang boleh digunakan untuk memberikan latihan intensif kepada semua guru yang terlibat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang memenuhi aspirasi TN 50.
· Pihak kerajaan juga mempunyai jaringan dengan badan-badan korporat yang bersedia menyumbangkan dana, tenaga kepakaran dan logistik untuk menjayakan aspirasi TN 50.
· Pihak kementerian juga mempunyai tenaga pakar yang berpengalaman dalam dunia pendidikan. Apa yang penting ialah mengumpulkan semua daripada mereka dan mengoptimumkan kepakaran yang ada untuk memanfaatkan pelaksanaan dan pemantauan aspirasi TN 50.
· Pihak kementerian juga menyediakan pelbagai kurikulum pengajaran dan pembelajaran yang sentiasa dikemas kini bagi memenuhi impian pendidikan bertaraf global dan antarabangsa.
· Pihak kementerian juga sentiasa menghantar pegawai, guru dan pelajar menghadiri pertandingan, konvensyen, forum dan aktiviti peringkat antarabangsa untuk mengukur taraf pendidikan yang dilaksanakan dan kemampuannya bersaing di peringkat global.
· Dari sudut bajet kewangan pula, bajet belanjawan yang besar sentiasa diberikan kepada pendidikan negara. Sebagai contoh pada Bajet 2018 yang lalu, peruntukan yang disediakan untuk pendidikan sebanyak 61.6 billion ringgit. Peruntukan ini adalah satu peruntukan yang besar. Jika diletakkan pada tempatnya, diberikan kepada sasaran yang berimpak tinggi untuk mencapai aspirasi TN 50, maka adalah sesuatu yang tidak mustahil misi mencapai pendidikan alaf baru dan bersifat global akan terhasil.PEMILIHAN PRESKRIPSI / OPSYEN MENGIKUT FASA 5 PERINGKAT – 30%
A) SEGERA (TAHUN 1)· Membuat proses penerangan dan penambahbaikan dasar pendidikan negara di samping menjadikan dasar pendidikan TN50 sebagai komplimentari dan pelengkap kepada Sistem Transformasi Pendidikan Negara.
· Menubuhkan pasukan pengkaji yang akan mengkaji sistem pendidikan negara-negara luar yang diiktiraf maju dan telah melahirkan tenaga pakar negara dan melahirkan rakyat yang hidup berasaskan kecemerlangan potensi diri seperti negara Jerman, Poland, Jepun, Korea Selatan dan seumpamanya.
· Menubuhkan badan pendidikan bebas yang mampu merancang, melaksana dan memantau sistem pendidikan negara. Badan ini wajib bebas daripada campur tangan mana-mana pihak tak kira badan politik atau yang berkepentingan peribadi atau kumpulan.
· Menubuhkan badan pendidikan Islam di bawah Majis Raja-Raja yang mampu merancang, melaksana dan memantau sistem pendidikan Islam secara berkesan dan bebas campur tangan pihak yang tiada kaitan.
· Menubuhkan Badan/Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Malaysia bagi merancang, melaksana dan memantau sistem pendidikan pra sekolah supaya selaras dengan sistem pendidikan negara dan sistem pendidikan masa depan.
· Mengadakan kerjasama dengan badan berkaitan integriti dan kementerian pelajaran memperkasakan kurikulum integriti, akhlak dan moral supaya melahirkan pelajar, mahasiswa dan rakyat masa hadapan yang mempunyai nilai integriti yang tinggi tentang kehidupan mereka, masyarakat dan kepemimpinan negara kerana negara yang maju dan sempurna adalah negara yang mempunyai rakyat yang berintegriti yang tinggi, sifat belas kasihan, mawaddah dan rahmah yang hebat dan sifar korupsi serta sifar jenayah yang semuanya berpaksikan kepada nilai-nilai ketimuran dan nilai agama yang hanif.
· Menubuhkan satu badan atau majlis mengumpulkan seluruh guru-guru cemerlang yang telah bersara untuk terus memberikan input dan pandangan pembangunan sistem pendidikan, pengajaran dan pembelajaran di Malaysia.
