Pennywise Kembali Mengganas Dan Menghantui Bandar
FILEM seram yang diadaptasi daripada novel tulisan penulis ternama, Stephen King berjudul It: Chapter Two kini hangat diperkatakan dalam kalangan peminat filem di seluruh dunia
Selepas 27 tahun, badut dengan wajah menyeramkan bernama Pennywise kembali mengganas dan menghantui bandar fiksyen ciptaan Stephen iaitu Derry, Maine
Tujuh ahli Losers Club kembali bersatu demi memberi titik noktah kepada riwayat entiti badut puaka, Pennywise. Kali ini untuk selamanya, namun mereka berdepan cabaran getir kerana badut puaka itu memiliki 1,001 cara untuk menggagalkan misi Bill, Ben, Bev, Richie, Eddie, Mike dan Stan
Seperti mana usia ahli Losers Club yang semakin dewasa begitu juga Pennywise. Sakti, hipnosis dan kuasa ghaibnya semakin hebat. Itu sedikit sebanyak sinopsis tentang filem arahan sutradara Andy Muschietti yang mula menghantui pawagam seluruh negara bermula 6 September lalu (semalam)
Umpama keluargaSebelum It: Chapter Two menemui peminat di Malaysia, filem tersebut terlebih dahulu ditayangkan kepada umum pada acara Comic-Con International: San Diego 2019 (SDCC 2019) di Amerika Syarikat (AS) sekitar Julai lalu
Majalah AS yang meliputi filem, televisyen, muzik, teater Broadway, buku dan budaya popular iaitu Entertainment Weekly melalui penulis kanannya, Clark Collis sempat menemu bual dengan tujuh bintang utamanya, James McAvoy, Jessica Chastain, Bill Hader, Isaiah Mustafa, Andy Bean, Jay Ryan dan James Ransone secara santai tentang pembikinan filem tersebut
Turut menyertai wawancara tersebut ialah Muschietti yang sebagai pengarah ternyata ‘sabar’ dengan telatah barisan pelakon
Ditanya tentang reaksi penonton yang sudah menonton filem tersebut, jawab Muschietti: “Respons mereka sangat hebat dan perjalanan kami sudah sampai ke tahap ini. Boleh tak anda semua senyap sebentar?”Perkongsian idea Muschietti terganggu kerana Bill yang memainkan peranan Ritchie menyakat tentang gayanya memegang mikrofon sehingga membuatkan suaranya tenggelam timbul dalam wawancara tersebut
Selepas keadaan kembali tenang Muschietti menyambung: “Reaksi penonton sangat memuaskan selepas perjalanan yang panjang untuk menyiapkan filem ini. Akhirnya apabila kita mempertontonkan kepada audiens dan reaksinya sebegitu hebat, itu bermakna usaha yang dilakukan berhasil.”Usai melontarkan pendapatnya, ketujuh-tujuh bintang filem It: Chapter Two kembali ketawa berdekah-dekah. Suasana yang tenang kembali menjadi hiruk-pikuk
Rendam darahDari kaca mata kasar, mengendali tujuh orang dewasa berbanding tujuh orang remaja atau kanak-kanak mungkin lebih mencabar buat Clark yang merupakan penulis yang bertugas ketika itu
Temu bual diteruskan dengan Jessica yang menjayakan watak satu-satunya wanita dalam Losers Club iaitu Beverly Marsh. Katanya, babak paling mencabar sepanjang penggambaran filem tersebut adalah sewaktu dia perlu berendam dalam darah
“Menjalani penggambaran babak berendam dalam darah sebenarnya sangat menjijikkan, tetapi saya okey sahaja.”Adegan itu berlaku sewaktu Pennywise menyeksanya. Dia dikunci dalam bilik air dan dipenuhi dengan lebih 17,000 liter darah palsu. Isipadu darah palsu dalam filem berkenaan merupakan satu rekod baharu dalam pembikinan sesebuah filem
“Darah yang berlendir memasuki hidung, telinga dan biji mata saya. Menakutkan. Namun, saya gembira melakukannya
“Bukan itu sahaja, selepas adegan berkenaan tamat, saya seperti berbajukan darah sehingga selesai penggambaran. Sebelum memulakan adegan baharu selepas babak berdarah tersebut, pengarah menyimbah saya dengan begitu banyak darah dan rutin itu berulang tanpa henti,” kongsinya
Berlakon dengan kanak-kanak kadangkala memenatkan, namun buat Bill, dia mempunyai kenangan tersendiri dengan Richie versi kecil yang dimainkan oleh bintang siri Stranger Things, Finn Wolfhard
“Mereka memberikan saya gambar Finn dan mahu saya simpan atau gantung dalam apartmen yang kami tinggal ketika penggambaran. Saya menolak dengan cara baik kerana tidak suka dengan cara tersebut,” kata Bill
Prekuel PennywiseMelakonkan karakter ketua Losers Club, Bill Denbrough yang mempunyai masalah gagap, James boleh disifatkan antara pelakon yang hebat
Sehingga kini masih ramai mempersoalkan mengapa dia tidak menerima pencalonan Pelakon Lelaki Terbaik pada Academy Awards tahun lalu walaupun berjaya memainkan watak Kevin Wendell Crumb atau The Horde dalam filem thriller Glass dengan cemerlang
Disuakan pertanyaan andai Pennywise ditonjolkan dalam bentuk paling ditakutinya di dunia realiti, jawab James: “Seseorang yang tidak mempunyai kulit. Itu sangat menakutkan buat saya.”Selain itu, turut ditebak tentang tarikan bandar rekaan bernama Derry, sambung lelaki berusia 40 tahun itu: “Derry sebuah bandar yang penuh dengan budaya belon berterbangan dan sebenarnya, amat menyeronokkan apabila ada badut untuk melihat kita semua.”Sebelum menutup perbualan, pengarah Muschietti ditanya sama ada akan ada sambungan naskhah tersebut. Dia bagaimanapun hanya memberi bayangan kemungkinan hanya prekuel kisah Pennywise akan difilemkan
“It: Chapter Two adalah kesimpulan novel. Jadi, tiada bahagian ketiga. Filem ini adalah penamat Losers Club melawan Pennywise
“Namun, kita semua tahu mitologi (kajian tentang mitos) begitu banyak dalam buku tulisan Stephen dan menurutnya, Pennywise sudah wujud sejak sejuta tahun lalu. Dalam bayangan Stephen, Pennywise sudah berhubung dengan manusia sekurang-kurangnya sejak lima ratus tahun lalu dan kembali menghantui manusia setiap 27 tahun sekali
“Justeru, andai kita pergi ke waktu silam, anda akan dapat lihat lebih banyak drama,” tutupnya yang tidak menolak untuk mengarahkan prekuel Pennywise andai diberi peluang
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://informasisantaiku.blogspot.com/2019/09/pennywise-kembali-mengganas.html