Pengutip Syarikat Hutang Lapuk Lebih Kejam Dari Ah Long Rosland
Kasthuri Jeevendran                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

Presiden  Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland  Mohd. Arif bersama timbalannya, Zulhelmi Shari (dua kiri) dan Setiausaha  Agung Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM),  Yusrizal Zainol Abidin (dua kanan) serta yang lain bergambar selepas  sidang media mengenai sikap pemungut cukai wakil bank yang zalim kepada  pengguna semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Spectrum  Shoping Mall, Bandar Baru Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI             KUALA LUMPUR – Di kala pandemik  Covid-19,  masih lagi ada pihak yang bukan sahaja mengambil kesempatan  tetapi juga bersikap tidak berperikemanusian dalam mengutip hutang  tertunggak.
Malah rakyat yang terbelenggu dengan  hutang lama atau lapuk diganggu pengutip hutang sehingga ada mangsa yang  mahu membunuh diri, bercerai, sanggup mencuri demi melangsaikan hutang.
Menurut Presiden Biro Pengaduan  Awam Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM),  Rosland Mohd. Arif, pihaknya sejak awal tahun menerima ratusan aduan  berkaitan sikap pembeli syarikat hutang lapuk. 
Pembeli hutang lapuk atau dipercayai  membeli akaun-akaun peminjam bank yang gagal melangsaikan pinjaman lebih  enam tahun dengan nilai begitu ‘rendah’. 
Apa yang lebih membimbangkan walaupun  sebenarnya menyalahi undang-undang, syarikat peminjam itu akan  mendapatkan khidmat pengutip hutang pula untuk membantunya melangsaikan  hutang-hutang dengan nilai berganda atau tinggi. 
“Apa yang lebih memeranjatkan,  mengecewakan dengan syarikat ketiga beli hutang lapuk ini pula mereka  sanggup apa juga kaedah mungkin jauh lebih teruk dari bank dan ah long.
“Mereka menggunakan pengutip hutang ini  untuk melakukan ugutan sesuka hati, sama ada di kawasan rumah mangsa,  tempat kerja dan lain-lain tempat. 
“Bukan sahaja mereka mengugut meminta  bayar hutang lama dengan nilai begitu tinggi malah juga menjerit-jerit  di hadapan peminjam bagi tujuan memalukan dan bagi memaksa mangsa bayar.  
“Selain itu pengutip ini juga akan  menyamar sebagai peguam, polis dan agensi kerajaan yang lain dengan  tanpa takut melakukan penyamaran seperti ini. Mereka juga menelefon  mangsa saban hari kononnya mahkamah akan menyita rumah, kenderaan serta  barangan berharga lain pada tempoh tertentu. 
“Kadang-kadang bagi masa tidak sampai  sehari, hutang mungkin kad kredit bernilai RM3,000 tapi bila dikutip  sehingga RM40,000 pun ada. Ugut kata dari bank, mahkamah, balai polis.  Buat bising depan rumah. 
“Kami di 4PM terima panggilan seluruh  Malaysia buat aduan seperti ini, yang datang cari kami 40 kes sehari.  Apa yang dilakukan oleh syarikat ketiga ini sungguh kejam lagi-lagi ada  mangsa yang tidak tahan ditekan sanggup ke tahap bunuh diri. 
“Bayangkan mereka sudah tidak ada kerja,  kalau mampu bayar hutang lama dengan bank mesti sudah mereka bayar,  siapa yang sanggup ada orang menjerit-jerit, buat gangguan serta bising  sampai jiran-jiran atau raken sekerja nampak,” katanya kepada  MalaysiaGazette hari ini. 
Sambung  Rosland, pihaknya juga menerima aduan ada dalam kalangan pengutip  hutang itu bertindak memperkenalkan mangsa dengan ah long sebagai jalan  membayar hutang mereka.
“Mangsa yang tidak tahan dengan tekanan  dan rasa malu kemudian mendengar cakap pengutip hutang dengan meminjam  bukan dengan seorang ah long tapi dengan beberapa, kami ada terima kes  sehingga 25 ah long pun ada. 
“Tidak cukup bebanan dengan bank dan  pengutip hutang kini tambah lagi dengan ah long, apa nasib mereka  selepas itu? Lagi-lagi ketika musim PKP dan Covid-19 yang telah  menjejaskan periuk nasi mereka,”katanya. 
Dedah Rosland lagi, berbanding dengan  kaum-kaum lain, masyarakat Melayu paling banyak menjadi mangsa kepada  kekejaman syarikat ketiga ini. 
“Ramai sangat, sayu saya tengok. Saya ada  juga cuba bercakap dan berunding dengan syarikat pembeli hutang lapuk  ini, bukan sahaja mereka ini berlagak dan enggan bekerjasama tapi  sebaliknya juga seperti ‘kebal’. 
“Memang susah hendak berunding dengan  mereka, pada mereka tidak kisahlah janji dapat keuntungan berganda  walaupun anda sedang bercakap tentang nyawa manusia,” ujarnya. 
Justeru beliau memohon supaya kerajaan  terutamanya Kementerian Kewangan serta Bank Negara Malaysia (BNM) dapat  segera meneliti isu ini serta membuat kajian undang-undang pembelian  hutang lapuk. 
“Tolonglah, kasihan sangat tengok rakyat  terbelenggu seperti ini. Banyak permasalahan lain akan perlu kita hadapi  kelak jika ini tidak ditangani dengan kadar segera. 
“Kami juga ingin mohon kepada polis untuk  segera siasat penyamaran-penyamaran dilakukan oleh kumpulan pengutip  hutang untuk menakutkan mangsa. Itu sememangnya satu kesalahan guna  pakai nama agensi kerajaan untuk kepentingan peribadi, tolonglah kami  mohon,” tegasnya. -MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/pengutip-syarikat-hutang-lapuk-lebih.html