· Menubuhkan satu badan khas yang dianggotai oleh mereka yang berpengalaman dan kepakaran dalam bidang pendidikan bermula daripada pendidikan kanak-kanak bawah usia 4 tahun, kanak-kanak pra sekolah, sekolah rendah, menengah dan seterusnya peringkat universiti.
· Melihat kembali konsep peperiksaan di Malaysia sama ada konsep yang ada sekarang sesuai dengan pendidikan masa hadapan.
· Menyemak kurikulum di sekolah rendah dan menengah malah di peringkat universiti. Adakah kurikulum sekarang ke arah menyediakan para pelajar dan graduan hidup di persekitaran masa hadapan.
· Membuat tanda aras pembelajaran di Malaysia dengan standard antarabangsa.· Melihat kembali kurikulum dan standard pembelajaran kurikulum Agama Islam di sekolah biasa sama ada telah mencapai standard pendidikan Islam yang sebenarnya atau sekadar terlalu asas sahaja. Juga melihat pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran pendidikan Islam di semua peringkat.
· Peranan pegawai dan agensi pusat, negeri dan daerah diperkemaskan dan distrukturkan semula untuk menambah kecekapan tugasan, operasi dan kebertanggungjawaban serta mengurangkan pembaziran sumber dan pembaziran kewangan.
· Membuat kajian terperinci anjakan proses “pembelajaran daripada pembelajaran berasaskan sekolah dan institusi” kepada “pembelajaran berasaskan sistem” yang mana semua stakeholder mampu berperanan memajukan sistem pembelajaran dan memperkasakan pelajar secara lebih luas.
· Melakukan semakan komprehensif pada setiap bahagian dan perkara yang telah dilaksanakan mengikut fasa yang telah ditetapkan.
B) JANGKA PENDEK (TAHUN 1 HINGGA TAHUN 5)· Merapatkan jurang perbezaan pencapaian pendidikan antara masyarakat bandar dan luar bandar, tahap sosioekonomi dan gender sehingga 50 % pada tahun 2020. · Memastikan pendaftaran dan kemasukan pelajar dari pra pendidikan awal kanak-kanak sehingga kemasukan pelajar ke sekolah menengah berada dalam kedudukan 100% walaupun terdapat halangan geografi dan demografi. Ianya perlu untuk memastikan kemampuan rakyat Malaysia mengikuti pendidikan Malaysia menuju pendidikan alaf baru.
· Memperkasakan sistem peperiksaan di Malaysia secara berperingkat berasaskan sekolah menuju ke arah peperiksaan berasaskan kemahiran berfikir aras tinggi. Ianya bermula daripada pendidikan di taska, tadika, sekolah dan seterusnya di peringkat universiti.
peningkatan berterusan terhadap pendidikan sains, matematik, teknologi, kejuruteraan sebagai asas kepada kehidupan masa hadapan di samping menyediakan ruang menyerapkan unsur kerohanian dan pendidikan Islam di dalamnya supaya pembangunan masa hadapan tidak kosong daripada pembangunan kejiwaan dan kerohanian bertuhan pencipta alam semesta.
· Melaksanakan kewajipan kepada semua sekolah jenis kebangsaan Cina dan India menjadikan bahasa Melayu salah satu bahasa komunikasi di sekolah untuk melahirkan ramai anak Cina dan India boleh membaca, menulis dan berkomunikasi secara baik bahasa kebangsaan negara.
· Meletakkan pendidikan agama Islam dan pendidikan Moral bukan sekadar untuk membina perpaduan dan memupuk persefahaman erat berbilang agama tetapi juga menumpukan kepada pembangunan kejiwaan, kerohanian dan keperibadian diri menjadi warga negara yang baik, suka kebaikan dan mengajak masyarakat ke arah kebaikan.
· Menyediakan sistem latihan guru yang melahirkan guru yang mampu berfikir aras tinggi dan mampu mengaplikasikan ilmu pengetahuan secara berfikir aras tinggi sebagai sokongan ke arah perubahan sistem pembelajaran aras tinggi.
· Melakukan semakan komprehensif pada setiap bahagian dan perkara yang telah dilaksanakan mengikut fasa yang telah ditetapkan.
