Pengikut Ig Ben Amir Naik Setengah Juta
Selamat tinggal Qash Adam. Tiada lagi kelibat Qash dan Puteri yang bisu menemani penonton setiap malam Isnin hingga Khamis di Astro Ria, selepas drama popular, Sweet Dreams itu melabuhkan tirainya secara sensasi dengan dua penamat berbeza pada Rabu dan Khamis lalu.
Berbicara tentang hero drama itu, Ben Amir, ada rasionalnya kenapa wajahnya tiba-tiba menujah rasa suka sang penonton, sekali gus meledakkan namanya secara drastik dalam tempoh hanya sebulan drama itu bersiaran.
Jika hero-hero drama lain tampil dengan gaya kemas dan segak, watak Qash Adam yang dilakonkan Ben menerusi naskhah Michael Ang itu tampil berbeza. Dengan gaya rambut panjang yang diikat ala man bun dan ponytail, pelakon yang dikatakan mirip wajah Lisa Surihani itu berjaya membuatkan hati penonton khususnya wanita menjadi galau.
Lebih kaget, dalam tempoh sebulan itu juga pengikut Instagram (IG) pemilik nama sebenar Muhammad Amir Sabaruddin itu naik mendadak sehingga lebih setengah juta. Bahkan, setiap posting gambar yang dilakukan pelakon yang meminati lagu-lagu berentak rap itu, turut menerima puluhan ribu likes hanya dalam masa beberapa minit.
Begitulah fenomena luar biasa yang dicapai Ben yang berjaya mengukir portfolio berkesan menerusi drama Sweet Dreams, di samping Mira Filzah.
Menyelak isi sanubarinya dengan populariti luar biasa yang dikecapinya, Ben lantas tertawa lalu memberitahu, setiap gerak-gerinya kini sering diperhatikan.
“Impaknya sekarang, kalau saya ke mana-mana orang akan perhati. Bahkan, ketika saya camping dengan kawan-kawan baru-baru ini, ada yang sanggup datang ke tapak camping kami itu,” katanya sambil melenturkan tawa di bibir.
Magnet
Hakikatnya, mungkin ada yang tidak sedar, bahawa pelakon yang lahir pada 13 Mei 1990 itu sebenarnya mula melakar nama daripada pertandingan Hero Remaja 2011/2012 di samping pelakon popular seperti Fattah Amin, Syafiq Kyle, Hafidz Roshdi, Fendy Bakry dan Saharul Ridzwan.
Cuma, barangkali Ben tidak begitu beruntung berbanding teman-teman lain yang terlebih dahulu mengaut peranan utama dan berjaya memikat hati penonton.
Biar lewat meniti populariti, namun pelakon yang memiliki Diploma Pengajian Perniagaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Lendu, Melaka itu kini membuktikan bahawa dia mampu menjadi magnet untuk khalayak menyukainya.
“Sebenarnya nama saya naik bukan hanya disebabkan karakter Qash itu sendiri, tetapi turut diperkuatkan dengan jalan cerita, skrip, pengarahan Michael dan juga kehebatan lakonan pelakon-pelakon dalam drama Sweet Dreams.
“Saya sendiri sebagai pelakon tidak pernah menyangka watak Qash dan juga drama Sweet Dreams menjadi trending setiap hari. Apa-apapun, kami (produksi Sweet Dreams) memang sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap babak untuk kepuasan penonton,” ujar Ben yang bersyukur drama berkenaan berjaya menjadi trending bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia apabila mendapat Tweet yang tinggi.
Rambut
Sedar aset rambutnya juga memainkan peranan yang penting pada tunjang populariti yang diraihnya kini, Ben mengakui, tidak mahu memotong rambut yang disimpannya selama setahun itu dalam masa terdekat ini.
“Rasanya mungkin lambat lagi untuk saya memotong rambut, kecuali jika ada tawaran watak yang betul-betul menarik yang memerlukan saya berambut pendek,” ujarnya.
Hakikatnya, Ben mengakui meletakkan banyak sisi yang harus diperhitungkan sebelum berkata okey pada sesuatu naskhah selepas ini.
“Ada beberapa tawaran yang memerlukan saya berambut pendek yang terpaksa saya tolak. Harap kelak muncul tawaran yang boleh menggoyahkan hati saya untuk memotong rambut,” ujar Ben lagi sambil tertawa.
Mengimpikan untuk membawa watak antagonis dan detektif pula selepas ini, Ben bagaimanapun memberitahu, dia tidak meletakkan sebarang pilihan pengarah atau pelakon untuk berkerjasama.
Kekasih
Begitu pun, selepas menjadi pelakon selama enam tahun, Ben mula memikirkan apa lagi corak kelangsungan hidupnya sebagai anak seni. Itu antara penyebab dia tekad untuk lebih selektif dalam menerima tawaran selepas ini.
Pada masa sama, dia juga mengimpikan untuk berlakon filem, teater dan juga pengacara.
“Sekurang-kurangnya, saya kini ada sedikit ilmu untuk memilih karya yang bagus dan mana yang tidak. Cuma, kalau melibatkan filem, saya kena betul-betul memilih karya yang mampu memberi impak kepada kerjaya seni saya. Untuk teater, sebenarnya ada tawaran, tetapi bertindih pula dengan jadual seni saya yang lain. Selain itu, saya juga berminat untuk menjadi hos program travelog,” ujarnya yang turut meminati sukan lasak seperti Muay Thai.
Tutup kisah kerjaya seni, sengaja kisah hati jejaka kacak itu disingkap. Tanpa berselindung, Ben mengakui tidak mempunyai teman istimewa lagi buat masa ini.
Ditanya kriteria wanita idamannya, kata Ben, dia tidak mempunyai sebarang spesifikasi untuk jatuh cinta dengan mana-mana wanita. Cuma, jika wanita itu seorang yang mementingkan gaya hidup sihat dan suka bersenam, itu kunci utama untuk melarutkan jiwa lelakinya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/09/pengikut-ig-ben-amir-naik-setengah-juta.html