Penjimatan Rm800 Juta Diterima Kerajaan Hasil Pelaksanaan Budi95 Pm Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjimatan itu dicapai hasil penyasaran subsidi petrol secara lebih berkesan supaya hanya dinikmati warganegara. Foto Instagram Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 21 Dis – Penjimatan sebanyak RM800 juta hasil daripada pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sejak 30 September lalu berjaya membantu kerajaan menyalurkan subsidi berkenaan secara bersasar kepada rakyat terutamanya warganegara Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri berkata, penjimatan itu dicapai hasil penyasaran subsidi petrol secara lebih berkesan supaya hanya dinikmati warganegara, sekali gus mengekang ketirisan yang sebelum ini melibatkan lebih 3.5 juta warga asing serta aktiviti penyeludupan puluhan ribu liter minyak ke luar negara.
“Setiap hasil penjimatan itu dipulangkan semula kepada penduduk melalui STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan SARA (Sumbangan Asas Rahmah), selain digunakan bagi menaik taraf klinik dan hospital, memperbaiki jalan raya serta memperkukuh prasarana negara,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penyasaran subsidi minyak telah dibincangkan sejak lebih 20 tahun oleh kerajaan terdahulu, namun tiada yang mempunyai keberanian serta tekad politik untuk melaksanakannya sehingga Kerajaan MADANI mengambil langkah berani melaksanakan BUDI95.
Di bawah program BUDI95, semua pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak membeli RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan pada harga RM1.99 seliter, berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.
Manakala warganegara asing pula hanya dibenarkan membeli bahan bakar itu pada harga pasaran tanpa subsidi tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan terutama mereka yang berada di sempadan antarabangsa negara seperti Thailand dan Singapura.
Ini sekali gus memastikan warganegara Malaysia sahaja yang menikmati hak eksklusif mendapatkan bahan bakar itu serta menjadi penghargaan terbesar kerajaan selain bantuan bersasar lain seperti STR dan SARA yang ternyata amat membantu golongan berpendapatan rendah.
Bukti paling jelas ialah kadar penggunaan SARA di tujuh negeri merekodkan 100 peratus yang menunjukkan keberkesanan sistem pengagihan bantuan kepada rakyat, menurut laporan Kementerian Kewangan (MOF) minggu ini.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/12/penjimatan-rm800-juta-diterima-kerajaan.html