· Melaksana unit-unit kecil yang akan menggerakkan pelaksanaan kluster pendidikan menuju matlamat, gerakerja dan usaha tindakan mencapai aspirasi pendidikan TN50.C) JANGKA SEDERHANA (TAHUN 6 – TAHUN 10)· Menubuhkan satu badan khas untuk menguruskan konten pembelajaran di pra pendidikan awal kanak-kanak, pendidikan sekolah rendah dan menengah dan univerisiti yang bertanggungjawab besar menukarkan konten pengajaran dan pembelajaran ke arah konten berbentuk interaktif, video, tulisan di alam maya secara tersusun, sistematik dan berkualiti tinggi yang mampu diakses oleh guru dan pelajar 24 jam di mana sahaja. Badan khas ini dipantau sepenuhnya oleh kementerian pendidikan, badan khas pendidikan, badan khas pendidikan Islam, badan khas lepas guru-guru cemerlang.
· Pendidikan Malaysia mencapai sasaran 60% yang melibatkan 11 anjakan utama transformasi Sistem Pendidikan Negara seperti yang dilancarkan oleh kementerian. 11 anjakan itu ialah
o Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti dan bertaraf antarabangsa yang telah mencapai 60% pelaksanaannya.o Kemahiran dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan galakkan mempelajari bahasa tambahan.
o Melahirkan rakyat yang menghargai nilai berasaskan kepercayaan dan agama masing-masing.
o Mentransformasi profesion keguruan sebagai profesion pilihan dengan cara mengetatkan syarat pengambilan guru, mengubah IPG menjadi institusi bertaraf antarabangsa. Meningkatkan program latihan perguruan secara profesional. Menyediakan laluan perkembangan kerjaya perguruan berasaskan kompetensi dan prestasi dan bukannya senioriti.
o Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di sekolah-sekolah sebagai agen membudayakan pengurusan gaya korporat, efisien dan terbaik. Mengukuhkan proses pelantikan pengetua dan proses penggantian pengetua dengan ciri kebertanggungjawaban yang tinggi bagi meningkatkan keberhasilan pelajar yang tinggi dan terbaik.
o Mengupayakan JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan dengan mempercepatkan penambahbaikan prestasi sekolah melalui program sistematik dan dipimpin oleh PPD. Memberi lebih kuasa kepada sekolah untuk membuat keputusan yang dibenarkan. Memastikan sekolah menikmati infrastruktur asas sepenuhnya dan menerima bantuan kewangan secara saksama.
o Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dengan menyediakan kemudahan akses internet secara pantas di sekolah. Menambahkan kandungan pembelajaran dalam talian untuk perkongsian amalan yang terbaik yang dihasilkan oleh guru, pelajar dan pengurusan. Memaksimumkan penggunaan internet dan ICT bagi pembelajaran jarak jauh dan pembelajaran kadar kendiri merentasi sempadan dan tanpa mengira tahap pencapaian kemahiran pelajar.
o Mentransformasikan kebolehan dan keupayaan sistem penyampaian kementerian dengan memberi lebih hak kepada keupayaan JPN dan PPD membuat keputusan berkaitan dengan bajet dan personel dan lebih bertanggungjawab meningkatkan keberhasilan pelajar. Menambah sekurang-kurangnya 3000 personel daripada kementerian dan JPN ditempatkan di PPD untuk memberi sokongan kepada sekolah. Memperkukuhkan kebolehupayaan kepemimpinan utama dan merangka fungsi dan struktur baharu kementerian, JPN dan PPD.
o Bekerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sektor swasta secara simbiosis dan meluas. Melibatkan ibubapa dalam membantu anak-anak di sekolah melalui sarana secara online malah ibubapa boleh mengakses pencapaian anak,anak, melihat keputusan pembangunanan anak-anak secara talian. Mendapatkan maklumbalas daripada setiap PIBG mengenai pelaksanaan kurikulum setempat dan kualiti guru semasa. Melibatkan secara aktif kumpulan alumni dan NGO yang berminat membangunkan sekolah.
o Memaksimumkan keberhasilan pelajar bagi setiap ringgit yang diberikan oleh kerajaan. Mengaitkan setiap program kepada pencapaian dan keberhasilan pelajar yang terlibat. Memanfaatkan peluang kecekapan dengan mengagihkan peruntukan kepada bidang yang paling penting seperti peningkatan kemahiran profesion guru.
o Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung dengan menerbitkan laporan kemajuan pelan pembangunan pendidikan secara berkala setiap 5 tahun.
