Pengarah Filem Sabah Ke Pentas Dunia
JACK Wong tampil dengan filem C144 Human X Nature yang menjengah pawagam di seluruh Malaysia hari ini, termasuk 3 pawagam di Sabah.
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)
PENGARAH dari Sabah Jack Wong, yang terkenal dengan video parodi di YouTube Orang Sabah Style, tampil dengan filem antarabangsa pertamanya, C144 Human X Nature, yang menjengah pawagam di seluruh Malaysia, bermula hari ini.
Menariknya lagi, filem bergenre seram ngeri itu mencatat sejarah menjadi filem pertama Malaysia yang bakal ditayangkan di Hollywood pada 1 April depan dan dijangka ditayangkan di 12 negara berbeza termasuk Jepun, Korea Selatan, China, Filipina, Singapura, Indonesia dan beberapa negara Eropah.
Bermula sebagai ‘wedding cinematographer’ pada 2010, Jack Wong atau lebih dikenali sebagai Jack’s Stuff berkata dia sudah lama menyimpan impian untuk menjadi seorang pengarah filem.
Setelah meraih perhatian dunia menerusi video parodi arahannya, Orang Sabah Style, Jack akhirnya merealisasikan impiannya menjadi pengarah filem antarabangsa menerusi naskhah C144 Human X Nature, yang memulakan produksinya pada 2019.
“Akhirnya, selepas kerja keras selama bertahun-tahun impian saya menjadi kenyataan. Saya sangat mengharapkan rakyat Malaysia akan menyokong industri filem tempatan kerana pembikinan filem ini bukanlah sesuatu yang mudah.
“Ia juga menandakan permulaan perjalanan saya sebagai pengarah filem dan membanggakan Sabah bahawa bakat tempatan juga mampu mencipta nama di peringkat antarabangsa, sekali gus meletakkan Sabah sebagai satu nama besar dalam perfileman antarabangsa,” katanya.
Diterbitkannya bersama Aaron Lim, penerbit dan pengasas Redboy Pictures Sdn Bhd, Jack juga berani menampilkan barisan pelakon baharu dalam C144 Human X Nature.
Katanya, walaupun belum pernah tampil dalam mana-mana filem, sebahagian daripada pelakon baharu itu mempunyai pengalaman luas dalam pementasan dan drama.
“Saya lebih suka mencungkil bakat baharu kerana ramai rakyat Malaysia yang sangat berbakat tetapi tidak diiktiraf oleh orang ramai.
“Bakat yang diketengahkan dalam filem ini sebenarnya tidak asing lagi dalam persembahan pentas dan drama.
“Saya percaya mencungkil bakat baharu seharusnya menjadi keutamaan pembikin filem di negara ini. Dan disebabkan bakat-bakat baharu yang terpilih ini, filem kami berjaya menerima empat anugerah antarabangsa,” tegasnya.
C144 Human X Nature, terdahulu, memenangi empat anugerah antarabangsa, Best Writer Award (Anugerah Penulis Terbaik) dalam Festival Filem Alternatif 2020 di Kanada, Best Feature Film (Filem Cereka Terbaik) dalam Festival Filem Eropah Timur 2020, Best Film in Nature / Environment & Wildlife (Filem Terbaik mengenai Alam Semulajadi / Alam Sekitar dan Hidupan Liar) dalam Karnival Filem Sedunia 2021 di Singapura dan Best Cinematography (Sinematografi Terbaik) dalam Festival Filem Sinematik Eropah pada 2021.
Pada 2010, Jack mencuri perhatian dunia menerusi video parodi “Orang Sabah Style Parody” dan ia mendapat pujian Ketua Menteri Sabah ketika itu kerana menjadi platform positif untuk mempromosikan Sabah kepada dunia. Sehingga kini, video itu memperolehi 9 juta tontonan di YouTube.
C144 Human X Nature mengisahkan tentang dua ahli perkhemahan amatur, Jason dan Kamal yang terjumpa tinggalan pesawat C-47B yang digunakan oleh tentera Amerika untuk menghantar bekalan makanan kepada rakan mereka yang telah terhempas di Malaya pada 1945 semasa Perang Dunia Kedua.
Penemuan bersejarah itu bakal membuat mereka mendapat keuntungan besar dengan cepat. Maka timbul idea untuk mengadakan satu ekspedisi ‘Eksklusif’ ke tapak nahas.
Kumpulan 10 pengembara yang mendaftar untuk ekspedisi itu terdiri daripada warga Singapura, China, Thailand dan United Kingdom. Tanpa disedari, selepas 16 jam perjalanan, dua kenderaan pacuan empat roda yang membawa kumpulan 10 pengembara itu telah tersasar dari jalan sebenar.
Rupanya mereka telah dibawa ke salah satu bahagian paling dalam di hutan tropika. Setelah menyedari mereka sesat timbul situasi baru yang bakal merubah segalanya.
Ketegangan dan cadangan yang bercanggah menyebabkan kumpulan itu berpecah menjadi dua. Mereka masing-masing akan mencari jalan sendiri.
Dalam 144 jam akan datang, apakah misteri yang menanti mereka di dalam hutan? Dapatkah mereka menemui jalan ke lokasi terhempasnya pesawat itu?
SOURCE: Kazalinah Kamaludin Via DE
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://sabahup2date.blogspot.com/2022/02/pengarah-filem-sabah-ke-pentas-dunia.html