Pengerusi Louis Vuitton Antara Empat Tokoh Lembaga Penasihat 1mdb
Empat tokoh terkenal di peringkat antarabangsa termasuk Pengerusi dan Ketua Eksekutif LVMH Moët Hennessy Louis Vuitton SE, Bernard Arnault telah dicadangkan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Teak Jho atau Jho Low untuk menganggotai Lembaga Penasihat (BOA) 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa selain Arnault, tokoh lain yang dinamakan Jho Low ialah Hamad bin Jassim bin Jaber Al Thani (Perdana Menteri Qatar ketika itu), Pengerusi CITIC Group of China Chang Zhenming, dan CEO Mubadala Khaldoon Al Mubarak.
Loading…
Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-20 perbicaraan kes bekas perdana menteri itu membabitkan dana 1MDB.
Muhammad Shafee: Semua nama ini dicadangkan oleh Jho Low?
Shahrol Azral: Ya.
Muhammad Shafee: Semua empat nama penasihat antarabangsa dalam BOA. Tidak ada seorang pun daripada mereka menghadiri mesyuarat?
Shahrol Azral: Ya.
Saksi itu menjelaskan bahawa agak sukar untuk mendapatkan mereka semua bertemu di satu tempat.
Shahrol Azral, 49, berkata surat perlantikan kepada BOA telah dihantar kepada tokoh-tokoh ini termasuk Arnault yang beliau sendiri temui di Paris untuk menyampaikan surat pelantikan.
Beliau berkata Arnault secara lisan menerima pelantikannya manakala Chang menjawab dengan surat penerimaan.
Semasa Muhammad Shafee bertanya mengenai rasionalnya di sebalik pelantikan tokoh-tokoh tersebut seperti Arnault, yang terkenal dalam perniagaan fesyen, Shahrol Azral berkata beliau merupakan antara ahli perniagaan terbaik dunia ketika itu.
“Bernard Arnault merupakan antara ahli perniagaan utama dunia. Saya rasa itu cukup untuk menjadi alasan. Saya ingat beliau antara lima orang terkaya,” katanya.
Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung, dengan Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan. – Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2019/10/pengerusi-louis-vuitton-antara-empat-tokoh-lembaga-penasihat-1mdb/