Penghantar Makanan Terbabit Kemalangan Terima Bayaran Rm1 3 Juta
 Oleh Noorazura Abdul Rahman 

 Timbalan  Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim (tengah) menyampaikan faedah  hilang upaya sementara kepada penghantar makanan Hussain Mohamad  Danial, 25 di rumahnya di Kampung Sukamari, Pendag. - FOTO  NSTP/Noorazura Abdul Rahman PENDANG:  Seramai 764 penghantar makanan terbabit kemalangan di seluruh negara  menerima bayaran faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)  berjumlah RM1.3 juta setakat ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata bayaran  itu membabitkan individu yang hilang upaya sementara serta kekal dan  faedah perubatan, orang tanggungan serta yang meninggal dunia.
"Bagi setiap permohonan diterima, kita akan proses segera sekiranya  dokumen yang dihantar lengkap termasuk pengesahan doktor...paling lama  dua atau tiga bulan sahaja mereka akan terima bayaran.
"Dalam sudut perlindungan dan kebajikan ini, setiap pekerja perlu  beri perhatian kerana dalam apa jua kerja sekalipun di dunia ini ada  risiko. Jadi kerana berisiko, pekerja perlu beri tumpuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan faedah  hilang upaya sementara kepada penghantar makanan, Hussain Mohamad  Danial, 25, di rumahnya di Kampung Sukamari di sini, hari ini.
Hussain yang juga penuntut sebuah univerisiti di Mesir terbabit dalam  kemalangan ketika dalam perjalanan mengambil pesanan pelanggan pada Jun  tahun lalu, menyebabkan paha kiri dan tulang pinggul kirinya patah.
Sementara itu, Awang berkata, pihaknya mensasarkan sekurang-kurangnya  30 peratus daripada 2.38 juta orang bekerja sendiri di seluruh negara  membuat caruman PERKESO tahun ini.
Katanya, setakat ini hanya 15.03 peratus atau 358,214 orang bekerja sendiri mencarum dengan pertubuhan keselamatan itu.
"Kita galakkan orang bekerja sendiri mencarum di bawah PERKESO kerana  jika berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan, mereka boleh  mendapat pelbagai faedah.
"Sekurang-kurangnya faedah yang diterima itu boleh meringankan beban  keluarga ketika mereka tidak dapat bekerja sementara," katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/penghantar-makanan-terbabit-kemalangan.html