Pengurus Bnm Nafi Beri Keterangan Tak Benar Dalam Bicara Kes Najib
MALAYSIAKINI
 
      Pengurus jabatan di Bank Negara Malaysia (BNM) Azizul Adzani Abdul  Ghafar hari ini menafikan menerima taklimat daripada pihak tertentu  supaya memberikan keterangan tidak benar dalam perbicaraan kes  penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi bekas Perdana  Menteri Najib Razak.
Azizul Adzani, pengurus Jabatan Perisikan  Kewangan dan Penguatkuasaan juga menafikan cadangan peguam Harvinderjit  Singh yang mewakili Najib bahawa beliau menyembunyikan sesuatu berhubung  kes itu.
Semasa dirujuk laporan polis yang dibuatnya selepas  serbuan dilakukan di Ambank Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015, saksi  pendakwaan kedua itu berkata beliau juga mengetahui beliau mesti membuat  laporan polis yang tepat.

Harvinderjit: Dari mana dapat maklumat jelas untuk buat report polis menyatakan  Seksyen 4 Amla (pengubahan wang haram), tuan mesti tahu tentang  tanggungjawab mana-mana pengadu dalam membuat report polis. Tuan tahu bahawa buat satu laporan polis yang salah atau tidak tepat merupakan satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan?
Azizul Adzani: Tahu
Harvinderjit: Bila report polis dibuat perlu beri maklumat yang tepat.
Azizul Adzani: Tahu
Harvinderjit: Pada  10.04 malam, 6 Julai 2015, selepas habis serbuan, Tuan telah ke Balai  Polis Tun HS Lee iaitu lebih kurang 34 minit selepas dokumen terakhir  diterima dari Uma Devi (R Uma Devi (Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja  Chulan).
Azizul Adzani: Betul
Harvinderjit:  Tuan telah pergi ke HS Lee buat report katakan adalah kesalahan yang  disyaki di bawah Seksyen 4 Amla (pengubahan wang haram), maknanya pada  10.04 malam, kamu telah mengetahui siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4  Amla, dari mana kamu tahu?
Azizul Adzani: Berdasarkan dokumen-dokumen yang dirampas, saya telah memasukkan Seksyen itu.
Harvinderjit: Tuan yang masukkan bukan pegawai penyiasat kes? 
Azizul Adzani: Betul
Harvinderjit: Kamu telah review dokumen dalam 34 minit dan mendapat pendapat bahawa  ada kesalahan di bawah Seksyen 4 Amla tapi kamu bukan pegawai penyiasat.  Kamu tidak buat apa-apa panggilan kepada Tuan Farhan (pegawai  penyiasat)?  
Azizul Adzani: Betul
Harvinderjit: Apa dokumen yang telah dirampas yang membuat tuan berpendapat begini? 
Azizul Adzani: Saya tidak ingat bagaimana keputusan itu dibuat.
Harvinderjit:  Adakah kamu terima apa-apa taklimat dari mana-mana pihak untuk hadir ke  perbicaraan ini dan memberikan keterangan yang tidak benar.
Azizul Adzani: Tidak
Harvinderjit: Saya cadangkan kamu memberi keterangan yang tidak betul di mahkamah? 
Azizul: Tidak
Harvinderjit: Adakah kamu ada menyembunyikan sesuatu? 
Azizul: Tidak.
Najib,  66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna  kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana  SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/04/pengurus-bnm-nafi-beri-keterangan-tak.html