Pengarah Syarikat Lapor Sprm Dakwa Dianiaya Jabatan Kastam
\\nB Nantha Kumar      
Seorang pengarah syarikat perkhidmatan pengangkutan lori tampil  membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan  mendakwa dirinya "dianiaya" oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
R  Siva Subramaniyam, 31, bersama rakan pengarah syarikatnya membuat  laporan SPRM mendakwa Jabatan Kastam "menganiaya" pekerjanya yang  merupakan lori serta syarikatnya bagi "menyelamatkan" individu lain.
"Saya  membuat laporan SPRM hari ini selepas tidak puas hati dengan Jabatan  Kastam yang mengendalikan kes kami. Bagi, saya Jabatan Kastam cuba  menganiaya saya dan pemandu bagi 'menyelamatkan' beberapa individu yang  terlibat dalam kes ini," katanya kepada Malaysiakini.
Menurutnya,  pada 12 Disember tahun lalu, rakannya menerima panggilan daripada sebuah  syarikat yang memerlukan perkhidmatan lori dari Pelabuhan Klang ke  lokasi di Balakong.
Selepas setuju dengan pembayaran, pihaknya  menghantar lori ke tempat yang dinyatakan oleh syarikat tersebut iaitu  sebuah gudang di dalam Pelabuhan Klang.
Bagaimanapun, menurut  Siva, ketika lori berkenaan rosak dan berhenti di tepi jalan Lebuhraya  Kesas, dua pegawai kastam menghampirinya dan memeriksa lorinya sebelum  dimaklumkan bahawa muatan lori itu adalah minuman keras (bir) yang tidak  dibayar cukai.
"Seorang individu yang berada di sana (Pelabuhan  Klang) ketika itu memberitahu pemandu syarikat bahawa mereka tidak akan  mendedahkan kandungan barang.
"Maka, pemandu saya pun setuju  (membawa muatan) sebab ia adalah satu kebiasaan dalam perkhidmatan lori  kerana kebiasaannya pemilik barang takut barangnya akan dicuri sekiranya  pemandu tahu apa kandungannya.
"Di pintu Pelabuhan Klang. pemandu  syarikat kami menerima IID (Integrated import document) iaitu dokumen  yang mengandungi segala informasi tentang barang yang dibawa keluar dari  pelabuhan," katanya.
Dakwa diminta beri keterangan palsu Ketika  diperiksa pegawai kastam di pinggir jalan, jelas Siva, rakannya tiba  untuk memeriksa IID dan mendapati dokumen itu menyatakan terdapat 24  palet bir.
Setelah itu, jelas Siva, pegawai kastam tersebut  memaklumkan bahawa mereka perlu membawa rakannya serta pemandu dan lori  syarikatnya untuk siasatan lanjut di pejabat kastam Pulau Indah (West  Port).
Namun, dalam perjalanan menaiki kereta pegawai kastam, Siva  mendakwa pemandu lori berkenaan didesak untuk membuat keterangan palsu  dan menafikan muatan bir itu diambil dari Pelabuhan Klang.
"Ketika  rakan saya dan pemandu saya berada dalam kereta kastam, salah seorang  wakil dari syarikat yang memberi kami tugasan membawa muatan menelefon  pemandu lori dan mendesak agar beri keterangan palsu dengan mengatakan  bahawa minuman keras yang berada di dalam lori diambil dari kawasan luar  Pelabuhan Klang.
"Lebih pelik, perbualan tersebut turut  didengari oleh dua pegawai kastam yang menasihati pemandu lori syarikat  saya supaya mengikuti arahan tersebut, iaitu membuat keterangan palsu,"  kata Siva.
Siva menambah, ketika tiba di pejabat kastam, seorang  pegawai kastam yang berada di pejabat itu enggan menghiraukan penjelasan  bahawa pihaknya hanya memberi perkhidmatan lori atau menghiraukan  dokumen yang dibawa olehnya termasuk resit bayaran daripada syarikat  yang menyewa lori mereka.
Selain itu, kata Siva, pegawai kastam  juga menunjukkan IID baru yang menyatakan muatan lori berkenaan adalah  'printing plate' (plet pencetak), selain maklumat lain yang menurutnya  sudah ditukar.
"Nama 'çonsignee' (penerima) serta nama pemandu  lori turut ditukar. Pemandu lori saya seorang warga Sabah, tetapi di IID  baru ditunjukkan oleh jabatan kastam nama pemandu lori ditukar kepada  seorang India.
"Kami dipaksa oleh pegawai itu untuk menerima IID yang baru, tapi kami menolak menerima IID baru itu.
"Kini  kes ini berada di mahkamah. Yang pelik, hanya kami (syarikat lori)  didakwa. Syarikat pembekal dan penerima tidak disabit. Kami dah buat  lima laporan polis. Masih tiada tindakan.
"Sehingga kini, saya  menerima panggilan daripada syarikat pembekal dan penerima untuk  mengakui bahawa barang tersebut dimuat di luar Pelabuhan Klang. Pegawai  kastam tersebut juga mendesak kami untuk berbuat demikian," katanya.
Siva berkata, setakat ini, lorinya masih ditahan Jabatan Kastam.
"Bagi  kami, Jabatan Kastam menganiaya kami bagi menyelamatkan pihak-pihak  tertentu. Walaupun, kami menunjukkan segala bukti kepada Jabatan Kastam,  mereka masih memaksa kami untuk mengakui di kes ini," kataSiva yang  membuat laporan SPRM di PutraJaya semalam.
Malaysiakini sedang menghubungi Jabatan Kastam untuk mendapatkan ulasan berkenaan isu ini. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/pengarah-syarikat-lapor-sprm-dakwa.html