· Merapatkan jurang perbezaan pencapaian pendidikan antara masyarakat bandar dan luar bandar, tahap sosioekonomi dan gender sehingga 80 % pada tahun 2035.
· Menyediakan ruang dan peluang kepada semua pelajar mempelajari pelbagai bahasa selain bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris seperti bahasa Cina, Tamil, Arab dan pelbagai bahasa etnik setempat untuk membina keharmonian di masa hadapan.
· Menyediakan guru-guru bahasa secukupnya untuk berkhidmat di semua sekolah tak kira di bandar atau luar bandar. Menyediakan peluang untuk penduduk setempat menabur bakti mengajar di sekolah kawasan kelahiran atau kediaman mereka. Bagi menampung kekurangan guru, pihak kementerian menyediakan satu mekanisme pengambilan guru sementara atau guru separuh masa yang mengajar di sekolah berhampiran kediaman mereka. Pihak kementerian boleh mempelajari konsep dan pelaksanaan ala – ala uber dan grabcar.
· Memastikan kelompok guru-guru yang mampu berfikir aras tinggi dan mampu mengajar secara aras tinggi telah mencapai 60 %.
· Menyediakan sistem latihan kepimpinan dan kepemimpinan kepada guru-guru yang terlibat secara langsung dengan pentadbiran sekolah bagi menyediakan sistem pentadbiran sekolah yang efisien dan cemerlang di samping penaiktarafan fizikal dan bahan peralatan ICT.
· Guru-guru yang dinaikkan pangkat sebagai timbalan pengetua dan pengetua wajib mengikuti kursus induksi khas dan kursus kepemimpinan dari masa ke semasa berasaskan perubahan zaman dan perkembangan teknologi. Pendedahan kepada kepemimpinan pentadbiran dan kepemimpinan instruktional diperluaskan.
· Memendakkan sistem pendidikan sekolah rendah kepada 5 tahun berbanding 6 tahun sekarang.
· Memendekkan sistem pendidikan sekolah menengah kepada 4 tahun berbanding 5 tahun sekarang.
· Memendekkan sistem persekolahan di peringkat sekolah rendah dan menengah untuk mematangkan secara cepat generasi muda di samping mempercepatkan mereka memasuki sistem pendidikan kolej dan universiti yang lebih menjuruskan kepada mengurangkan birokrasi struktur pendidikan sekolah kepada kebebasan sistem dan struktur pendidikan menara gading.
· Menyediakan sistem latihan guru STEM yang dinamik dan efektif yang mana guru dilatih supaya berkemahiran tinggi mengajar subjek sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi mengikut kepelbagaian geografi dan demografi pelajar.
· Menyediakan kesinambungan pelajaran STEM di peringkat menara gading sebagai mata pelajaran wajib dipelajari dan bukan lagi mengikut fakulti–fakulti yang berkenaan.
· Menyediakan satu mekanisme untuk memastikan sekolah berprestasi rendah yang berada dalam kelompok band 6 dan band 7 telah ditukarkan 100% kepada sekolah berprestasi tinggi.
· Memperbanyakkan lagi sekolah kluster kecemerlangan pencapaian akademik dan pencapaian bukan akademik dan sekolah bertaraf berasrama penuh (SBP).
· Menyediakan peluang yang luas dan terbuka kepada mahasiswa menyambungkan pengajian ke peringkat Master dan Phd.
· Membina kesedaran, kepentingan dan tindakan kepada semua lepasan siswazah bahawa pengajian peringkat sarjana muda adalah sebagai permulaan penerokaan ilmu dan kemahiran sahaja. Mereka perlu melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana/Master dan Phd untuk melengkapkan diri dengan ketamadunan dan kemajuan tahun semasa.
· Melakukan semakan komprehensif pada setiap bahagian dan perkara
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://mindaperkasa.blogspot.com/2019/01/penulisan-pertama-kluster-pendidikan_4.html