Pensyarah Kanan Sejarah Usm Meluruskan Sejarah Pkm Mpaja Dan Tanah Melayu
Merujuk kepada artikel ini:-
https://malaysiadateline.com/pengerusi-dap-perak-dakwa-datuknya-bekas-perajurit-pertahan-negara/
Apakah MPAJA (Malayan People’s Anti-Japanese Army) adalah sebahagian daripada sejarah pasukan keselamatan negara membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan?
Riwayat MPAJA bersalasilah daripada PKM (Parti Komunis Malaya).
MPAJA adalah sebuah gerakan bersenjata yang ditubuhkan BUKAN bertujuan untuk mempertahankan Tanah Melayu sebagai tanah air, tetapi kerana sentimen anti Jepun kaum Cina yang berakar umbi sejak konflik China-Jepun dan kerana layanan buruk tentera Jepun terhadap kaum Cina.
Anggota MPAJA merupakan alat PKM untuk menentang Jepun bagi menubuhkan sebuah negara Komunis di Tanah Melayu ketika itu dengan bekerjasama dengan British. Sentimen penentangan orang Cina terhadap penaklukan Jepun ke atas Manchuria dan Peristiwa Nanking 1937 yang mengorbankan 300 ribu orang Cina itu telah dibawa ke Tanah Melayu. Perjuangan MPAJA bukan perjuangan mempertahan Tanah Melayu, sebaliknya adalah perjuangan membalas dendam terhadap kekejaman tentera Jepun terhadap orang Cina di China dan di Tanah Melayu.
Anggota MPAJA tidak sesuai dikatogerikan sebagai perajurit negara, mereka hero kepada orang Cina yang bekerja di Tanah Melayu. Mereka berjuang untuk menegakkan ideologi supaya Teori Domino menjadi kenyataan.
Jadi PKM membentuk MPAJA dan mereka inilah yang kemudiannya keluar daripada hutan selepas Jepun menyerah kalah pada 16 Ogos 1945 setelah Hiroshima dan Nagasaki dibom atom. Mereka inilah oleh orang Melayu dikenali sebagai Bintang Tiga.
Sasaran utama Bintang Tiga ialah mereka yang menjadi anggota Pasukan Polis Jepun di Tanah Melayu, Jookidam yang anggotanya terdiri daripada orang Melayu.
Bekas anggota Jookidam inilah yang dijadikan sasaran oleh Bintang Tiga.
Modus operandi pembunuhan yang dilakukan oleh Bintang Tiga adalah dengan membawa bekas-bekas anggota Jookidam, ke tepi hutan dan disuruh menggali lubang. Kemudian mereka dipukul dengan kayu, besi atau belakang cangkul dan ditanam ke dalam lubang yang sudah siap digali. Mungkin ditanam hidup-hidup. Ada juga yang ditembak ditepi lubang dalam keadaan berlutut. Ada pula yang digantung selepas perbicaraan singkat tanpa pembelaan. Malah tiada siapa yang berani membela kerana takut disyaki sebagai pembelot.
Dalam satu kes bekas anggota Jookidam bernama Mohd Isa telah ditangkap di Tanjung Piandang, Perak dan sebagai penyiksaan daging pehanya telah dipotong sebanyak 3 tahil sehari dan penyiksaan ini berterusan hinggalah beliau meninggal dunia beberapa hari kemudian. Hampir 10 ribu orang cedera termasuk 2500 meninggal dunia akibat kekejaman Bintang Tiga ini.
Harus diingat pada masa itu orang Cina di Tanah Melayu adalah berstatus sebagai buruh asing (sama seperti buruh daripada Bangladesh, Nepal dan lain-lain di Malaysia sekarang). Mereka masih bercita-cita untuk balik ke China. Itu jugalah yang menjadi sebab mengapa Inggeris membenarkan pembukaan sekolah-sekolah Cina di Tanah Melayu, supaya apabila habis bekerja di Tanah Melayu, dan pulang ke China maka anak-anak mereka nanti tidak menjadi asing kerana mereka telah mengikuti kurikulum China di Tanah Melayu.
PKM dan MPAJA tidak terlibat dalam membawa kemerdekaan Tanah Melayu. Ketika Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman berjuang mendapatkan kemerdekaan daripada British secara aman, PKM kembali ke dalam hutan dan melakukan kegiatan subversif serta melakukan pembunuhan dan sabotaj. Kegagalan rundingan Baling 1955 menunjukkan bahawa PKM lebih suka menggunakan kekerasan dan bukan demokrasi. Bagi yang benar-benar berjasa sesuai diberikan penghargaan tetapi yang sebaliknya bagaimana?
Sudah jelas lagi bersuluh siapa mereka sebenarnya. Mereka cuba menegakkan benang yang basah. Jelas jari lurus kelingking berkait. Ada pula pemimpin politik tertentu yang mulutnya disumbat pisang dan bontotnya dicucuk onak. Di negara ini ada orang buta boleh tulis buku,
tetapi ada orang celik tidak boleh baca buku, khususnya buku sejarah. Rakyat disuruh percaya, maka percaya… ke.
Dr. Nazarudin Zainun
Pensyarah Kanan
PP Ilmu Kemanusiaan (Bahagian Sejarah)
USM, P. Pinang
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysia-today.net/2019/08/20/pensyarah-kanan-sejarah-usm-meluruskan-sejarah-pkm-mpaja-dan-tanah-melayu/